Bismillah
Masih teringat di ingatan ketika seorang ustazah praktikal di sekolah dahulu menceritakan perihal pelajar di kelas yang ditugaskannya untuk mengajar. Suatu hari ustazah yang mengajar Pendidikan Al-Quran dan As-Sunnah ini bertanya satu soalan untuk pelajar-pelajar dalam kelas tersebut
"Dah besar nanti korang nak jadi apa?"
Dan semua orang pun memberi jawapan.....
Oleh sebab saya bukanlah salah seorang pelajar dari kelas itu, maka saya hanya membuat andaian jawapan yang keluar pastinya.. doktor, jurutera, arkitek dan pekerjaan-pekerjaan profesional yang lain..
Tiba giliran seorang pelajar lelaki menjawab soalan tersebut..
"Saya nak jadi ulama"
Dan jawapan tersebut diraikan dengan hilaian gelak ketawa dari kawan-kawannya..
Ustazah berasa sangat pelik
"Salah ke cita-cita nak jadi ulama, orang nak jadi baik pun salah, diketawakan lagi, mana tak MALU orang tu nak buat baik", ustazah melahirkan rasa kesalnya kepada saya ketika menceritakan hal tersebut.
Benar, malah bukan sekali saya jumpa situasi seperti ini, akibat daripada orang-orang sekeliling yang tidak 'supportive', natijahnya menyebabkan kita malu menjadi baik. Ya , MALU!
CONTOH SITUASI-SITUASI LAIN
1. Anda sedang berjalan berjalan bersama kawan-kawan di kaki lima. Anda melihat ada sampah plastik air di atas lantai. Sakit mata juga melihatnya, tapi kerana malu digelar oarang yang baik oleh rakan-rakan (cth : "cecece... baiknya, buangkan sampah... lepas ni bolehla jadi tukang sapu sekolah", gurau rakan-rakan anda), maka anda pun membutakan mata dan beredar sahaja... terlepaslah satu peluang dapat pahala percuma.
2. Sedang anda berjalan bersama rakan di luar rumah, datang seorang peminta sedekah, kerana malu dikatakan pemurah, anda membiarkan pahala sedekah berlalu begitu sahaja...
3. Anda mempunyai sejarah hitam dalam hidup. Anda mahu berubah menjadi lebih baik. Sebagai contoh, anda bukanlah seorang yang bertudung sebelum ini, atau anda bukanlah seorang yang istiqamah dalam ibadah, apatah lagi ibadah-ibadah sunat, atau cara pemakaian anda sebelum ini tidaklah mengikut garis panduan syariat Tuhan 100 peratus. Anda mahu berubah, tetapi memikirkan rakan-rakan sekeliling yang disayangi yang satu kepala dan satu perangai dengan anda pasti akan menolak perubahan anda malah mengejek pula. Anda terpaksa menangguhkan niat anda malah lebih teruk lagi jika anda melupakan terus niat baik tersebut.
Penyakit malu tidak bertempat ini boleh menjadi lebih kronik jika tidak dirawat dengan segera, malah mungkin disertai dengan 'associated symptom' yang dahsyat- TAKUT berbuat baik! Maka terciptalah penyakit MA-KUT (malu dan takut) membuat kebaikan.
Siapa yang kita kejar? Al-Khaliq atau makhluk? Pandangan siapa paling utama- Pencipta atau yang dicipta yang sebenarnya sama sahaja dengan kita...
PERLUMBAAN TANPA PESERTA
"Dan bagi tiap-tiap umat ada arah (kiblat) yang masing-masing menujunya, oleh itu BERLUMBA-LUMBALAH KAMU MENGERJAKAN KEBAIKAN, kerana di mana sahaja kamu berada maka Allah tetap akan membawa kamu semua (berhimpun pada hari kiamat untuk menerima balasan) sesungguhnya Allah Maha Kuasa atas tiap-tiap sesuatu" (Al-Baqarah: 148)
" Dan segeralah kamu kepada (mengerjakan amal-amal yang baik untuk mendapat) keampunan dari Tuhan kamu dan (mendapat) Syurga yang bidangnya seluas segala langit dan bumi, yang disediakan bagi orang-orang yang bertakwa " (Ali-Imran : 133)
On Your Mark, Get Set, Go!
Ke Garisan, Sedia, Mula!
Seolah-olah itulah yang diarahkan oleh Pencipta kita supaya berlumba-lumba mengejar kemenangan di akhirat nanti yang menanti di hujung garisan penamat, tidak kiralah apa jua caranya, "berlumba lari", "berlompat pagar", "berlumba kereta", "berlumba motor", atau apa sahaja, namun perlulah dengan satu syarat - kesemua cara yang digunakan untuk berlumba menuju destinasi penamat mestilah membawa LESEN KEBAIKAN.
Zaman dahulu, tidak perlulah diceritakan, segala contoh baik yang perlu diteladani. Malah ada si miskin yang sedih kerana tidak mempunyai harta untuk disedekahkan, si syahid pula bercita-cita jika diberi sebanyak nyawa sekalipun , akan dihabiskan di medan jihad juga. Malah diceritakan dalam hadis-hadis sahih tentang sikap Rasulullah sendiri dalam menganjurkan 'perlumbaan' ini. (Riyadus-Salihin: Bab 10 : Mubadarah Ila-alKhayraat)
Tapi kini, 'perlumbaan' tidak lagi sesengit yang pernah dirasai kaum muslimin mukminin sebelum ini. Ke mana pergi peserta-peserta 'perlumbaan' ini? Ramai yang hanya mampu menonton di tepi balapan melihat orang lain bersaing, atau ramai juga yang dimasukkan di wad kecemasan atau di ICU kerana penyakit MA-KUT BAIK yang memakan diri.
Abu Hurairah RA meriwayatkan : Rasulullah SAW bersabda : Bersegeralah kamu dalam membuat kebaikan sebelum datangnya fitnah yang diumpamakan seperti potongan-potongan malam yang gelita. Seorang itu berpagi-pagian sebagai mukmin, namun menjadi kafir pada petangnya, ada pula yang berpetang-petang sebagai mukmin, namun menjadi kafir pada paginya. Orang itu menjual agamanya dengan harta dari keduniaan. (Riwayat Muslim)
Bersegeralah dalam membuat kebaikan sebelum datangnya fitnah di mana manusia berlumba-lumba dan bersegera dalam mengejar dunia dan isinya, yang sanggup menjual agama demi kemewahan dunia yang tidak kekal. Andai tidak kita BIASAKAN DIRI berada dalam 'perlumbaan' mengejar kebaikan, lalu apakah pula yang kita kejar, mahukah kita menjadi seperti manusia yang diumpamakan seperti sabda Rasulullah di atas? Pagi sebagai mukmin, namun petang menjadi kafir setelah menjual agama sendiri. Petangnya mukmin, namun pagi esoknya kafir setelah menjual agama sendiri. NA3UZUBILLAH
Perlumbaan sekarang yang saya saksikan sungguh menyakitkan kepala. Satu berlari ke sana, satu berlari ke sini, satu pandu kereta ke timur, satu ke barat, satu berlumba motor ke utara, satu ke selatan, kesemuanya KUCAR KACIR dalam perlumbaan ini. Semua mahu menang, tapi ada yang tidak tahu destinasi tujuan, ada yang tidak tahu peraturan perlumbaan. Akhirnya, walaupun mereka sampai juga ke garisan penamat, setelah terpaksa membuang masa dan tenaga ke tempat-tempat yang tidak sepatutnya, terbatallah segalanya kerana kesemuanya "disqualified" atas sebab tidak mengikut peraturan- LESEN KEBAIKAN! Sesiapa yang beruntung, mengetahui matlamat dan destinasi penghujung, mengikut segala peraturan 'perlumbaan' ini, itulah orang-orang yang dijanjikan kemenangan oleh Allah di dunia dan di akhirat.
Dan itulah realiti yang saya lihat zaman kini. Sungguh menyesakkan nafas dan dada, 'dyspnea' dan 'chest discomfort' batiniyah yang tiada penawarnya. Ada yang berlumba siapa dahulu yang mempunyai 'couple' dalam hidup, ada yang berlumba menunjukkan kecantikan dengan menayangkan rambut dan aurat, ada pula yang berlumba menayangkan rasa 'macho'nya menghisap rokok paling banyak (packs per year?)
Oh, ada pula yang berlumba, siapa paling dahulu menonton filem itu dan ini, siapa paling dahulu menghabiskan siri jepun korea itu ini, siapa paling dahulu mendownload siri yang disukai, berlumba hidup paling mewah, berlumba hidup paling berpangkat dan dihormati, berlumba hidup paling glamour dan tinggi populariti, mahu namanya disebut dan meniti di bibir-bibir makhluk di bumi, terlupa dengan penghuni di langit yang menyumpah seranah membenci dan mengutuk perbuatannya..
PENING PENING PENING!
Kita hari ini berlumba dengan bayang-bayang dunia yang hanya sebuah ilusi, yang dikejar-dikejar, dicita-cita namun tidak mampu kita memegangnya. Berlumbalah untuk AKHIRAT yang pasti dan hakiki, kerana itulah tempat tinggal kita yang ABADI selamanya. Jangan berlumba untuk sesuatu YANG SIA-SIA, kejarlah suatu yang kekal dan memberi manfaat untuk kita kekal selamanya...
Antara 3 golongan yang disebut oleh Fathi Yakan dalam kitabnya "Apa Erti Saya Menganut Islam" - di manakah kita?
Golongan yang hanya mempercayai kehidupan di dunia namun mengingkari kehidupan di akhirat
Golongan yang mempercayai kehidupan di dunia dan mempercayai kehidupan di akhirat, namun tersesat antara keduanya
Golongan yang mempercayai kehidupan di dunia dan mempercayai kehidupan di akhirat , dan bersedia dengan bekalan untuk menghadapi kehidupan akhirat yang kekal abadi.
Fikir-fikirkan, koreksi diri, di mana posisi kita kini....?
"Orang yg sempurna akalnya(pandai) ialah org yg suka mengoreksi diri dan banyak beramal sbg bekal mengahdapi kematian. Sedangkn org yg lemah ialah yg selalu menurutkn hawa nafsunya, disamping berangan-angan kepada Allah" (Riwayat Tarmizi)
Bersegeralah kepada kebaikan! kerana kita yakin apa yang kita buat hanya untuk mendapatkan keredhaanNya
Berlumbalah melaksanakan kebaikan! kerana AJAL tidak kita tahu bila datang menyapa
MUJAHADAH
Buangkan rasa malu untuk membuat kebaikan, buangkan rasa takut untuk berubah menjadi lebih baik.
" Dan orang-orang yang berusaha dengan bersungguh-sungguh kerana memenuhi kehendak ugama Kami, sesungguhnya Kami akan memimpin mereka ke jalan-jalan Kami (yang menjadikan mereka bergembira serta beroleh keredaan); dan sesungguhnya (pertolongan dan bantuan) Allah adalah berserta orang-orang yang berusaha membaiki amalannya" (Al-Ankabut : 69)
Bersungguh-sungguhlah berubah dan berbuat kebaikan, natijahnya pasti tidak mengecewakan, malah bukan sekadar di akhirat merasakan bahagia, di dunia telah Allah janjikan ganjaran yang hebat.
Dari Abu Hurairah RA, Rasulullah SAW bersabda, "Sesungguhnya Allah Taala berfirman dalam hadis Qudsi : Barangsiapa memusuhi kekasihKu, maka Aku isytiharkan perang ke atasnya. Dan tidaklah seseorang hambaKu itu mendekatkan diri kepadaKu, dengan sesuatu yang amat Kucintai lebih daripada apa-apa yang telah Kuwajibkan padanya, Dan tidaklah seseorang hambaKu itu mendekatkan diri kepadaKu dan melakukan perkara-perkara yang sunnah, sehingga akhirnya AKU MENCINTAINYA. Maka apabila Aku telah mencintainya, Akulah sebagai telinganya tatkala ia gunakan untuk mendengar, Akulah matanya yang ia gunakan untuk melihat, Akulah tangannya yang ia gunakan untuk mengambil, dan Akulah kakinya yang ia gunakan untuk berjalan. Andaikata ia meminta sesuatu kepadaKu, pastilah Kuberi, dan andaikata ia memohon perlindungan kepadaKu, pastilah Kulindungi " (Riwayat Bukhari)
Jom, lumba!
On Your Mark, Get Set, GO!!!
Wallahua'lam