Pernahkah terfikir nak jadi duta? Hari-hari seorang duta dipenuhi dengan tugas-tugas berkhidmat kepada negara. Segala gerak gerinya diperhatikan kerana dia menjadi lambang identiti negara. Setiap kali negara ditohmah atau diancam, dia akan berusaha mempertahankan kedaulatan negara sehabis upaya. Inilah senario hidup seorang duta. Memang mencabar & menuntut kepada kekuatan fizikal & mental.
Sebenarnya, secara sedar atau tidak, kita semua adalah seorang duta, iaitu duta kecil Islam. Kita berperanan melaksanakan amanah dari Allah di muka bumi ini sebagai khalifah. Begitu juga setiap tindak tanduk kita memberi kesan bagaimana orang bukan Islam melihat Islam & rasa sensitiviti kepada ancaman & tohmahan yang dilemparkan kepada Islam harus ada dalam diri kita. Walaupun memenuhi taklifan ini tidak mudah bagai dikata tetapi ia TIDAK MUSTAHIL.
Watikah perlantikan taklifan ini terkandung dalam ayat 35, surah Faathir;
"Dialah yang menjadikan kamu khalifah-khalifah di muka bumi. Barangsiapa yang kafir, maka (akibat) kekafirannya menimpa dirinya sendiri. .."
Antara syarat kelayakannya ialah :
- nikmat Islam & Iman kurniaan Allah swt
- kerelaan mendidik diri menuruti suruhan Allah & menjauhi laranganNya
- keinginan yang kuat untuk mengecapi kebahagiaan di dunia & akhirat
Keistimewaan tugas ini adalah tiada had masa dalam tempoh perkhidmatannya. Selagi kita masih menjadi seorang muslim yang cinta & kasihkan Islam dengan mentaati Allah & rasulNya, maka selama itu kita adalah duta kecil Islam. Keistimewaan ini ditambah lagi dengan ganjaran kenikmatan melimpah ruah yang dijanjikan ar-Rahman kepada hambaNya yang sedia melaksanakan perintahNya, mengakui diri sebagai hamba kepadaNya, sebagaimana yang dinukilkan dalam surah Ali Imran, ayat 14-15;
“Dijadikan indah dalam pandangan manusia cinta terhadap apa yang diinginkan, berupa perempuan-perempuan, anak-anak, harta benda yang bertumpuk dalam bentuk emas dan perak, kuda pilihan, haiwan ternak dan sawah ladang. Itulah kesenangan hidup di dunia dan di sisi Allah lah tempat kembali yang baik(14) Katakanlah,”mahukah aku khabarkan kepadamu apa yang lebih baik dari yang demikian itu?”bagi orang-orang yang bertakwa (tersedia) di sisi Tuhan mereka syurga-syurga yang mengalir di bawahnya sungai-sungai, mereka kekal di dalamnya, dan pasangan-pasangan yang suci serta redha Allah. Dan Allah Maha Melihat hamba-hambaNya (15) ”
Begitulah hakikatnya, selain dari meniti hari sebagai seorang penuntut ilmu, sebenarnya kita juga memikul tanggungjawab sebagai duta kecil Islam, yang bertugas membawa nilai-nilai Islam dalam kehidupan.
Jelaskan matlamat...Tuluskan niat