11:36 AM

Senior naik tocang?

Bismillah

Selesai satu lagi program besar PERMAI. Tamat selepas jam 9 malam, waktu qarar yang dihadkan. Menjadi kebiasaan di sini, selepas tempoh qarar, pelajar perempuan akan dimuraqibkan untuk menjaga keselamatan.

Saya dan adik-adik siswi sedang menanti seseorang di luar dewan.

"Akak balik macam mana ni? Ada muraqib ? "
Sopan, seorang junior bertanya. Tidak pula saya kenal siapa.

Kami ketika itu 4 orang, namun sedang menunggu wanita pertama PERMAI menyelesaikan hal-hal di balik tabir selepas program menjadikan kami 5 orang kesemuanya.

"Takpe. Kami naik teksi. Takde polis malam-malam ni"

Ketika itu di fikiran saya, alang-alang dah ramai pelajar perempuan, boleh la balik sekali dengan satu teksi, walaupun had penumpang teksi hanya 4 orang, tetapi kami pelajar Melayu yang kecil-kecil ini, boleh 'squeeze' sikit untuk memuatkan 5 penumpang dalam teksi. Bahayanya cuma satu, pemandu teksi takut disaman jika ada polis yang melakukan rondaan.


Terdengar adik tersebut ketawa kecil.

"Polis...."

Saya tidak melihat ia sebagai satu perkara yang besar. Tambahan, saya sendiri terfikir, tidak mahu menyusahkan mereka, siswa junior yang ingin memuraqibkan. Kerana itu saya lebih selesa menaiki teksi bersama sahabat-sahabat lain.


Tetapi, saya terkilan, apabila ada yang menyampaikan, dia terdengar satu suara di kalangan pelajar siswa, selepas saya menolak untuk menerima pertolongan untuk dimuraqibkan.

"Ala.. dah dia senior...."

Seolah-olah maksudnya pada pendapat saya "Nak buat macam mana, kakak ni macam tak nak ikut peraturan, nak paksa pun..., dia dah senior, kita ni junior, takkan nak tegur dia pulak ".

Walhal saya tahu mereka, pemimpin-pemimpin persatuan ini, mahu melaksanakan qarar dan peraturan sebaik mungkin.

Tiada yang lain, ayat itu memang ditujukan kepada saya, satu-satunya pelajar senior yang sedang menunggu adik-adik lain untuk pulang bersama.

Saya tidak mendengarnya, jadi saya tidak tahu nada dan intonasi dialog tersebut dituturkan.
Tetapi saya terkilan andai ia memaksudkan, kesenioritian menjadi penghalang seseorang untuk ditegur apabila mekakukan kesalahan dan mungkin juga membawa contoh yang tidak baik kepada adik-adik yang lain. Ketika itu saya sedikit malu. Malu kalau-kalau dilabel atau dipandang 'slack', "dah senior, boleh buat apa sahaja", sedangkan mungkin mereka tidak tahu alasan saya bertindak menolak pertolongan mereka pada awalnya.

Saya berlapang dada. Takpelah, dah mereka ingin begitu. Kita ikut sahajalah. Akhirnya kami menaiki 2 teksi dengan seorang muraqib setiap teksi. Alhamdulillah, terima kasih.

Pulang ke rumah, saya terfikir....

Bagaimana, ye pandangan junior-junior terhadap senior-senior?

Keras kepala/ berlagak sangatkah seorang senior sehingga apabila dia melakukan kesilapan, tiada siapa yang mampu bersuara di hadapannya, sopan penuh adab menegur membetulkan?

Atau adakah di situ satu 'barrier' yang menghalang mereka bersuara ?

Kalaulah saya seorang senior yang dilihat begitu oleh adik-adik junior, saya mohon maaf.

Kalau salah tetap salah, tegurlah, anda kan pimpinan...?

Tetapi menegur pun ada adab sopan dan hormatnya, agar kami yang 'tua' ini tidak terasa ada 'kurang ajar'nya dalam tingkah laku dan tutur kata.

Cakap belakang dan sangkaan hanya akan memburukkan keadaan.

Senior atau junior, kita semua sama. Yang membezakan hanya jarak usia, tahun belajar, atau juga pengalaman. Kesenioritian bukanlah tiket untuk kita melakukan semua benda suka hati sendiri. Senior, anda jadi tauladan, contoh yang baik atau yang buruk yang junior perhatikan. Jangan keras kepala.

Bukan mahu memperbesarkan perkara kecil. Hanya mahu muhasabah diri sendiri.

(4 bulan lagi sebelum 'title' senior di sini, ditinggalkan untuk menyandang 'title' junior di hospital kerajaan)

Wallahua'lam