Assalamualaikum semua,
Apa kabar adik-adik junior yang baru bercuti? Harapnya sihat-sihat sahaja. Senior-senior pula, penghujung cuti sudah melambai-lambai. Siap sedialah dengan fasal baru yang bakal bermula^_^. Jadinya, tak perlu dipanjangkan bicara, kita terus sahaja dengan adab 5 dan 6 sebagai penutup bagi musafir anda semua. Apa yang sering dilakukan Rasulullah pabila pulang dari bermusafir? Kalau nak tahu, silala baca^_^
Adab 5
Hendaklah selalu berhati-hati, jikalau bermusafir bersama-sama dalam satu kafilah, suatu rombongan atau suatu ikatan. Janganlah berjalan bersendirian, sebab mungkin akan tersesat ataupun terputus dari rombongan dan lain-lain lagi. Mungkin ia akan ditinggalkan oleh kafilah atau rombongannya. Sekiranya ia tertidur sewaktu malam dan agak berjauhan dengan rakan-rakannya. Sebaiknya rakan-rakannya berganti-ganti berjaga sewaktu malam.
Selain itu orang yang bermusafir hendaklah membawa cermin, gunting, berus gigi dan sikat. Janganlah terlalu menyusahkan dirinya dalam Thaharah(bersuci), baik berwudhuk, mandi dan sebagainya. Orang-orang salaf dahulu menyucikan dirinya dengan bertayamum sahaja, mereka tidak mengkhususkan atau membawa air untuk bersuci. Ketika berwudhuk, mereka tidak terlalu memerhatikan kebersihan air, asalkan ianya jelas bukan air najis dan bukan air yang tidak sah digunakan untuk berwudhuk. Malahan, Umar r.a pernah berwudhuk dari bekas milik seorang wanita nasrani.
Adab 6
Tentang adab-adab ketika pulang dari musafir.
Rasulullah s.a.w apabila telah selesai dalm peperangan, umrah atau haji, Baginda sentiasa bertakbir di tempat yang tinggi sebanyak 3 kali. Setelah itu lalu mengucapkan :-
“Tiada Tuhan melainkan Allah, tiada sekutu bagiNya. BagiNyalah kerajaan dan segala puji-pujian dan Ia Maha Berkuasa di atas segala sesuatu. Kita semua kembali, bertaubat, beribadah, sujud dan memuji Tuhan kita. Allah telah menunaikan janjiNya, menolong hambanya dan menghancurkan semua musuh dengan kekuatanNya sendiri”*
Setelah itu Baginda s.a.w mengutuskan seseorang ke Madinah untuk memberitahu kedatangannya. Rasulullah s.a.w melarang seseorang mengetuk pintu rumah keluarganya sewaktu malam, seolah-olah begitu mendadak kedatangannya, agar ia tidak mengejutkan atau melihat sesuatu yang tidak disenanginya.
Selain itu diajarkan pula oleh Baginda s.a.w iaitu apabila Baginda baru pulang dari bermusafir, Baginda s.a.w segera masuk ke masjid terlebih dahulu, bersolat 2 rakaat, kemudia barulah Baginda memasuki rumahnya.
Sebaik-baiknya seseorang yang bermusafir itu membawa pulang buah tangan untuk keluarganya, isteri dan anak-anaknya serta kaum kerabatnya yang lain. Buah tangan terpulanglah kepadanya sendiri sama ada makanan atau lain-lain sekadar yang ia mampu untuk membelinya. Sebabnya ialah kerana biasanya orang ramai suka memandang setiap orang yang baru pulang dari bermusafir dan sekiranya mereka ada membawa buah tangan, hatinya akan gembira.
Ia menjadi suatu perkara yang disunatkan iaitu memberikan kegembiraan dengan membawa buah tangan kepada mereka. Ini juga menunjukkan bahawa ia tetap mengingati mereka selama ia dalam bermusafir. Demikianlah 6 perkara yang merupakan adab-adab orang yang bermusafir yang zahir.
Adapun, adab-adab batinnya, maka sebahagiannya telah dihuraikan dalam fasal pertama dalam bab ini(dalam buku ini). Secara ringkasnya ialah supaya seseorang yang berada dalam musafir dapat menambah pengalaman dan pengetahuaanya.
Selanjutnya apabila ia sampai di setiap negeri hendaklah menemui mereka-mereka yang berilmu, para ulama, para hukamak dan mereka yang berpengaruh serta baik. Dalam hatinya hendaklah diniatkan untuk mendapat faedah dan manfaat daripada mereka, baik dari segi adab dan akhlak atau huraian apa sahaja yang dapat diambil untuk kegunaanya dan untuk disebarkan kepada orang ramai.
Jika tujuan ia bermusafir itu untuk menziarahi salah seorang sahabat atau saudaranya, maka sebaiknya janganlah ia bermukim di rumah mereka lebih dari 3 hari, sebab memang itulah hadnya untuk dilayan sebagai seorang tetamu, kecuali kalau orang yang diziarahi itu masih berat untuk ditinggalkan, kerana sangat rindu kepadanya sebab sudah sekian lama tidak berjumpa.
Sementara itu janganlah seseorang yang bermusafir itu melakukan sesuatu yang tidak ada manfaat untuk dikerjakan, sebab yang demikian ini akan melenyapkan keberkatan perjalanannya.
Sumber : Kitab Mauizatul Mukminin, hasil penulisan Al-Syeikh Muhammad Jamaluddin
Al-Qasimi Ad-Dimasq , bab 17, m/s 594-595
* Lafaz Bahasa Arab akan disertakan kemudian InsyaAllah
____________________________________________________________________________________
Tamat sudah keenam-enam adab zahir yang digariskan dalam buku ini. Dari cuti yang baru sahaja bermula, pejam celik hanya tinggal seminggu sahaja lagi. Cuti yang terakhir sebelum tahun yang terakhir. Segala perkara yang baik di dunia ini sememangnya kita tahu ia baik, tetapi kadangkala diri kita juga yang tidak mahu melakukannya. Walhal, apa pun yang Allah perintahkan, kebaikannya bukan untuk Allah tapi ia hanyalah semata-mata untuk diri kita. Wallahu a’lam.assalamualaikum.
* Lafaz Bahasa Arab akan disertakan kemudian InsyaAllah
____________________________________________________________________________________
Tamat sudah keenam-enam adab zahir yang digariskan dalam buku ini. Dari cuti yang baru sahaja bermula, pejam celik hanya tinggal seminggu sahaja lagi. Cuti yang terakhir sebelum tahun yang terakhir. Segala perkara yang baik di dunia ini sememangnya kita tahu ia baik, tetapi kadangkala diri kita juga yang tidak mahu melakukannya. Walhal, apa pun yang Allah perintahkan, kebaikannya bukan untuk Allah tapi ia hanyalah semata-mata untuk diri kita. Wallahu a’lam.assalamualaikum.
Syaikh Ahmad Ibnu Athaillah berpesan, “Ketaatanmu tidak bermanfaat bagi Allah, dan kemaksiatanmu tidak membahayakan-Nya. Sesungguhnya Allah memerintahmu berbuat taat, dan melarangmu berbuat maksiat, karena setiap perbuatan kembalinya kepadamu juga.”