1:52 AM

Kiri kanan bukit aka KKB

Setiap kali memperkenalkan diri dan asal saya, ramai orang akan mengajukan 'further question'.
"Kuala Kubu tu kat mana?"
"Banyak kubu ye?"

In fact, dari dulu lagi, Kuala Kubu sudah popular menerusi lagu Sudirman..
Kalau pergi Kuala Kubu,
Tulis nama atas batu...

Bagi mereka yang tidak pernah sampai ke KKB, nama Kuala Kubu Bharu itu sendiri mesti sgt asing. Tetapi bagi saya, saya amat bersyukur kerana dibesarkan di KKB, dengan suasana persekitarannya yang nyaman, dikelilingi bukit-bukau yang menghijau, jauh dari hiruk pikuk bandar.
Kuala Kubu Bharu atau nama singkatannya KKB, merupakan ibu daerah bagi Hulu Selangor. Ia juga terletak di kawasan yg agak tinggi, berdekatan dengan Fraser's Hill dan Genting Highland. Malahan, puncak Genting Highland yang bergemerlapan akan kelihatan sayup dan tidak jauh dari rumah saya pada waktu malam.

Kenapa namanya Kuala Kubu Bharu?
Ibu saya yang juga merupakan anak jati KKB pernah mengisahkan bahawa pd zaman dahulu, banjir besar telah berlaku akibat pecahnya sebuah empangan air(asal bagi nama Ampang Pecah) lalu menenggelamkan Pekan Kuala Kubu Lama. Justeru, selepas tenggelamnya Pekan Kuala Kubu Lama akibat banjir tersebut, Pekan Kuala Kubu yang baru dibina dan ditambah perkataan 'Bharu' bagi menggantikan Kuala Kubu Lama. Selain itu, ada juga mitos yang mengaitkan tentang banjir tersebut dengan kewujudan buaya putih.

Mengikut sejarah juga, Kuala Kubu merupakan antara pusat perlombongan bijih timah dan laluan keretapi terpenting satu ketika dahulu.

Apa yang istimewa di KKB?
Ramai orang melihat, tiada apa yang istimewa di KKB. Ia memang hanya sebuah pekan kecil yang semakin hari semakin dinaik taraf berikutan penambahan bilangan penduduk dan kemajuan di sekitarnya.

Kini, sedar atau tidak, KKb juga telah menjadi salah satu pusat pendidikan dalam negara.
Sekolah-sekolah utama yang terdapat di KKB:
1. Sekolah Kebangsaan Kuala Kubu Bharu (drjh 1-6 sy di sini)
2. Sek. Keb Kuala Kubu Bharu 1
3. Sek. Keb Kuala Kubu Bharu 2
4. Sek. Keb Ampang Pecah
5. Sek. Keb Tun Abd Razak (sekolah orang asli)
6. Sek. Jenis Keb Cina Khing Ming
7. Sek. Jenis Keb Tamil
8. Sek. Men Keb Kuala Kubu Bharu (Ting 1-3 sy di sini)
9. Sek. Men Keb Dato ' Hj. Kamaruddin
10. Sek. Men Keb. Ampang Pecah
11. Sek. Agama Men Tinggi KKB
12. Maktab Rendah Sains MARA, KKB
Di bumi KKB juga, ramai hafiz dan hafizah berjaya dilahirkan melalui Pusat Tahfiz Darul Quran yang terletak di Ampang Pecah. Dan tidak lupa para pekerja mahir yang belajar di Institut Kemahiran Belia Negara Peretak, juga pelatih-pelatih bomba di Pusat Latihan Bomba Negara, KKB. Tidak ketinggalan, Pusat Latihan Khidmat Negara (PLKN) yang juga terletak di Ampang Pecah.
Pekan Kuala Kubu tidaklah terlalu besar. Ketika kali terakhir saya pulang ke sana, steseen komuter sedang dibina menuju ke Tg Malim, Perak. Namun kini, komuter telah mula beroperasi sehingga stesen terakhir di Rasa, berdekatan dengan rumah saya. Justeru, untuk ke Kuala Kubu, anda boleh memilih untuk keluar dari highway melalui Tol Rawang atau Tol Bukit Beruntung (dari KL/selatan) atau tol Tg Malim (dari utara). Jika menaiki komuter pula, anda kini boleh naik dari mana-mana stesen terus menuju ke stesen paling dekat di Rasa. Dari situ, teksi dan bas boleh diambil utk meneruskan perjalanan ke KKB. Mudah saja..

Jalan raya di sekitar pekan KKB juga tidaklah sesibuk mana. Cuma kadangkala apabila tiba hari Pasar Malam pd 9hb dan 29hb setiap bulan, sesaklah pekan KKB.

Pekan KKB


Pendek kata, bagi rakan-rakan yang mungkin bakal bermastautin di sini atau ditempatkan bekerja di Hospital Daerah KKB, ataupun sebagai guru di MRSM KKB, mahupun ustaz atau ustazah di Darul Quran, janganlah risau kerana terdapat banyak kemudahan yang lengkap disediakan di sini. Boleh je hidup dengan bahagia. Cuma jika ingin berbelanja dengan besar, penduduk KKB tetap akan keluar ke bandar Rawang atau terus ke KL.
Penempatan baru juga banyak dibina bagi menampung keperluan penduduk di sini, jadi senanglah untuk mendapatkan rumah-rumah sewa.


Justeru, marilah singgah ke Kuala Kubu Bharu, my lil hometown! Macam-macam ada...

Lightofvictory
1.50pm
28 Ogos 2007