9:45 AM

Dari Allah, Untuk Allah, Kembali Kepada Allah

Alhamdulillah, puji dan sanjungan adalah hak Allah SWT yang Maha Mengetahui dan Maha Melihat hamba-hambaNya, Maha Suci Allah yang telah menjadikan bintang-bintang di langit, dan menjadikan pula matahari dan bulan yang terus bersinar. Dia pula yang menjadikan malam dan siang silih berganti bagi orang-orang yang ingin mengambil pelajaran atau orang yang ingin bersyukur.

Selawat dan salam semoga dilimpahkan kepada manusia yang diutus Rabbnya sebagai pemberi dan penunjuk arah, pembawa berita gembira, pemberi peringatan, penyeru kepada agama Allah dengan izinNya dan cahaya yang menerangi. Baginda telah menyampaikan risalah, menunaikan amanah, memberikan nasihat kepada umat dan berjihad dengan bersungguh-sungguh di jalanNya hingga datang kematian kepadanya. Melalui baginda, Allah memberi petunjuk kepada manusia, menerangi fikirannya dan menggoncang jahiliyyah.

Kami naik saksi bahawa tidak ada Tuhan yang berhak disembah selain Allah dan kami bersaksi Nabi Muhammad SAW adalah hamba dan RasulNya, kesaksian yang kami simpan di sisi Allah yang Maha Agung dan Maha Berkuasa untuk hari Kiamat, hari yang tiada bergunanya harta, takhta dan anak-pinak kecuali orang yang datang kepadaNya dengan hati yang bersih.

Ameen Ya Rabb....

Terima kasih kepada ‘anonymous’ atas satu komen yang membina kepada semua warga krew SOL. Dah tak ceria blog ni katanya...hehe memang betul pun. Bukan nak memberi alasan, tapi yelah, adat blogging, macam sifat roda jugak. Banyak sebenarnya idea yang bermain di fikiran, tapi bila tak terus diterjemah di atas keyboard, memang zouq untuk menulis pun hilang. Moga Allah bagi kekuatan buat semua warga SOL untuk terus istiqamah memberi di alam siber.. ^^ ‘Fastaqim kama umirta’

Sebagai satu entry ringkas untuk kali ini, suka saya untuk membuat sedikit quick revision dari kelas tafsir yang disampaikan oleh Al-Fadhil Ust Fakrurrazi 2 hari lalu. Berkaitan dengan hak pemilikan dari sudut tasawuf.

Segala nikmat yang Allah kurniakan ke atas manusia bukanlah bersifat pemilikan mutlak kepada individu (tiba-tiba teringat satu tajuk lagu ‘Hak Milik Kekal’). Allah bagi pinjam je. Kalau sebut pasal hak milik, manusia hanya lebih menumpukan kepada harta semata-mata. Padahal, ia meliputi seluruh isi alam. Ilmu, anggota badan, cinta, wang, makanan, hati, kelebihan istimewa seseorang dan lagi...dan lagi... dan lagi... yang tak terhitung banyaknya.

Katakanlah (wahai Muhammad): “Kalaulah semua jenis lautan menjadi tinta untuk menulis Kalimah-kalimah Tuhanku, sudah tentu akan habis kering lautan itu sebelum habis Kalimah-kalimah Tuhanku, walaupun Kami tambahi lagi dengan lautan yang sebanding dengannya, sebagai bantuan”.
Al-Kahfi : 109

Sebab itu, kita sebagai manusia ni tak boleh kedekut, sedih, marah bila sesuatu nikmat tu diminta untuk dikongsi bersama orang lain ataupun nikmat yang Allah bagi tu dicuri oleh oang lain atau hilang dari pandangan. Kan lebih senang kalau kita sentiasa syukur dan redha daripada kita sedih dan bermuram durja. Ya, cakap memang senang, tapi bila Allah nak ambil balik hakNya, salah ke? Buat apa nak marah-marah? Ingatlah manusia tu dilahirkan sehelai sepinggang didunia. Atas rahmatNya lah Allah memberikan sifat kasih sayang kepada semua ibu bapa agar mengasihani anak-anaknya sedari lahir lagi. Ianya sebagai satu fitrah bagi sesiapa yang bergelar ibu bapa. Diberinya pakaian, makanan, permainan, pelajaran dan sebagainya. Tapi semuanya adalah datang daripada Allah. Kepayahan untuk mencari pakaian, kesungguhan untuk mencari sesuap nasi dan kekuatan untuk mentarbiyah anak-anak, semua atas kurniaNya. Semuanya untuk melahirkan seorang hamba yang taat kepada tuannya, iaitulah Allah SWT.

Macam juga anggota badan. Semuanya milik Allah, sebuah pinjaman tetap daripada Allah. Bila-bila masa Allah boleh tarik. Putus jari, hilang deria rasa, kudung kaki. Itu hak Allah yang berkuasa ke atas setiap makhluknya. Dan tugas makhluk juga untuk menjaga pinjaman Allah ini dengan sebaiknya dan tugasnya juga untuk merasa bahawa semuanya adalah pinjaman semata-mata. Kalau nak cuci muka tu, ingatlah Allah. Cuci muka dengan niat nak jaga kulit yang Allah pinjamkan kat kita. Pahala pun dapat, kulit pun bersih.Bukan sebab rasa kulit tu hak mutlak kita. Sebab nanti kalau rasa diri cantik, riya’ dan ujub pulak datang. Kan dah susah. Kena handle masalah hati pulak. Tak ke dua kali kerja tu namanya.



Contoh lain, tutup aurat. Allah dah bagi nikmat pakaian tu, maka berpakaianlah mengikut apa yang Allah suruh. Melabuhkan bukan menyingkatkan, melonggarkan bukan mengetatkan, menebalkan bukan menipiskan. Itulah konsep makin menutup bukan makin membuka. Hari tu pun semasa taklimat keselamatan ada diingatkan. Beridentiti ‘muslimah’ bukan ‘maliziyah’. Sehodoh-hodoh manapun seorang wanita tu, pasti menjadi tarikan kepada lelaki (ayat siapa ni? ^^)... Maka, barang pinjaman yang pemiliknya suruh tutup, maka tutuplah. Tak payahlah susah-susah fikir cara-cara untuk membukanya. Buat sakit kepala je. Nanti bila dah ditarik balik pinjaman, barulah sibuk-sibuk nak tutup. Tutup sebab takut dicaci. Kan susah hidup macam tu...

Maka ingatlah, semuanya datang dari Allah. Dan apa yang dibuat mestilah hanya untuk Allah. Dan apa-apa yang kita ada kembalikanlah kepada Allah. Pemilik kekal Yang Maha Kaya lagi Maha Kuasa.



Biar iman mendahului fikiran, biar fikiran mendahului tindakan...

11:25 AM

Practice makes perfect

4 tahun lalu aku pernah terkilan…

“Kamu xde pape nih!” Aku tersentak mendengar jawapan doctor sewaktu aku ajukan pertanyaan tentang sakit kepala yang aku hadapi. Masih terbayang kesakitan sewaktu aku jatuh dari standing position terlentang ke atas lantai simen itu. Rasa macam nak pecah kepala dibuatnya. Terasa bergegar otakku dan berpinar-pinar selama beberapa hari. (BTN punya pasallah ni! :D) hal ini menyebabkan aku sangat risau. Yelah, manalah tahu ade subarachnoid hemorrhage ke, epidural hemorrhage ke, ape2 lah. You name it.. Tapi bila jumpa doctor, bajet doctor bleh comfort lah, cakap elok2 biaq ati aku ni tenang sket. Tapi, respond yang aku dapat dari dokter tu menunjukkan seolah-olah aku saje-saje je datang nak jmpa dia, nmpakkan bende tu cam serius. Terkilan sikit sebab macam kena herdik. Terasa patient-physician relationship x dijaga. (tapi, serius, time tu mmg kepalanya noneng-noneng je rasa, x balance dibuatnya – aku rase cerebellum aku time tu mmg bergegar, terganggu kejap physiology)

Setelah berada sendiri dalam bidang ni, baru aku mengerti, mmg xde pe pun kesan terhantuk kepala tu klu tidak diiringi len-len associated symptom seperti vomiting, discharge dari mata or hidung, bleeding etc-etc. sebenarnya aku bebel-bebel banyak2 ni nak cakap satu je : pasal patient-physician relationship. Bila aku belajar, baru aku tahu penting sangat relationship ni. Berkali-berkali diingatkan tentang kepentingan menjaga hal ini especially masa jadi doctor lepas graduate nanti, tapi ada masa kita amik ringan je perkara sampaikan kita selalu terlupa nilai ni bukannya boleh develop sehari dua, tapi amik masa lama untuk sampai tahap jadi darah daging kita.




Sebenarnya aku cerita-cerita ni bukannya apa. Tiba-tiba teringat kisah lama. Dan bila aku sendiri berada dalam bidang ni, aku x salahkan pun dokter tu sebabnya aku paham tugas dokter memang sibuk dan memenatkan. Sungguh! Kadang-kadang sampai tense rasa. Tense gilerrr.. tapi, aku harap sangat aku x buat macam dokter tu bila aku dah graduate nanti. Nasihat buat diri aku dan kawan-kawan, banyak-banyak perkara yang kita belajar semasa kat medical school especially bab ethics ni kita kene usaha untuk try adapt dan sebatikan those lessons dalam diri kita sejak kali pertama kita belajar ilmu-ilmu tu. Mungkin adakala kita rasa susah nak serasikan dengan jiwa dan perangai kita, contoh kita mungkinlah kurang pandai atau memang bukan jiwa kita lah nak friendly sangat dengan orang lain, tapi benda-benda tu lah, yang membentuk kita menjadi dokter yang baik. Kalau tak, jadilah kita dokter yang quadraplegia ke, paresis, ade dysmorphic features ke secara batiniahnya. (paham-pahamlah maksudnya ek) Susah-susah kita sekarang untuk berusaha mensebatikan dengan nilai-nilai murni tu, mudah-mudahan Allah permudahkan, hati kita ikhlas..ameeen..

p/s : bahasenya 'kureng' sket. minta ampun ya :D gabungan banyak suara nih. tapi pengalamannya sorang je

10:23 AM

Bermanfaat untuk orang lain

Bismillahirrahmanirrahim…
Lama rasanya update blog ni…. Kali ni entry ringkas dan harap bermanfaat untuk semua…





Syed Qutb pernah berkata : “Jika kita memberi, kita menerima lebih banyak…”

Itulah ukuran hati yang dipenuhi oleh iman. Kian banyak memberi, semakin lapang dirasakan kehidupan ini. Berbeza dengan ukuran hati yang telah diikat dengan rantaian duniawi. Kian banyak meraih dan menerima, semakin kurang yang yang ia rasakan. Maka lihatlah, betapa sengsaranya hidup ini pabila kebahagiaan dan kesengsaraan dibayangi oleh ukuran-ukuran duniawi yang bersifat sementara. Kehinaanlah yang akan diperoleh pabila kehormatan disandarkan pada harta, kekayaan, pangkat dan kekuasaan. Namun, kehormatan akan diperoleh pabila disandarkan pada keikhlasan. Kian banyak amal soleh yang dilakukan, kian banyak manfaatkan yang akan ditebarkan, maka balasan Allah pun datang menyapa. Bahagia dunia dan akhirat…

Rasulullah SAW bersabda : “Sebaik-baik manusia adalah yang paling banyak memberikan manfaat kepada orang lain…”

AsSyahid Hassan Al-Banna menyebut tentang 10 ciri-ciri yang mesti ada pada individu muslim, terutama bagi sesiapa yang ingin memakai baju pendakwah @ daie ilallah, iaitulah :

1. Kuat Tubuh Badan
2. Akhlak Yang Mantap
3. Fikiran yang Berpengetahuan
4. Mampu Berusaha
5. Aqidah Yang Sejahtera
6. Ibadat Yang Sahih
7. Mujahid Untuk Dirinya
8. Menjaga Waktu
9. Teratur Urusannya
10. Memberi Manfaat Kepada Orang Lain

Inilah jalan-jalan untuk menuju kejayaan. Lihatlah betapa pentingnya jika menjadikan diri kita bermanfaat untuk orang lain. Hidup bukan sekadar untuk melepaskan diri sendiri daripada azab Allah, namun sebagai seorang yang berilmu, disitulah letaknya kewajipan kita terhadap biah dan masyarakat sekeliling.

Memang bukan mudah jalan untuk menyeru dan menegah. Rasulullah sendiri bersusah payah demi menegakkan kalimah ‘Lailaha ilallah’, inikan pula kita yang jauh beribu-ribu tahun daripada Rasullullah. Siapakah yang lebih hebat daripada Rasulullah di zaman ini? Ingatlah, perjuangan memang pahit tapi….. hasilnya manis. Kesabaran menjadi kunci, ujian menjadi batu penunjuk aras diri, doa menjadi senjata, berilah selagi mampu…..

5:09 AM

Komik Tazkirah

Komik tazkirah...


Komik ini adalah hasil karya sahabat baik saya Odah dari Dublin. Saya muatkan di sini dengan izin tuannya untuk tatapan semua.
Yang baik dijadikan teladan, yang buruk jadikan sempadan.
Thanks to Odah.
Lightofvictory
236pm
26okt07

10:52 AM

Batu, Pasir, Pokok dan Cahaya

Bismillah



Fuuuuh... fuh.. fuh.. fuh.. (buat gaya orang tengah tiup meja atau buku yang berhabuk tanda lama tak DIUPDET)




dah seminggu 'berhabuk' blog ni.. tak apelah, semua penghuni pun sibuk, tak cukup tenaga nak 'vacuum' blog katanya....dengan rayanya, dengan masaknya, dengan MAKANnya, dengan kuliahnya, dan dengan imtihannya (bittaufiq kak muui..)



Saya pula yang ke'matian' laptop (virus kot- moga-moga koma je lah, jangan mati terus), terpaksa menumpang-numpang jiran sebelah untuk meminjam perkhidmatan laptop dan internet free... (free lah sebab satu umah bayar). Tapi, iye lah orang berbudi kita berbahasa, orang dah bagi pinjam, jangan pulak buat sendiri punya harta.. iye dak? takkan nak 24 jam dok depan komputer dier pulak? ape pun time kasih ye jiran satu umah.



Kelmarin semasa mengikuti kelas tafsir Ustaz Fakhrurazzi tentang surah An-Naba' (2 thumbs up! best dengar pengisian tafsir dari ustaz! syukran), tetiba termasuk cerita pasal hidayah Allah. Ustaz kata hidayah Allah tu tetap akan masuk walaupun hati tu dah ditutupi, diselaputi, dan diselubungi hitamnya dosa dan noda, tapi masih ada lubang-lubang kecil walaupun satu untuk cahaya hidayah Allah itu tembus ke hati... TAPI SEMUA ITU DENGAN IZIN ALLAH. Betul tu..
Sebab tu tak mustahil, kaki bunuh, kaki botol, kaki perempuan, kaki tinggal solat, kaki tinggal puasa, kaki nyanyi, dan banyak kaki-kaki lain (siapa yea yang buat simpulan bahasa suka guna kaki ni...?) , boleh kembali ke pangkal jalan bila hidayah Allah itu menyapa, malah boleh jadi lebih baik daripada orang yang takde 'kaki-kaki' seperti dalam contoh di atas.




HIDAYAH DAN TAUFIQ


Recall ... recall
Hidayah dan taufiq.. yang mana datang dulu ?
"Hidayah la.. kak dayah lagi tua dari Taufiq !"<-- siapa yang jawab ni? Ish3.. tak masuk sekolah ke? (jangan ada yang terasa ye, ampun maaf dipinta, mensuci hening dosa..) Ok, serius! Bayangkan ada seorang meraba-raba dalam kegelapan, tak tau nak buat apa, tak tau nak pergi mana, tak tau apa2, yang dia tau dia tak nampak apa2. Tiba-tiba ada satu cahaya menyuluh satu jalan (Hidayah). Dan lebih beruntung lagi orang tersebut dipermudahkan dan mendapat satu semangat seolah-olah ada yang menyuruhnya pergi ke cahaya tersebut dan melalui lorong yang disuluh itu. Jika ini situasinya, maka orang tersebut dikatakan telah mendapat hidayah dan taufiq. Dan ini juga yang berlaku kepada empunya-empunya badan yang mempunyai 'kaki-kaki' seperti dalam contoh di atas yang berjaya kembali ke pangkal jalan, kerana tiba satu saat, cahaya hidayah Allah menembusi pintu hati dan taufiq dari Allah juga membantu dan memudahkannya untuk mengambil jalan hidayah tadi. Maka tinggallah 'kaki-kaki' tadi bersama sejarah silamnya... "...Allah memimpin sesiapa yang dikehendakiNya (menurut undang-undang dan peraturanNya) kepada nur hidayatNya itu dan Allah mengemukakan berbagai-bagai misal perbandingan untuk umat manusia dan Allah Maha Mengetahui akan tiap-tiap sesuatu " (An-Nuur : 35)



Ada pula mereka yang nampak jalan bercahaya tersebut, tetapi kerana tiada taufiq dari Allah, maka tiadalah daya yang mampu mengajak mereka ke arah jalan hidayah kebenaran tadi. Mereka ini pula seperti yang Allah Taala banyak kali khabarkan dalam Al-Quran. Antaranya :-


" Dan tiada yang menghalang manusia daripada beriman, ketika datang petunjuk Al-Quran kepada mereka dan daripada memohon ampun kepada Tuhan mereka, melainkan (kerana kedegilan mereka dan kerana mereka) menunggu didatangi azab yang memusnahkan yang telah menimpa orang-orang dahulu atau di datangi azab yang dilihat dan dihadapi " (Al-Kahfi: 55)


Dan ada pula yang tidak mendapat cahaya langsung.. Nauzubillah~ Kerana sesungguhnya Allah memberi hidayah kepada sesiapa yang dikehendakiNya...


".....Sesiapa yang diberi hidayat petunjuk oleh Allah, maka dialah yang berjaya mencapai kebahagiaan dan sesiapa yang disesatkanNya maka engkau tidak sekali-kali akan beroleh sebarang penolong yang dapat menunjukkan (jalan yang benar) kepadanya" (Al-Kahfi : 17)



Di mana kita?
Sebab itu kita seringkali diingatkan, andai terasa hidayah Allah itu menyapa, jangan buat dek saje, berusahalah agar Allah membantu kita menerima hidayahNya..



CAHAYA HIDAYAH

Betapa Maha Besarnya Allah SWT memberikan hidayah berupa cahaya (nur hidayah)
Atau apakah prnah sape2 terbaca atau terdengar sape2 menyebut batu hidayah, hajar hidayah, pepasir hidayah, pepohon kayu hidayah?


"Allah yang menerangi langit dan bumi. Bandingan nur hidayat petunjuk Allah (Kitab Suci Al-Quran) adalah sebagai sebuah "misykaat" yang berisi sebuah lampu; lampu itu dalam geluk kaca (qandil), geluk kaca itu pula (jernih terang) laksana bintang yang bersinar cemerlang; lampu itu dinyalakan dengan minyak dari pokok yang banyak manfaatnya, (iaitu) pokok zaitun yang bukan sahaja disinari matahari semasa naiknya dan bukan sahaja semasa turunnya (tetapi ia sentiasa terdedah kepada matahari); hampir-hampir minyaknya itu dengan sendirinya memancarkan cahaya bersinar (kerana jernihnya) walaupun ia tidak disentuh api; (sinaran nur hidayat yang demikian bandingannya adalah sinaran yang berganda-ganda): cahaya berlapis cahaya. Allah memimpin sesiapa yang dikehendakiNya (menurut undang-undang dan peraturanNya) kepada nur hidayatNya itu dan Allah mengemukakan berbagai-bagai misal perbandingan untuk umat manusia dan Allah Maha Mengetahui akan tiap-tiap sesuatu" (AnNuur:35)


Apabila difikirkan semula, bayangkan kalau hati sudah di selaputi dan dibaluti hitamnya dosa sehinggakan hanya ada satu lubang kecil sahaja yang tertinggal. Dengan izin Allah ditakdirkan hidayah untuk menembusi hati ini. Bayangkan kalau hidayah tadi adalah seketul batu yang mana mungkin muat dengan lubang kecil yang bersisa menagih kasih sayang Ilahi, bebutir pasir yang berat yang sekali campak bukan jauh mana pun pasir tu boleh pergi, sepohon kayu yang tak perlu cakaplah.. nak masuk ranting pun dah patah......

Tapi hidayah Allah itu berupa cahaya, mudahnya cahaya yang bergerak lurus boleh tembus apa sahaja saiz bukaan asalkan tidak ditutup sepenuhnya... Mudahkan, hidayah Allah? Tapi, ingat "Allah memimpin sesiapa yang dikehendakiNya (menurut undang-undang dan peraturanNya) kepada nur hidayahNya "
dan jangan pula kita yang sengaja menyombongkan diri, menutup pintu hati serapat-rapatnya seolah-olah tiada ruang lagi untuk ditembusi hidayah Ilahi.....


Marilah mencari dan berusaha mengekalkannya dalam hati..


Wallahua'alam




** Tadi baca Utusan Malaysia segmen TERKINI, nampak dua tajuk yang agak-agak serupa tapi tidak sama


Tajuk 1 : Lepas 11 hari di angkasa lepas: Muszaphar selamat pulang ke Bumi

Tajuk 2 : Lepas 47 hari: Dr Mahathir dibenarkan keluar dari IJN


SAYA PILIH TAJUK 1!

syeikh muszaphar dah sampai bumi...
dR muszaphar dah tiba bumi..


Ada seorang sahabat yang geli hati mendengar ayat-ayat seperti di atas...
"macam makhluk asing pulak dR tu"

Sekarang mungkin masih belum biasa lagi, tapi lama-lama bila teknologi dah makin canggih, semua orang pun boleh naik turun angkasa lepas sesuka hati, ntah-ntah keluar pulak dialog ni
"eh, nak pergi mana cuti ni?"
"aku ingat nak naik angkasa lepas jap, tapi tak lama, cuti pun bukannya panjang, seminggu je, lepas tu aku balik la ke bumi, nak ikut, ada seat kosong ni.."

bestnye kalau dapat peluang pergi angkasa lepas selalu... lihat bukti kebesaran Allah Yang Maha Hebat....

angkasa... ooo.. angkasa..

10:50 AM

apabila kesombongan memakan diri...

*Kisah ini dipetik dari majalah Iskandariah Mesir ‘MANAR ISLAM’
*And also credit to muharikah.wordpress.com


Pada suatu hari, seorang gadis yang terpengaruh dengan cara hidup masyarakat Barat menaiki sebuah bas mini untuk menuju ke destinasi di wilayah Iskandariah. Malangnya walau pun tinggal dibumi yang terkenal dengan tradisi keislaman, pakaian gadis tersebut sangat menjolok mata.


Bajunya agak nipis dan seksi hampir terlihat segala yang patut disembunyikan bagi seorang perempuan dari pandangan lelaki ajnabi atau mahramnya.Gadis itu dalam lingkungan 20 tahun. Di dalam bas itu ada seorang tua yang dipenuhi uban menegurnya. “Wahai pemudi! Alangkah baiknya jika kamu berpakaian yang baik, yang sesuai dengan ketimuran dan adat serta agama Islam kamu, itu lebih baik daripada kamu berpakaian begini yang pastinya menjadi mangsa pandangan liar kaum lelaki….” nasihat orang tua itu.


Namun, nasihat yang sangat bertetapan dengan tuntutan agama itu dijawab oleh gadis itu dengan jawapan mengejek.


“Siapalah kamu hai orang tua? Apakah di tangan kamu ada anak kunci syurga? Atau adakah kamu memiliki sejenis kuasa yang menentukan aku bakal berada di syurga atau neraka?”


Setelah menghamburkan kata-kata yang sangat menghiris perasaan orang tua itu gadis itu tertawa mengejek panjang. Tidak cukup setakat itu, si gadis lantas cuba memberikan telefon bimbitnya kepada orang tua tadi sambil melafazkan kata-kata yang lebih dahsyat. “Ambil hanphone ku ini dan hubungilah Allah serta tolong tempahkan sebuah bilik di neraka jahannam untukku,” katanya lagi lantas ketawa berdekah-dekah tanpa mengetahui bahawasanya dia sedang mempertikaikan hukum Allah dengan begitu biadab.


Orang tua tersebut sangat terkejut mendengar jawapan dari si gadis manis. Sayang wajahnya yang ayu tidak sama dengan perilakunya yang buruk.


Penumpang-penumpang yang lain turut terdiam ada yang menggelengkan kepala kebingungan. Semua yang di dalam bas tidak menghiraukan gadis yang masih muda itu yang tidak menghormati hukum-hakam itu dan mereka tidak mahu menasihatinya kerana khuatir dia akan akan menghina agama dengan lebih teruk lagi. Sepuluh minit kemudian bas pun tiba perhentian.


Gadis seksi bermulut celupar tersebut di dapati tertidur di muka pintu bas. Puas pemandu bas termasuk para penumpang yang lain mengejutkannya tapi gadis tersebut tidak sedarkan diri. Tiba-tiba orang tua tadi memeriksa nadi si gadis. Sedetik kemudian dia menggelengkan kepalanya. Gadis itu telah kembali menemui Tuhannya dalam keadaan yang tidak disangka. Para penumpang menjadi cemas dengan berita yang menggemparkan itu.


Dalam suasana kelam-kabut itu, tiba-tiba tubuh gadis itu terjatuh ke pinggir jalan. Orang ramai segera berkejar untuk menyelamatkan jenazah tersebut. Tapi sekali lagi mereka terkejut. Sesuatu yang aneh menimpa jenazah yang terbujur kaku di jalan raya. Mayatnya menjadi hitam seolah olah dibakar api. Dua tiga orang yang cuba mengangkat mayat tersebut juga kehairanan kerana tangan mereka terasa panas dan hampir melecur sebaik saja menyentuh tubuh si mayat.


Akhirnya mereka memanggil pihak keselamatan menguruskan mayat itu. Begitulah kisah ngeri lagi menyayat hati yang menimpa gadis malang tersebut.


Apakah hasratnya menempah sebuah bilik di neraka dimakbulkan Allah? Nauzubillah, sesungguhnya Allah itu Maha Berkuasa di atas segala sesuatu. Sangat baik kita jadikan ikhtibar dan pelajaran dengan kisah benar ini sebagai muslim sejati. Jangan sekali sekali kita mempertikaikan hukum Allah dan mahupun sunnah RasulNya saw dengan mempersendakan atau ejekan.


Kata-kata seperti ajaran Islam tidak sesuai lagi dengan arus kemodenan dunia hari ini atau sembahyang tidak akan buat kita jadi kaya dan seumpamanya adalah kata-kata yang sangat biadab dan menghina Allah, pencipta seluruh alam. Ingatlah teman, kita boleh melupakan kematian, tetapi kematian tetap akan terjadi bagi kita. Hanya masanya saja yang akan menentukan bila kita akan kembali ke alam barzakh. Janganlah menjadi orang yang bodoh, siapakah orang yang bodohitu? Mereka itulah orang yang ingin melawan Tuhan Rabbul alamin. Apabila anda enggan melaksanakan suruhan Tuhan bererti anda ingin melawan arahan Tuhan. Sewaktu di sekolah anda tertakluk dengan undang-undang sekolah, dalam pekerjaan anda tertakluk dengan undang-undang yang di lakar oleh majikan anda, di dalam negeri anda tertakluk di bawah undang-undang negara anda. Begitu taksub sekali anda terhadap undang-undang itu hingga terlalu prihatin takut kalau melanggar undang-undang itu. Apabila anda berpijak di bumi ini, anda juga tertakluk dengan undang-undang yang telah di gubal oleh yang menjadikan bumi ini.


Setiap Sultan ada taman larangannya, begitu juga Allah swt. Taman laranganNya adalah perkara-perkara yang telah diharamkan bagi hamba-hambaNya di muka bumi ini. Sama samalah kita memohon agar Allah sentiasa memberi kita petunjuk di atas jalan yang benar dan kekuatan agar sentiasa dapat menjaga lidah kita.


Biar iman mendahului fikiran, biar fikiran mendahului tindakan...

Allahuakbar, Allahuakbar, Allahuakbar...
Salam Eidulfitri, maaf zahir batin ^^