2:46 PM

Memakai 'Pakaian' ALLAH ? Tenangkah kita?

*perhatian: 'pakaian' di sini merupakan satu majaz (metafora).. bukan pakaian seperti pakaian manusia.. ALLAH- tidak sama dan tidak serupa dengan makhluknya


Bismillah

Dahulu


Masih teringat kata-kata ayah, hampir setiap pagi ayah tidak lupa mengingatkan kami di dalam kereta ketika menghantar saya, abang dan adik ke sekolah rendah. Kakak ketika itu sudah tinggal di asrama sekolah menengah.

"Bila pandai.. jangan takbur" (panjang lagi nasihat, tapi tak berapa ingat)

Jangan takbur.. jangan takbur, jangan takbur..

Perkataan yang sentiasa ayah ulang hampir setiap hari.

Takbur = sombong. Budak sekolah rendah mungkin hanya tahu mendefinisikan perkataan takbur semudah itu. Sombongkah saya? Kenapa ayah mengingatkan kami seolah-olah kami telah melakukan kesalahan tersebut? Padahal ketika itu saya tidak pula merasakan diri sombong dengan rakan-rakan. Budak sekolah rendah yang lurus bendul ini mengambil kata-kata ayah bulat-bulat,

"Ok, bila pandai.. , jangan takbur", saya simpan dalam diri, seolah-olah sifat takbur itu hanya dilarang sekiranya kita sudah pandai.


Kini


Terasa sangat nasihat yang sudah berbelas-belas tahun itu, masih terngiang-ngiang di telinga
ini. Saya sudah semakin memahami, nasihat ayah bukan hanya untuk sehari dua saya hadamkan , tapi buat bekalan saya selama-lamanya. Larangan takbur bukan hanya dipakai ketika kita
pandai, tapi dalam setiap situasi dan keadaan, malah bukan setakat sombong mendefinisikan takbur, lebih luas makna yang perlu saya faham.


Dari Abdullah bin Mas'ud r.a. dari Nabi s.a.w., sabdanya: "Tidak dapat masuk syurga seseorang yang dalam hatinya ada sifat kesombongannya seberat debu." Kemudian ada orang berkata: "Sesungguhnya seseorang itu ada yang senang jikalau pakaiannya itu baik dan terompahnya pun baik." Beliau s.a.w. lalu bersabda: "Sesungguhnya Allah itu Maha Indah dan mencintai keindahan. Kesombongan itu ialah menolak kebenaran dan menghinakan orang ramai." (Riwayat Muslim)


Batharulhaqqi ialah menolak kebenaran dan mengembalikannya kepada orang yang
mengucapkannya - yakni memberikan bantahan pada kebenaran tadi, sedang ghamthunnasi
ialah menghinakan manusia.


Allah Ta'ala berfirman:

"Janganlah engkau memalingkan muka dan para manusia sebab kesombongan dan janganlah berjalan di bumi dengan takabbur, sesungguhnya Allah itu tidak suka kepada setiap orang
yang sombong dan membanggakan diri." (
Luqman: 18)


Makna tusha'-'ir khaddaka ialah engkau membuang muka atau memalingkannya dari
orang ramai kerana berlagak sombong kepada mereka, sedang almarah atau maraha ialah kesombongan atau takabbur.


Takbur dan sombong bukan sifat hamba.
Al-Mutakabbir, Dialah Pemilik selayaknya


Kesombongan, jika dipandang dari sifat kemakhlukan (kemanusiaan), adalah tercela kerana sesungguhnya makhluk adalah bersifat kekurangan. Maka orang yang sombong memaksa
dirinya bersifat dengan sifat-sifat yang tidak layak
bagi seorang yang bergelar HAMBA kepada TUANNYA


Imam Al-Ghazali rahimahullah Ta'ala, menghuraikan bahawa sifat takbur terbahagi dua. Iaitu: Takbur bathin (yang tersirat dalam hati) dan kedua, takbur lahiriah (yang terserlah dalam bentuk perbuatan dan perkataan). Kadang-kadang dijelmakan menerusi bahasa badan, seperti melalui mimik muka, gerak mulut, gerak tangan atau kaki, gerak keseluruhan badan seperti lagak berjalan dan sebagainya.


Jangan pula pernah kita lupa sejarah awal kesombongan dan ke'takburan' hamba Allah yang
pertama..

Siapa pernah menyangka makhluk yang dulunya sujud penuh taat mengabdikan diri kepada Allah, berpaling akibat kesombongan yang tinggi sehingga menjadi makhluk pertama mendapat sijil kelayakan menjadi AHLI NERAKA

Na'uzubillah


"Dan (ingatlah) ketika kami berfirman kepada malaikat: Tunduklah (beri hormat) kepada Nabi
Adam. Lalu mereka sekaliannya tunduk memberi hormat melainkan Iblis; dia enggan dan
takbur dan menjadilah dia dari golongan yang kafir
" (Al-Baqarah :34)


Hayati juga kisah takbur makhluk yang diusir ini dalam surah Shad, ayat 71 hingga 85
Dalam ayat 75 hingga 78 surah yang sama :

Allah berfirman: Hai iblis! Apa yang menghalangmu daripada turut sujud kepada (Adam) yang Aku telah ciptakan dengan kekuasaanKu? Adakah engkau berlaku sombong takbur ataupun engkau dari golongan yang tertinggi?

Iblis menjawab: Aku lebih baik daripadanya; Engkau (wahai Tuhanku) ciptakan daku dari api,

sedang dia Engkau ciptakan dari tanah

Allah berfirman: Kalau demikian, keluarlah engkau daripadanya, kerana sesungguhnya engkau adalah makhluk yang diusir

Dan sesungguhnya engkau ditimpa laknatku terus menerus hingga ke hari kiamat!


Laknat Allah! Seburuk-buruk balasan yang menimpa orang yang sombong lagi takbur. Jaga-jaga dengan amal seharian kita.



Kita dan kesombongan hari ini


Ciri-ciri sifat takbur pula, ditandai dengan beberapa ciri: Antara lain ialah

suka dipuji,

pantang dikritik,

kagum dengan pandangan sendiri,

suka meremehkan pandangan orang lain, dan

sukar untuk menerima nasihat atau tunjuk ajar daripada orang lain.

Kitakah yang bersifat di atas? Jika ada hati-hati semua…


Bukan semua orang sombong dan takbur. Tapi adakalanya kita bersifat demikian tanpa kita sedari. Astaghfirullah~



Terlalu ramai yang mahu menegur, tetapi tidak ramai yang mahu/rela ditegur.
Ketidakseimbangan!

Kenapa dan bagaimana boleh terjadi?

Sebagaimana tubuh badan kita akan gagal berfungsi dengan baik akibat ketidakseimbangan 'electrolyte' dalam badan, begitu juga komplikasi yang kita hadapi jika ketidakseimbangan ini tidak dibetulkan.

Ramai yang melihat kemungkaran di kiri dan kanan. Yang bagus mengambil inisiatif untuk memperbetulkan keadaan. Sangat mantap. Yang bersalah, jangan sombong untuk mengakui kesalahan. Terimalah dengan hati terbuka andai kebenaran sudah nyata di depan mata.


Namun perlu diingat, kita semua manusia adalah sama. Mana mungkin ada yang maksum antara kita yang bukan bertaraf malaikat ataupun seorang Rasul. Yang menegur juga perlu tanamkan dalam diri sifat rela/ mahu menerima teguran. Jika semuanya termasuklah mereka yang
sentiasa melaksanakan perintah Allah mencegah kemungkaran dengan membuat teguran rela berlapang dada untuk dikritik dan menerima apa-apa teguran dan nasihat dari mana-mana
pihak, bahagia dan amanlah suasana masyarakat semua.



Allah Ta'ala berfirman:

"Janganlah engkau semua melagak-lagakkan dirimu sebagai orang suci. Allah adalah lebih mengetahui kepada siapa yang sebenarnya bertaqwa." (an-Najm: 32)


Imam Al-Ghazali merumuskan, bahawa seburuk-buruk sifat takbur ialah orang yang tidak mahu mengambil sesuatu manfaat daripada sesuatu ilmu pengetahuan serta tidak mahu tunduk kepada kebenaran, walaupun kebenaran tersebut telah terbukti.



Masih ingatkah kita kisah seorang sahabat yang enggan menerima nasihat dan teguran Rasulullah SAW. Apa yang terjadi padanya ?

"Dari Salamah bin al-Akwa' r.a. bahwasanya ada seorang lelaki makan di sisi Rasulullah s.a.w. dengan menggunakan tangan kirinya, lalu beliau s.a.w. bersabda: "Makanlah dengan menggunakan tangan kananmu." Orang itu berkata: "Saya tidak dapat makan sedemikian itu." Beliau s.a.w. bersabda: "Tidak dapat engkau?" Ia berbuat sedemikian itu tidak ada yang mendorongnya, melainkan kesombongannya juga. Salamah berkata: "Orang itu akhirnya benar-benar tidak dapat mengangkat tangan kanannya ke mulutnya," yakni tangannya terus cacat untuk selama-lamanya, sebab tidak dapat digunakan apa-apa. (Riwayat Muslim)


Nauzubillah! Akibat sombong daripada menerima nasihat, teguran dan kebenaran, maka Allah timpakan balasan sedemikian rupa. Di akhirat? Tunggu sahaja di hadapan Allah kelak.



Susah
menerima pendapat manusia? Pantang dikritik? Kagum dengan pandangan sendiri? Suka
meremehkan orang lain?

Kenapa?

Ego dan Egois!

Salah satu cabang sifat takbur, kita ego dengan pendirian kita, lantas pendapat orang lain kita ketepikan. Kita bangga dengan prinsip kita, maka kita egois, semua orang kita salahkan, kita sahaja yang betul semuanya. Kita tak suka dikritik, malah melenting pula. Kitakah itu yang hanya memegang passport HAMBA ALLAH di dunia?



Dari Haritsah bin Wahab r.a., katanya: "Saya mendengar Rasulullah s.a.w. bersabda: "Tidaklah saya memberitahukan padamu semua, siapakah ahli neraka itu? Mereka itu ialah orang yang keras kepala, suka mengumpulkan harta tetapi enggan membelanjakannya - untuk kebaikan - lagi bersikap sombong." (Muttafaq 'alaih)



Kembali kepada fitrah kejadian hamba

Allah Ta'ala berfirman:

"Dan tundukkanlah sayapmu - yakni rendahkanlah dirimu -kepada kaum mu'minin."
(al-Hijr:88)



Fitrah manusia dilahirkan sebagai seorang HAMBA. Maka berkelakuanlah seperti yang sepatutnya. Mereka yang tidak mengikut fitrah dan sunnatullah, tidak mungkin dapat merasakan ketenangan dalam diri, kerana fitrah asal kejadian diri telah dinodai. Sebagaimana enjin kereta Opel, tak mungkin layak diletakkan di tempat enjin kereta Porche. Rosak! Dan akhirnya binasa, tidak berguna.


Seorang HAMBA tak mungkin layak memiliki sifat TUANNYA.
Dan seorang hamba tak mungkin hidup tenang jika memiliki sesuatu yang bukan fitrahnya, tak mungkin tenang andai bersifat dengan sifat Tuhannya. Mustahil!


Fitrah seorang hamba, tak mungkin sombong, tak mungkin bongkak, tak mungkin takbur..
Fitrah seorang hamba, merendah diri padaNya, patuh dan taat pada suruhanNya, takut melakukan maksiat dan kemungkaran.
Tenangkah kita jika bersifat dengan sifat Tuhan Pencipta, andai laknat Allah yang diterima
sebagai janjiNya?



Dalam hadiths Qudsi, ALLAH Azzawajalla berfirman:

"Keagungan (kesombongan) itu Selendang-KU dan kebesaran itu Sarung-KU, maka sesiapa yang merebutkan kedua-duanya daripada-KU, nescaya AKU murka
dan AKU tidak akan mempedulikannya."

(Hadiths Riwayat Muslim)




Andai kita yang melakukan kemungkaran itu, bertaubatlah….

Andai kita yang mengingkari ketaatan itu, maka berubahlah…

Agar kita bukan tergolong dalam mereka yang sombong menolak kebenaran,

Bukan pula dari kalangan mereka yang keras kepala daripada menerima nasihat dan teguran,

Agar kita tidak memakai 'selendang' dan 'sarung' Allah dalam sengaja ataupun tanpa kita sedari,

kerana sombong dan menolak kebenaran itu di sisi Allah, hanya kemurkaanNya sebagai

ganjaran- maka di mana tempat untuk mereka yang Allah laknat dan murka di akhirat nanti?


Jagalah hati dan berhati-hatilah, jangan sampai kita dihumban ke lembah kehinaan kerana sifat-sifat TUHAN yang kita cuba aplikasikan dalam diri yang fitrahnya hanyalah seorang HAMBA.


Tegurlah dengan kebenaran, dan terimalah teguran dengan kesedaran
Nasihatlah dengan rendah diri, dan terimalah nasihat dengan rendah hati
Berlapang dadalah menerima kritikan,
Bukalah minda menerima pandangan dan pendapat mereka di sekelilingmu, untuk kaufikirkan
Nescaya kedua-dua pihak mendapat kepuasan dan ketenangan
Kerana kedua-duanya kembali kepada fitrah asal seorang hamba.

Jangan benarkan diri memakai pakaian takbur dan sombong jika mahu hidupmu tenang.....


ITTAQULLAH

“ALLAH mengasihi seseorang yang mengenal kedudukan dirinya, menyebabkan dia tidak melanggar batas-batas ke dudukannya.”


Dan segala muka akan tunduk dengan berupa hina kepada Allah Yang Tetap Hidup, lagi Yang Kekal Mentadbirkan makhluk selama-lamanya dan sesungguhnya telah rugi dan hampalah orang yang menanggung dosa kezaliman. (Taha :111)


Wallahua'lam