7:32 AM

Alhamdulillah thumma Alhamdulillah

Bismillah


Sesungguhnya Allah memberi kuasa memerintah kepada sesiapa yang diinginkanNya..

Tahniah buat semua calon yang berjaya

Andalah pilihan Allah, yang akan menghadapNya untuk disoal segala tanggungjawab ke atas setiap rakyat yang anda wakili

Tunaikan amanah sebaik mungkin, bersihkan niat di hati, pastikan ISLAM tertegak semula di muka bumi. ameen..

(tak sempat nak ulas panjang-panjang, tengah sibuk nak exam. )

ooo .. ye.. saya SOKONG KERAJAAN Selangor!! negeri ayah ? ooo..saya SOKONG KERAJAAN Perak!! negeri mak..? erm.. kalau bandar Maharani saya SOKONG!

7:04 AM

Tuhan, kurniakanlah...... (countdown)

Bismillah
Lagi 2 hari rakyat Malaysia akan mengundi
Mengundi pemimpin yang akan mewakili mereka, mendengar masalah dan membantu mereka, menjaga kepentingan mereka,
namun.... berapa ramai yang memilih pemimpin untuk membimbing mereka supaya jauh dari NERAKA ALLAH?
Sebenarnya berapa ramai PEMIMPIN yang BOLEH MEMBIMBING rakyatnya mentaati Allah dan menjauhi azabNya......?



PEMIMPIN YANG ADIL

Pemimpin yang adil

Sangat dikehendaki

Memakmurkan ummat

Dunia dan akhirat

Tiada keadilan

Negara huru rara

Pemimpin membela nasib rakyatnya

Pemimpin yang adil

Sifatnya amanah

Mampu rasa resah susah rakyat-rakyatnya

Keadilannya tanpa pilih kasih pada siapa

Kepentingan rakyat lebih utama

Mendengari rintihan dari rakyat-rakyatnya

Kasih sayang terserlah di wajahnya

Sombong dan takbur tidak ada pada dirinya

Rakyat hormat bukan takut padanya

Pemimpin yang adil

Mengutamakan amanah

Wang rakyat dan negara tidak disalahguna

Rasuah dan kemungkaran sangat dijauhinya

RAKYAT DISELUBUNG TAATI ALLAH

Betapa pemimpin di dunia kini

Seringkali mencetus huru rara

Demi memenuhi kepentingan dirinya

Rela membiar rakyatnya derita

Pemimpin yang adil

Mengutamakan rakyatnya

Melepaskan mereka dari sengsara

Akhlak yang mulia

Pakaian dirinya

Rakyat taat dan sayang padanya

Tuhan, kurniakanlah pemimpin yang sejati

Tuhan, kurniakanlah pemimpin yang berbudi

Tuhan, kurniakanlah pemimpin yang sejati

TUHAN, KURNIAKANLAH……..



Semoga rakyat Malaysia bijak mengundi
Tuhan, kurniakanlah.....

Wallahua'lam

10:00 AM

Mengundi di bando atok (Muo)

Bismillah..
Tiba-tiba terasa nak coret-coret sikit situasi PRU di bando kelahiran saya Muo Bando Maharani (Muar Bandar Maharani). Tetapi yang pastinya, atok perempuan dan atok lelaki tahun ini mungkin tak dapat keluar membuang undi di kawasannya, kerana kedua-duanya berada di Kajang, di atas kondisi kesihatan mereka yang kurang memuaskan, ibu dan ayah membawa atok tinggal bersama kami. (SyafahumaaLlah)


Berita Asal Di Sini

Kemunculan pusat perdagangan baru tidak memerlukan lagi penduduk ke bandar lain untuk dapatkan keperluan harian

MUAR: Kepesatan pembangunan di kawasan Parlimen Bakri memberi kelebihan kepada penduduknya untuk menikmati pelbagai kemudahan infrastruktur, selain kemunculan pusat perdagangan baru yang menjadi pelengkap kepada pembangunan di pusat bandar Muar.

Pekan Bakri dan pusat perdagangan di Pesta, Jalan Bakri juga mencatatkan pertumbuhan yang membanggakan sehinggakan penduduk tidak perlu lagi ke pusat bandar untuk mendapatkan keperluan harian apabila wujud pelbagai kedai dan pusat jualan di situ.


Kawasan Parlimen Bakri memiliki kemudahan infrastruktur setanding dengan kawasan lain, selain kawasan itu turut menjadi lokasi Maktab Teknik Polis Diraja Malaysia (PDRM), Kem Pasukan Gerakan Am (PGA) dan Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) [My mom pernah kerja jadik cikgu BI kat cni, tapi kejap je, lepas tu cabut lari sambung belajar accountancy- penat kut jadik cikgu..errr..], selain kemudahan pasar raya besar.


Bekas Ahli Parlimen Bakri, Datuk Seri Chua Jui Meng, berkata kawasan itu mencatatkan pelbagai pembangunan hasil daripada bantuan kerajaan pusat dan negeri yang memberikan perhatian bagi memastikan kawasan itu tidak terpinggir, terutama kemudahan infrastruktur.


Katanya, sistem perparitan dan jalan raya di semua kawasan itu juga turut dinaik taraf supaya masyarakat dapat menikmati kemudahan infrastruktur yang terbaik dan setanding kawasan lain.


"Banyak perubahan positif berlaku di Bakri sejak empat tahun lalu, banyak jalan dan sistem perparitan dibaiki dan dinaik taraf hasil bantuan Kerajaan Pusat dan kerajaan negeri untuk kebajikan orang di kawasan Bakri, " katanya.


Selain itu, Chua berkata, kawasan Bakri juga mempunyai kemudahan hospital kerajaan yang terbaik apabila Hospital Muar [pernah terfikir nak kerja kat cni lepas belajar, sebab dekat dengan atok, senang nak jaga diorang.. (perasan cucu yang prihatin)] dinaik taraf sebagai Hospital Pakar Sultanah Fatimah (HPSF) yang juga menjadi hospital daerah pertama diisytiharkan hospital pakar. [nampaknya takde harapan sangat la nak kerja kat cni kalau setakat houseman lagi.. tunggu jadik MO atau pakar ler..]


Beliau berkata, HPSF adalah hospital kedua terbesar di Johor dan menjadi rujukan kepada penduduk di kawasan utara Johor dan sebahagian Melaka.


Katanya, masyarakat kawasan itu beruntung kerana berpeluang mendapat perkhidmatan di hospital pakar dengan kos yang amat rendah iaitu kira-kira 98 peratus kos adalah ditanggung kerajaan.


"Jika HPSF itu adalah hospital swasta, sudah pasti orang daerah Muar perlu menanggung bayaran kira-kira RM350 juta setahun untuk mendapat perkhidmatan bertaraf hospital pakar, namun kerajaan menyediakan perkhidmatan terbaik dengan hanya mengenakan bayaran terlalu kecil kepada masyarakat," katanya.


Sementara itu, bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Bentayan, Lau Yew Wee @ Richard Lau, berkata kawasan itu tidak terkecuali daripada menerima limpahan pembangunan apabila projek pembangunan negeri dijalankan, termasuk sistem perparitan dan jalan.


Beliau berkata, projek infrastruktur awam turut dilaksanakan di DUN Bentayan, termasuk membina jeti nelayan di Kampung Bakar Batu, Kampung Bukit Treh dan Parit Beting.


Selain itu katanya, Pusat Pengaduan MCA Bakri yang dipengerusikannya juga memainkan peranan bagi membantu orang ramai menyelesaikan pelbagai masalah.


"Penubuhan pusat pengaduan itu mendapat perhatian orang ramai sehingga mereka yang tinggal di luar daerah juga sanggup datang berjumpa saya bagi membuat aduan mengenai masalah yang mereka hadapi," katanya.


Bekas Adun Sungai Abong, Datuk Dr Haris Salleh, berkata Sungai Abong yang terletak di pinggir pusat bandar Muar berkembang pesat selaras kedudukannya yang berfungsi sebagai bandar satelit.


Katanya, Sungai Abong yang mempunyai banyak taman perumahan termasuk yang dalam pembinaan menyebabkan pelbagai kemudahan infrastruktur disediakan bagi memastikan masyarakat lebih selesa.


"Banyak projek dan kerja menaik taraf jalan raya dan sistem perparitan di kawasan itu dijalankan bagi menampung keperluan penduduk, sekali gus memastikan masyarakat di kawasan berkenaan memiliki kemudahan infrastruktur yang lebih selesa," katanya.


Selain itu katanya, masalah banjir yang sering berlaku di Sungai Abong juga berjaya diatasi apabila Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) serta Jabatan Kerja Raya (JKR) menjalankan kerja menaik taraf sistem perparitan di kawasan berkenaan.


Calon Adun Bukit Naning, Datuk Abdullah Md Ali, berkata dalam tempoh tiga tahun lalu, pihaknya berjaya menyelesaikan masalah jalan dan lampu jalan, selain menyediakan kemudahan perpustakaan e-desa, gelanggang badminton, masjid serta surau di DUN berkenaan.


Katanya, walaupun DUN Bukit Naning terletak di kawasan kampung, penduduknya tetap menikmati kemudahan infrastruktur yang terbaik.


"Isu tempatan di DUN Bukit Naning banyak yang sudah diselesaikan menjadikan kawasan itu tidak dipinggirkan dalam arus pembangunan," katanya.


Katanya, pihaknya juga membangunkan Dataran Naning yang turut dijadikan kompleks sukan dan padang di Batu 18, Jalan Muar-Parit Sulong.


Calon Pilihan Raya Umum Ke-12


P145 Bakri (55,483)
Melayu: 43.35% Cina: 54.37% India: 2.138% Lain: 0.15%
1. Tay Puay Chuan
2. Er Teck Hwa
2004: Datuk Seri Chua Jui Meng Majoriti 19,059

N12 Bentayan (21,624)
Melayu: 23.45% Cina: 74.448% India: 1.998% Lain: 0.11%
1. Lee Ching Yong
2. Gwee Tong Hiang
2004: Lau Yew Wee Majoriti 428

N13 Sungai Abong (20,104)
Melayu: 52.86% Cina: 43.98% India: 2.99% Lain: 0.17%
1. Kamaruddin Suratman
2. Dr Sheikh Ibrahim Sheikh Salleh <-- haaa? ni ayah kawan satu kelas kat sekolah dulu.. bertanding pakcik, jangan tak bertanding.. hehe
2004: Datuk Dr Haris Salleh Majoriti 6,057

N14 Bukit Naning (13,710)
Melayu: 59.59% Cina: 39.25% India: 0.998% Lain: 0.18%
2. Alias@Elies Shamsir
2004: Datuk Abdullah Ali Majoriti 6,334


Kaum kerabat saya di Muar, boleh dikatakan berdarah biru pekat jugak kot. Ape pun semoga bijak mengundi nanti...


Wallahua'alam

12:24 PM

Indeed, the soul carries the body

Bismillah..

Are you seeking for happiness?
Try to find the answer






"..So WOE to those whose heart are hardened against remembrance of Allah! They are in plain error! "


Wallahua'lam

6:41 AM

P95 N9 - Selangor darul Ehsan

Malaysia kini hangat dan panas dengan isu-isu pilihanraya umum ke-12. Terasa bahang kehangatannya di bumi yang jauh ini. Di sana-sini orang berkempen, melobi, berbalah, melatah dan berperang mulut. Masing-masing cuba membela diri dan parti pegangan. Ada yang masih mahu menegakkan benang yang sememangnya sudah basah kuyup, ada yang mahu berdolak-dalih dan pastinya disebalik kekotoran pilihanraya, masih ada yang bersih. Bersih bukan sekadar untuk menghapuskan kekotoran semata-mata, namun bersih untuk melaksanakan tuntutan agama dan menegakkan kalimah Allah di muka bumi. Allahuakbar.





Saya mendoakan kawasan P95 Tanjong Karang dan N9 Permatang bakal mendapat seorang wakil rakyat yang benar-benar boleh mewakili dan menjadi khadam kepada rakyatnya sekaligus membawa satu perubahan baru di dalam hati-hati masyarakatnya yang sememangnya ramai yang ketandusan pengisian hati.


Walaupun hari penamaan calon akan diadakan esok, namun siapa yang bakal bertanding di P95 sudah saya diketahui. Dato’ Noh Omar (BN) yang merupakan penyandang kekal sebelum ini akan terus bertanding dan bertemu mata dengan Saudara Hanipa Maidin (AJK Pas Pusat). Wah, hebat dan sengit nampaknya calon kawasan saya. Saya pilih yang mana? Sekali lagi undi adalah rahsia. Lagipun saya tak akan mengundi tahun ini. Anda boleh membuat spekulasi calon pilihan saya. Saya tak kisah. Tapi saya mendoakan calon pilihan saya menang dan yang paling penting pabila saya balik ke pangkuan kawasan saya, saya boleh memberi bakti kepada kelompok masyarakat saya walaupun sedikit. Itu azam saya.


Saya dan kawasan saya

Tanjong karang. Satu pekan kecil yang terletak di bahagian utara Selangor. Walaupun tidak sehebat Shah Alam, Subang Jaya, Klang dan Bangi, namun Tanjong Karang yang kecil itu menjadi laluan utama yang menghubungkan antara Selangor dan Perak. Sesiapa yang nak ke Teluk Intan, Bagan Datoh, dan ke Utara Malaysia akan selesa memilih jalan dalam ini sebelum memasuki Lebuhraya Utara-Selatan di susur keluar negeri Perak. Jimat kos tol sambil-sambil dapat menghirup udara segar dari kawasan kampung.


Kawasan Tanjong Karang dan utara Selangor yang meliputi Sungai Burung, Sungai Sireh (ada satu homestay di situ), Sekinchan, Sungai Panjang (kawasan MB Khir Toyo), Sungai Haji Dorani, Simpang Lima, Sungai Besar dan berakhir di Sabak Bernam merupakan kawasan yang digelar ‘periuk nasi’ Selangor. Di sinilah tempat berkumpulnya para pesawah dan petani yang tidak jemu-jemu berbakti kepada negara untuk memberi makan anda semua. Termasuk pakcik dan saudara-mara saya. Terima kasih banyak-banyak.


Gejala penghijrahan golongan muda ke ibukota dan pekan-pekan besar dari tempat saya kurang dirasai. Mungkin disebabkan Tanjong Karang itu sendiri tidak jauh daripada ibukota dan mungkin dengan adanya sistem pengangkutan awam yang agak mudah untuk ke pekan-pekan besar seperti Klang dan Kuala Lumpur. Ramai juga yang sanggup berulang-alik setiap hari ke tempat kerja termasuklah bapa saya suatu ketika dulu ketika bekerja di Pusat Bandar Damansara. Namun sekarang disebabkan pusat pentadbiran kerajaan bertukar ke Putrajaya, maka jaranglah keluarga saya dapat bertemu dengan bapa kecuali hujung minggu dan kalau bapa saya terlebih rajin menghabiskan minyak ke Tanjong Karang sahaja.


Saya dan kampung saya

Saban tahun ketika saya pulang ke kampung halaman, ada sahaja perubahan di tempat saya. Perniagaan semakin berkembang, peluang pekerjaan untuk anak tempatan semakin banyak. Di sana-sini saya terserempak dengan kawan-kawan sekolah lama saya yang sudah bekerja di premis-premis perniagaan. Ingat muka tapi tak ingat nama. Namun, kebanyakan mereka mengingati saya (agak dikenali jugak ^^). Begitu juga kadang-kadang ditegur oleh pakcik dan makcik yang saya tidak dikenali, bukan kerana saya glamour dikalangan mereka, namun mengenali mak, bapa dan embah (nenek) saya. Terasa kecil sebenarnya pekan tua ini. Memang kecil pun. Kadang-kadang sampai 3-4 kali saya keluar ke pekan dalam sehari (tetiba rindu untuk memandu kereta).





Kadang-kadang di waktu petang saya suka meronda-ronda di kawasan kampung bersama peneman setia saya si kecil yang dah membesar, Ayi, meninjau-ninjau aktiviti anak-anak muda kampung. Ada yang sibuk beriadhah di padang bola (termasuklah adik saya), ada yang duduk melepak di simpang-simpang jalan sambil berborak dan kadang-kadang menghalangi laluan kenderaan, ada yang sibuk meronda-ronda seperti saya juga, tetapi mereka selalunya berkonvoi menaiki motor, ada yang duduk berkumpul di kedai-kedai kopi dan bermacam-macam lagi. Inilah kehidupan kampung. Kadang-kadang melepak sambil terbawa-bawa ke maghrib. Tak tahulah tuntutan asar dah selesai ke belum.


Kampung saya memang dikenali sebagai kubu kuat BN. Kampung Sungai Gulang-gulang. Satu nama yang pelik bila pertama kali mendengar, namun jangan tak tahu, kampung yang bernama pelik ini pernah memenangi naib juara kampung terbersih di peringkat negeri selepas kalah kepada sebuah kampung di Banting (tak ingat nama kampung tu, Kampung Indah kalau tak silap saya). Dan pasukan nasyid wanitanya pula (bawah kelolaan Umno) pernah mewakili negeri Selangor dan mendapat tempat kedua selepas tewas dengan Terengganu. Macamana saya boleh tau semua ini? Sebabnya antara JKK kampung merupakan jiran sebelah rumah saya. Dialah yang menjadi solo di dalam kumpulan.


Kalau nak diikutkan memang kampung saya ni agak aktif. Pelbagai kursus untuk pemuda kampung seperti kursus komputer, kemahiran dan lain-lain. Siap dapat peruntukan kewangan lagi kalau pergi. Perkara-perkara macam ni memang bagus, namun saya tak tahu pula sejauh mana sambutannya dikalangan anak muda sendiri. Dengar-dengarnya asyik muka yang sama je dan kebanyakannya merupakan anak dan saudara –mara JKK tersebut.


Namun disebalik kekuatan akses dengan Dato’ Noh Omar ini, apa yang saya sesali adalah pembangunan jiwa anak muda kampung ini sendiri. Saya tahu perkara ini berlaku di mana-mana. Dan inilah masalahnya. Kegiatan agama sangat kurang. Selalunya kelas-kelas mengaji dan belajar agama hanya dihadiri oleh makcik-makcik yang sudah tua. Seperti embah saya. Surau-surau jarang kelihatan anak muda yang datang. Kalau adik-adik balik berkumpul di rumah, mak dan sayalah yang selalu bising kat mereka suruh pergi surau. Maka pergilah mereka berempat dengan menaiki dua motosikal. Kadang-kadang ada juga kelibat orang-orang tabligh yang datang ke rumah-rumah berdakwah dan mengimarahkan surau dan masjid.


Saya bukan merendah-rendahkan pemuda kampung, saya pun seorang pemudi kampung juga. Kebanyakan dari mereka ini mungkinlah tahap pendidikannya kurang, namun apa yang saya nampak semangat kesatuan mereka amat kuat. Apabila diajak bergotong-royong sangat bersemangat, apabila diajak berkompang semua nak turut serta. Cuma mungkin dari segi nak pergi masjid tu kurang rajin. Jadi, kekuatan berpasukan inilah yang menjadi daya penarik buat mereka. Bila cara lama dan tipikal tidak berjaya, maka cubalah untuk membuat sesuatu yang baru untuk mendekati mereka ke arah yang lebih baik.


Namun masalahnya, ada ke kesedaran tentang perkara ini di dalam hati para pemimpin kampung dan kawasan dan parlimen itu sendiri? Saya pun tidak tahu apa target dan matlamat mereka. Mungkin kerana saya tak ambil tahu tapi rasanya tak pernah diberitahu. Jadi kalau ada insan-insan yang nak membantu pun, tak tahu nak salur khidmat ke mana sebab tak tahu sama ada agenda mengislah golongan muda-mudi ini termasuk di dalam target mereka atau tidak.


Saya sayangkan pemuda dan pemudi kampung kerana saya adalah sebahagian daripada mereka. Bukan kampung saya sahaja tapi seluruh Malaysia. Pada saya mereka ini naïf dan suci daripada pemuda-pemudi bandar. Tidak ramai di antara mereka yang tahu berjoli, berpesta, menyalahgunakan internet,. Kalau betul cara dan mengena umpannya, mereka akan mudah untuk menerima kebaikan. Ilmu perlu disampai dan disalurkan kepada mereka dengan cara yang berbeza sebab mereka ni dah jenis yang malas dah nak buka buku, baca kitab, rujuk sana, rujuk sini.


Ketika balik Malaysia tempoh hari saya sudah merisik-risik tempat untuk saya menyalurkan sumbangan saya. Alhamdulillah jumpa. Apa yang ada pada saya walaupun sedikit saya rasa kawan-kawan sekampung saya tidak ada. Jadi, sayalah yang bertanggungjawab untuk memberi apa yang ada pada saya kepada mereka. Banyak caranya, cuma kita perlu rajin keluar mencari, jangan hanya menanti kerana kitalah agen perubahan tersebut.


Saya harapkan senario di kawasan saya akan berubah juga. Ini kawasan saya, kawasan anda bagaimana? Siapa calon anda? Ambillah tahu dan malulah kepada sesiapa yang tidak tahu siapa bakal pemimpinnya sendiri.


Selamat mengundi buat semua.


p/s Entry ini saya kategorikan didalam diary. Harap maklum ^^

9:40 AM

Saya dan Pilihanraya

Bismillah..

Pilihan raya umum datang lagi! Selamat membuang undi kepada sesiapa yang layak mengundi. Saya sendiri tidak terdaftar. Lain tahun barangkali. Apa pun, undi satu amanah, jalankan sebaiknya!



Saya dan pilihanraya

1995

Kali pertama saya kenal apa itu pilihanraya ialah sewaktu saya berumur 9 tahun, Tahun 3 sekolah rendah (1995). Sekolah tempat saya belajar menjadi pusat pembuangan undi bagi memilih Ahli Dewan Undangan Negeri Kawasan Seri Kembangan. Calon-calon yang bertanding ketika itu ialah Dato Haji Mohamad Satim Bin Diman mewakili Parti Barisan Nasional, dan seorang lagi wakil DAP (BA), orang Cina yang tidak diingati namanya. Saya tidak merasai kehangatan pilihanraya umum ketika itu memandangkan diri sendiri masih kanak-kanak. Apa yang saya tahu, kami adik beradik gembira diberi cuti umum =D


Kempen? Macam biasalah, mana-mana tempat pun mesti penuh dengan poster-poster calon-calon parti masing-masing. Dacing dan roket... poster-poster itu memenuhi kawasan perumahan kami. Tibalah hari mengundi..

Saya pernah bertanyakan kepada ibu bapa saya, siapakah yang mereka pangkah dalam borang undian. (Undi adalah rahsia, budak kecik buat-buat tak faham). Namun seingat saya soalan saya dibiar tanpa jawapan yang tepat. Malah ibu sempat berseloroh memberitahu kami seorang temannya sempat 'berkempen',
"ala.. ROKET tu sama la macam BULAN"
Mungkin maksudnya, apabila kita mengundi ROKET, samalah seperti kita menyokong BULAN.
Saya hanya tersenyum... entah faham entah tidak.


Yang menang, tidak asing lagi Dato Satim yang banyak pengaruhnya. Semenjak itu, nama beliau sentiasa menjadi tumpuan untuk merasmikan majlis-majlis besar sekolah, ataupun sebagai sumber bantuan kewangan untuk program-program yang menelan perbelanjaan yang tinggi.



1999


Satu lagi memori saya tentang pilihanraya. Ketika itu kami sekeluarga telah berpindah ke Bandar Baru Bangi. Seingat saya pilihanraya ketika itu dibuat awal daripada tarikh yang sepatutnya (2000), barangkali kerana krisis reformasi setelah Dato Seri Anwar Ibrahim dipecat.


Seperti biasa, kami diberi cuti sekolah. Saya ketika itu bersekolah di SMAP Kajang pulang ke rumah dan ketika hari mengundi, saya tidak tahu dari mana kekuatan itu datang, saya sanggup berjaga sehingga lewat malam menantikan keputusan pilihanraya disiarkan. Keputusan diumumkan bukan serentak, kawasan yang telah selesai dikira, disiarkan keputusannya satu persatu. Satu keajaiban berlaku, apabila Terengganu jatuh ke tangan pembangkang. Saya yang keseorangan menyaksikan siaran langsung itu teruja dengan keupayaan pihak pembangkang merampas kerusi di Terengganu.


Keputusan akhir tetap menyaksikan pentadbiran negara kekal dikemudi oleh Barisan Nasional.
Namun masih teringat kata-kata Tun Dr Mahathir (Dato Seri ketika itu), supaya Barisan Nasional lebih berhati-hati selepas ini kerana keputusan yang dikeluarkan tahun itu sedikit sebanyak menunjukkan BN sedikit goyah.

(keputusan penuh pilihanraya 1999)


Kawasan Kajang? Parti pembangkang menguasainya, malah kami pelajar-pelajar SMAPK turut menerima tempiasnya, kerana ada yang menggelarkan kami sekolah *A*. Wutever.. (Tak baik tuduh-tuduh orang, tau!)



2004

Kali ini saya menyambut pilihanraya ke-11 di Terengganu. Di Kem Suria Resort, Setiu kerana mengikuti Program Latihan Khidmat Negara. Perang poster memang sangat terasa. Pada malam pengumuman keputusan, kami ramai-ramai (tapi bukan semua la) menyaksikan siaran di televisyen di dewan makan. Yang lain, ada yang bising di luar membawa bendera negeri kesayangan mereka. Keputusan tidak kami ikuti sehingga akhir siaran. Tetapi esoknya, yang saya tahu pentadbiran Terengganu bertukar tangan. Saya ? Terkilan dan sedih. Masih teringat jawapan seorang jurulatih PLKN, ketika saya dan sahabat bertanya siapa yang dipangkah dalam borang undiannya ? (undi adalah rahsia, buat-buat tak faham lagi...)

Cikgu (panggilan kepada jurulatih PLKN) menjawab "Kerajaan yang kita ada sekarang ni pun ok. Semua kita dapat, kemudahan, takde kesusahan.."- lebih kurang begitulah ayatnya, saya mengambil mafhumnya sahaja. Lembut teratur butir bicaranya, seolah-olah ingin menjaga hati seseorang, walaupun di medan kawat dia yang saya kenal adalah seorang yang amat tegas denga suaranya yang garau.


Dan berakhir lagi sebuah pilihanraya. Siapa lagi kalau bukan BN masih memegang tampuk pemerintahan negara.

(keputusan penuh pilihanraya 2004)



2008

"Ayah, pilihanraya bila?", walaupun sudah tahu, saja saya bertanya meriahkan suasana ketika berbual dengan ayah tersayang setelah asyik mendengar ayah mengadu tentang penyakitnya.
"Ayah undi siapa?", sekali lagi saya tanya soalan sangat tidak munasabah, saya masih tidak berubah. "Undi adalah rahsia", saya sendiri menjawab soalan yang ditanya dengan gelak tawa, tanpa menunggu ayah menyambung bicaranya.


Pilihanraya tidak sepatutnya dicalar dan diconteng dengan warna kejahatan. Pilihanraya seharusnya bersih dari segala penyelewengan. Pilihanraya sewajibnya, benar-benar menjadi wasilah untuk rakyat bersuara siapa pemimpin pilihan, yang akan mewakili mereka, walaupun tanpa kata-kata.

Tambahan bacaan



Pilihan raya dulu dan sekarang yang saya lalui. Beranikah kita melakar perubahan atau selesa dengan apa yang kita nikmati? Dare to change? Jawapannya ada pada anda, pengundi semua.


Wallahua'lam