P.S : Nak cite pengalaman semasa rotation forensic. Saya tukar tajuk ni, rasa kurang sesuai letak autopsy sebab satu-satunya kes yang saya tengok, boleh kata kes yang simple, tak perlu kepada autopsy. Kawan-kawan yang tengok the real autopsy, boleh lah kongsi sama kat sini ok.
Seawal tahun pengajian ke-5 ini bermula, perasaan sangat teruja. Tak sabar rasa untuk masuk 'rotation' forensic dan anesthesiology. Mungkin kerana syndrom CSI dan kesan series Team Medical dragon yang aku tengok beberapa tahun yang lepas sedikit sebanyak memberi impak dalam diri.
Akhirnya, setelah mengharungi getir pengajian 2 submajor (psychiaty & family medicine) dan blok pertama minor (opthalmology, dermatology, neurology & ENT) ditambah lg dengan rotation pertama utk blok kedua minor (orthopedic), akhirnya masa yang ditunggu-tunggu tiba juga akhirnya --> yeah, forensic! (8-19 Februari 2009)
Bestnya forensic ini, selain pengalaman melihat autopsy, ia lebih kepada cuti yang agak banyak dan exam bertulis yang senang berbanding rotation yang lain. Rasa bernafas kembali bila masuk forensic. Tenang sikit hidup :D
Minggu pertama forensik, 2 hari 'cuti rehat' diperuntukkan. Isnin cuti, Khamis pun sama. Hanya 3 hari je dawam. Itu pun balik awal, dalam pukul 12 tengahari dah boleh bye-bye sama doktor & kawan-kawan. Ternanti-nanti jugak dibuatnya, bilalah nak dapat pengalaman tengok autopsy ni. Masa Qilah and the geng amik forensik, 3 autopsy diorang dapat tengok. Masa Sarah & the geng pula, dapat tengok 2. Hurmm, sabar-sabar. Ada lagi seminggu.
Masuk minggu yang kedua, Ahad berlalu.. takde kes. Isnin pulak..instinct macam ada je. Tapi rasa kalau boleh tak yah lah hari ni sebab puasa. Tak pasal-pasal, takut termuntah pulak. Doktor kata, esok (Selasa) nak habiskan semua lectures sebab rabu doktor bagi hari cuti untuk revision sebelum exam hari Khamis. Dalam hati dah berkira-kira, ntah-ntah takde rezeki nak tengok autopsy. Tak po lah gitu. Teringat masa amik rotation surgery tahun lepas, group aku je satu-satunya yang tak berpeluang nak tengok minor surgery. Em, nampak gayanya, tahun ni untuk forensic pun macam tu jugak.
Selasa, habis smua lecture (lebih dari 6) kene habiskan. Sorang-sorang pegi present. Adoi, tak larat rasa..panjangnya.. Mata pun dah stat berat ni. Macam nak lelap dah. Tengah-tengah lecture ke 3 macam tu, sorang pegawai ni masuk bawak file jumpa doktor. Laju je jalan. Tak lama kemudian, sorang lagi masuk. Tempat doktor duduk (kat belakang skali) tiba-tiba macam riuh semacam. Ada apa lah. Kawan yang tengah present pun terhenti, tapi doktor kata teruskan. Dia pun apa lagi, laju aje dia terangkan. Selalu doktor akan intabeh presentation sorang-sorang, tanya soalan. Kali ni kurang pulak.
Sekejap kemudian, doktor panggil Ahmed Awni (CR) suh pegi belakang. Ntah apa yang diorang bincang. Bising sikit lagi, kali ni Mozon yang tengah bersemangat bentang pasal Opiod pun terhenti. Doktor cakap lagi, teruskan. Then, tak lama pastu Ahmed pun duduk dengan satu file kaler hijau, lusuh warnanya. Tak lama lepas tu, Muhammed Ziad, datang cuit Ahmed, suh pegi belakang. Suspicious betul tengok budak-budak ni. kejap duduk, kejap bangun. Aleh-aleh, lepas habis Mozon bentang, Ahmed berdiri dan bacakan kes dalam file.
"Lana (bukan nama sebenar), berumur 18 tahun (atau 15 - x ingat) telah meminum Splash (a.k.a Spartan - pencuci tandas paling kuat yang pernah aku jumpa kat Irbid ni) menyebabkan esophagus dan perutnya mengalami pendarahan yang teruk, perforated, shock dan akhirnya mati."
Kelas jadi sunyi sepi. Ada beberapa maklumat tentang si mati yang Ahmed sebut tapi aku tak dapat nak faham sangat. Then doktor pun tambah,
"So aku nak turun kejap tengok mayat dia, nak cek sama ada si mati masih virgin atau tidak mengikut permintaan keluarganya. Sape yang rasa nak ikut skali, bolehlah turun ke bilih autopsy"
Esra' cakap dengan Su'ad, kemudian dia toleh belakang straight tengok muka aku.
Dia tanya, "Ko nak pegi tak?"
Aku jawab, "Nak"
Walaupun masih terkejut dengar case history yang CR baca tadi, tapi aku kira mungkin ni peluang terbaik untuk tambah pengalaman pada hari terakhir rotation ni. Kami budak perempuan ber-4 (dari 6) pun turun ke tingkat bawak tanah di mana bilik autopsy berada. Budak lelaki yang ber-3 (dari 17) dah ikut doktor awal-awal dari tadi. Ntah mana diorang pergi, takde dalam bilik autopsy tu. Emm, sunyi betul suasana. Hening je. Masing-masing kunci mulut. Pakcik polis dalam pejabat tu suruh kami ber-4 ni masuk dulu. Mula-mula Su'ad jenguk dulu, aku tengok muka dia, eh makin putih lak budak ni (hehe)
Aku tanya, "Ada apa?" Dia angkat kening je. Then Esra' dan Jui pulak jenguk.
Aku tanya Jui pulak, "Ada apa-apa tak?"
Jui jawab, "Ada mayat."
Aku pun jenguk, atas troller aku namapak ada sekujur tubuh dalam kain kapan. Bahagian muka macam terbuka sikit, tertoleh ke kanan. Cepat-cepat aku larikan pandangan. Tiba-tiba seram sejuk pula rasa.
"Masuk lah dalam. kejap lagi doktor datang" Pakcik polis yang tengah tulis sesuatu tu suruh lagi kitorang masuk. Esra' dengan Su'ad pun jalan je lah masuk ke bilik yang ada jenazah tu. Lalu betul-betul depan muka yang terdedah. Dalam hati aku cakap, "Kenapalah diorang lalu situ. Lalulah kat belakang ni. (bahagian yang tak nampak muka)" Aku dah rasa semacam je ni. Hening betul lak tu ish..
Aku berdiri kat bahagian yang tak nampak muka. Tiba-tiba Esra' datang dekat aku, pelan-pelan dia bisik,
"Tadi aku rasa berani nak turun bawah ni, siap kata kat Shahdah ajak turun sekali. Tapi sekarang...aku rasa semacam."
Aku angguk, "Aku pun.." Siap bebel lagi tu kat Esra', "Mana lah doktor ni. Yang pakcik tu suruh kita masuk dulu kenapa lah ek. Lama pulak rasa doktor tak sampai-sampai."
Aku kira, ada lah kurang 4 minit kot kitorang duk terpacak dengan jenazah kat depan mata. Tapi cam rasa lama sungguh. Perasaan seriau tu memang ada, tapi dalam hati aku tak tahu lah, rasa sayu sangat. Macam terkilan pun ada. Tubuh kaku depan mata aku ni muda lagi, ada rupa budaknya. Tapi sedih, apa agaknya masalah dia sampai minum Spartan tu.. Dalam diam, aku sedekahkan al-fatihah, moga-moga Allah ampunkan dosa dia.
Tak lama lepas tu, doktor datang dengan lagi 2 orang pegawai (aku kira sorang daripanya resident) dan 3 orang budak group - Ahmed Awni, Hamzeh dan Ifad. Resident buka kain kain kapan, kapas panjang yang ikat kedua ibu jari jenazah di gunting. Bahagian sulit si mati, dia tutup dengan kapas.
(Iklan > ish, makin sejuk pulak tangan aku yang menaip ni, nak turun salji agaknya malam ni :P ok, sambung cite)
Aku nampak ada darah yang masih mengalir dari mulut si mati. Kedua kelopak matanya kurang rapat tertutup. Ada kesan jerutan di bahagian tengkuk, luka di bahagian leher dan beberapa kesan lebam di bahagian lengan dan badan. Doktor kata, ni tanda-tanda cubaan membunuh diri. Kemudian, resident dan pegawai yang satu lagi angkat si mati untuk di periksa selaput daranya. Lepas cek, doktor kata alhamdulillah si mati masih terpelihara maruahnya.
Pemeriksaan habis di situ dengan kata putus dari doktor - sepsis dan shock menjadi sebab kematian. Masing-masing angguk. Langkah dihayun, naik semula ke bilik kuliah untuk meneruskan kembali baki lecture yang ada. Sebelum sampai ke dewan kuliah, doktor berbisik kepada kami,
"Aku dah bagitahu kepada keluarga si mati yang nak diorang masih 'virgin'. Mereka happy gila, macam terlupa pula yang anak diorang dah mati.."
sayu suara doktor..entahlah..
Em, tulah pengalaman pertama dalam forensik, bercampur baur perasaan - gembira sebab tercapai juga hajat, seram-sejuk, sayu dan terkilan dengan nasib si mati.
Allahummaghfirlaha, warhamha, wa3fu3anha..
Betul kata Qilah, lepas tengok benda-benda ni, terasa sangat dalam diri, macamana lah bila mati nanti. Hatta, bila jalan-jalan kat jalan pun (ada jalan atas langit ke?) nampak orang, sampai boleh jadi terbayang-bayang rupa diorang bila dipanggil sakaratul maut. 2 malam aku tidur tak dapat nak tutup lampu sebab masing terbayang-bayang keadaan di bilik autopsy.. atau lepas habis tulis entry ni, masuk malam ke-3 kot..
Banyakkan taubat jom. Kadang aku terlupa mati itu boleh datang bila-bila. Selalu leka dengan macam-macam hal. Merancang itu ini. Buat itu ini. Seronok sana sini. Aku harap kuat aku usaha untuk itu ini, kuat juga aku usaha untuk hari kematian aku dan kehidupan aku di sana nanti. Dan paling aku harap, biarlah usaha aku yang itu ini punya kaitan secara linear dengan bekalan menuju mati. Moga apa yang aku buat, niatnya hanya satu - lillahita'ala...
Allahumma saddidni bil iman, wahfizhu 3alayya fihayati, wa mamati...