Hari ini dan hari-hari yang seterusnya, ramai sahabat-sahabat seirbid yang akan keluar bermusafir. Baru sebentar tadi melambai sahabat-sahabat yang akan ke daerah yang sarat dengan tinggalan sejarah. Daerah gemilang Uthmaniyyah satu ketika dulu. Sejarah kalau hanya dibaca dari sumber-sumber materi tidak kan sama dengan apa yang ditatap oleh mata sendiri, maka dengan itu pabila peluang untuk meneroka tinggalan berharga tersedia di depan mata, tak pantas untuk kita menolaknya. Tidak kurang juga yang berpeluang untuk berjemaah di salah sebuah masjid yang menjadi sebutan dalam hadis nabi…
“Janganlah kamu bersusah payah untuk bermusafir melainkan untuk menuju ke tiga masjid, iaitu Masjid al-Haram(di Makkah), masjidku ini(di Madinah), dan Masjid Al- Aqsa(di Palestin)”
(Diriwayatkan oleh Bukhari dan Muslim)
Ketahuilah bahawa setiap orang yang bermusafir , seandainya tujuan yang dihadirkan di dalam hatinya adalah demi menambah ilmu pengetahuan atau memperoleh rezeki, yang mana segalanya dilakukan membantu menghidupkan agama, maka orang itu termasuk di dalam mereka yang menuju jalan ke akhirat.
Oleh kerana itu, bermusafir juga perlu dilengkapi dengan beberapa syarat dan adab, kerana seandainya perkara ini dilalaikan, maka nauzubiLLAH kita tidak lagi digolongkan dalam mereka yang menuju jalan ke akhirat, tetapi termasuk di dalam golongan mereka yang semata-mata mementingkan keduniaan dan menjadi pengikut syaitan sahaja. “Barangsiapa yang keluar dari rumahnya untuk mencari ilme pengetahuan, maka ia berada dalam jalan Allah sehingga ia kembali”(Diriwayatkan oleh Tirmizi)
Jabir bin Abdullah pernah bermusafir dari Madinah selama sebulan lamanya, hanya semata-mata untuk mengkaji sebuah hadit yang disampaikan kepadanya dari Abdullah bin Anas, sehingga ia dapat mendengar sendiri dari perawi itu dengan sejelas-jelasnya.
Satu hadis sahaja yang dikejar Jabir! Walau hanya satu, tampak sedikit tapi bukan itu jadi ukuran, malah yang lebih utama adalah ilmu yang dapat diperkukuh dalam diri.
Buat sahabat-sahabat yang bermusafir, saya ingin menghadiahkan sesuatu yang berharga – tentang adab-adab bermusafir dari Bab 17, Kitab Intipati ihya’ Ulumuddin. Kitab Ihya’ Ulumuddin yang sebetulnya mempunyai 4 Jilid adalah karangan imam Al-Ghazali(boleh diperoleh dari link ini) -
http://deansama.blogspot.com/2008/01/ihya-ulumuddin-revival-of-religious.html
Dan Kitab Intipati Ihya’ Ulumuddin ini merupakan ringkasan dari kitab utamanya, yang meruakan hasil tulisan As-Syeikh Muhammad Jamaluddin al-Qasimi Ad-Dimasqi. Maka di sini, saya cuma menaip secara terus keenam-enam adab bermusafir yang terkandung dalam kedua-dua kitab ini. Oleh kerana setiap satu adab agak panjang, pada entry kali ini saya mulai dengan adab 1 dan akan disambung dalam entry-entry yang selanjutnya, sepanjang 8 hari ketiadaan sahabat-sahabat saya yang bergerak ke Turki pada petang ini. InsyaAllah. Moga adab-adab ini dapat kita semua amalkan insyaAllah…
Adab 1
Ianya dimulai dengan mengembalikan semua harta yang diperoleh dengan cara zalim atau penganiaan, penipuan, pencurian dan lain-lain sebagainya. Selain itu tunaikanlah segala hutang piutang yang masih ada. Kemudian lengkapkanlah segala persiapan dan persediaan nafkah untuk orang-orang yang menjadi tanggungannya, sehingga mereka tidak menghadapi kesukaran hidup sepeninggalannya nanti.
Barangan pinjaman atau harta-harta amanat mestilah dikembalikan, sekiranya masih ada di dalam tangannya. Yang lebih penting lagi ialah supaya bekalan yang dibawanya diperoleh dengan cara yang baik dan bukannya dengan jalan yang haram dan batil. Ambillah dan pastikanlah bekalannya itu adalah dari perkara-perkara yang halal sahaja. Sekiranya pemergiannya itu dengan beberapa orang lain, maka hendaklah ia membawa bekalan yang cukup untuk seluruh pengikutnya.
Dalam bermusafir, usahakanlah selalu supaya mengucapkan perkataan-perkataan yang manis dan baik, suka memberi makan kepada orang lain, menampakkan budi pekerti yang luhur dan mulia. Orang yang bermusafir itu akan banyak menemui perkara-perkara yang menyakitkan hati dan menimbulkan keluhan, maka barangsiapa yang masih tetap luhur akhlaknya apabila bermusafir, itu adalah sebagai tanda kebaikan budi dan tinggi pekertinya.
Salah satu kesempurnaan budi pekerti seseorang yang bermusafir ialah berbudi baik kepada sesiapa sahaja yang disewa bendanya, misalnya kenderaannya yang dibayar dengan cukup dan lain-lain. Selain itu, ia suka menolong kawan-kawan dengan segala sesuatu yang dapat dilakukannya, memberikan bantuan kepada mereka yang tergendala perjalanannya dengan meyertakan mereka bersama-sama rombongannya, demikian juga memberikan sedekah kepada orang yang kehabisan bekalan.
Lebih sempurna apabila ia bergurau senda dengan kawan-kawan, berjenaka dengan mereka untuk menghiburkan hati mereka sewaktu senggang yang sama sekali tidak dicampur adukkan dengan perkara-perkara kemaksiatan dan yang buruk atau perkataan-perkataan yang kotor. Semua itu tentu dapat meringankan kesukaran yang dialaminya dalam perjalanan, juga mengurangkan keluhan hai dan jiwa. Wallahu a’lam….
…………………………………………………………………
Inilah adab bermusafir yang pertama, tercatat di dalam kitab yang saya sebutkan di atas. Maghrib pun kan meyusul selepas ini, matahari pula sudah ingin melabukan tirai. Kita akan sambung untuk adab yang kedua di entry yang seterusnya. InsyaAllah.
Assalamualaikum warahmatuLLAHi wabarakaatuh….