3:40 AM

BUANG BAYI HUKUM GANTUNG : PERMULAAN KEPADA SATU PENGAKHIRAN

Lagi kes buang bayi dipaparkan dalam akhbar-akhbar utama negara. Saban hari sejak kembali ke tanah air, tidak sunyi kes sedemikian kedengaran. Semulia-mulia ciptaan diletak di serendah-rendah martabat : tandas, tong sampah tempat pilihan, malah dalam tangki najis pun kedapatan - mungkin diflush agaknya. Haih...

Sejak itu juga pelbagai langkah 'penyelesaian' telah diambil;
pendidikan sexual di sekolah? - dulu pernah kata nak diperkenal, emm... check
pendidikan pencegahan kehamilan seperti kondom? - check
penguatkuasaan umur berkahwin seawal 18 tahun - check
dan yang paling terbaru, hukuman bunuh boleh dikenakan ke atas pesalah buang bayi - check juga

Marina Mahathir juga dalam kolumnya Musings, The Star bertarikh 18.8.10 juga membangkitkan penyelesaian untuk kes ini masih belum bersifat komprehensif. Cadangannya untuk penyelesaian secara komprehensif yang boleh diambil termasuklah,
1. pendidikan seksual yang berorientasikan gender perspective & emphasiing boys learning to respect girls
2. membina pusat perlindungan bayi & ibu dan mewar-warkannya supaya diketahui umum agar mudah dirujuki
3. mengajar dan memudahkan prosedur anak angkat
4. Golongan dewasa perlu menunjukkan contoh yang baik

Setuju dengan pandangan beliau yang mengatakan, "Apabila hukuman mati mula menjadi tindakan, ia sebenarnya menunjukkan kepapaan idea, (poverty of ideas) yang sebenarnya datang kesan ketidakfahaman terhadap masalah sebenar dari isu yang timbul."

penguatkuasaan umur berkahwin dengan lebih awal? mungkinkah membantu atau hanya menambah masalah pada masa akan datang?
hukuman bunuh? jangan pula lepas ini pengguguran haram menjadi industri bebas dek kerana permintaan.

ISU FIKIR DAN BUDAYA BANGSA?

Melihat isu masyarakat yang lain seperti skim cepat kaya, produk-produk pelansingan yang menjanjikan penurunan berat badan hanya dalam beberapa minggu, penjualan tanah kepada bangsa lain sebagai contoh, mampu membuatkan kita terfikir atau berfikir, masyarakat kita sukakan benda express. Biar semua yang cepat-cepat sahaja. Nak kaya cepat, nak slim cepat. Jika disoal siapa yang tidak mahu kaya dan cantik langsing bukan? Dan dalam era pemodenan sekarang, semua urusan perlu cepat dan segera jika tidak bakal ditinggal kata orang. Namun, menjadi persoalan di sini, adakah kesan pembudayaan gaya hidup express ini membuatkan kita jadi masyarakat yang fikir mudah dan cepat dalam menyelesaikan masalah? Yang dilihat hanya masalah semasa, bukan lagi masalah utama dan teras.

Dalam kehidupan, ada perkara yang boleh diselesaikan dengan mudah, tidak perlu kronik-kronik kata orang. Fikir yang simple-simple. Namun, ada pula masalah yang perlu diteliti dan dianalisis untuk dicari penyelesaian paling ampuh. Soalnya di sini ialah cara kita memilih perkara mana yang perlu difikir mudah dan perkara mana pula yang perlu difikir sungguh-sungguh.

Pengalaman menziarahi bumi UK sekitar dua tahun lalu banyak mengajar melihat kehidupan. Sebelum kaki dijejak, teringin sangat untuk tahu apa bezanya masyarakat yang hidup di negara membangun dengan yang sedang membangun. Salah satu contoh mudah, di pasaraya di UK banyak sayur yang dijual dalam pek siap dipotong. Ada juga yang telah siap dicampur sayur pelbagai jenis dah boleh terus dimasak. Jika salad, hanya ditambah dressing dan kemudian siap dimakan. Apa yang mengkagumkan, harganya tidak mahal. Hanya mahal sedikit dari yang masih belum dipotong. Tidaklah risau lari bajet bulanan. Memudahkan para isteri yang bekerja. Menjimatkan masa. Nampak kecil kan? Tapi kesannya besar.

Dalam buku "How to Simplify Your Life : Seven Practical Steps to Letting Go of Your Burdens and Living a Happier Life karangan Werner Tiki Kustenmacher" ada menyebut, "Dalam arus pemodenan masa kini, mudahkan urusan kecil anda walaupun terpaksa melabur sedikit wang, tetapi hasilnya anda dapat mengurangkan stress dan masa. Contohnya, jika rumput di rumah anda sudah panjang dan sekiranya anda ada kemampuan, upahlah orang lain yang boleh menjimatkan masa dan tenaga anda untuk membuat kerja-kerja itu walaupun anda rasa anda boleh lakukannya sendiri."

Berlainan pula dalam isu pendidikan anak-anak. Jika kedua suami isteri sibuk bekerja, menyerahkan anak bulat-bulat kepada orang lain untuk diasuh dan dididik ataupun menggunakan herdikan dan tamparan untuk membetulkan kesalahan bukanlah contoh cara yang terbaik. Malah ia mungkin jadi penyelesaian terburuk dalam hidup. Walaupun tempat terbaik isteri di rumah dan suami yang punya waktu kerja 9-5 dan malamnya sentiasa bersama keluarga, tetapi mungkin ia bukanlah satu-satunya cara untuk membina keluarga yang bahagia. Bagaimana untuk mencari cara yang kedua, ketiga, keempat dan seterusnya? Itulah fikir yang diajarkan Tuhan, walaupun ujian & cabaran serta tahap kesukaran bagi setiap pilihan itu pasti berbeza-beza ikut kemampuan insan.

Cara membezakan isu besar dan kecil? Common sense dan cara kita memberi nilai (value) atas tiap sesuatu boleh membantu.


KEMBALILAH KE RAHMATULLAH

Teringat kata-kata Ustaz Anwar Ridhuan, setiap kereta ada manualnya. Manual untuk kereta Honda Civic tentulah tidak boleh diguna untuk kereta Kancil. Mungkin ada persamaan, tetap tiada kesempurnaan. Begitu juga dengan kehidupan insan, manualnya Islam. Firman Allah dalam surah Ali-Imran ayat ke 83,

"Maka mengapa mengapa mereka mencari agama yang lain selain agama Allah, padahal apa yang ada di langit dan di bumi berserah diri kepada-Nya, (baik) dengan suka mahupun terpaksa, dan hanya kepada-Nya mereka dikembalikan?"

Firman Allah lagi dalam surah yang sama ayat 19,
"Sesungguhnya agama di sisi Allah adalah Islam. Tidaklah berselisih orang-orang yang telah diberi kitab kecuali setelah mereka memperoleh ilmu, kerana kedengkian di antara mereka. Barangsiapa ingkar terhadap ayat-ayat Allah, maka sungguh, Allah sangat cepat perhitungan-Nya."

Mungkin kedengaran angkuh buat penganut agama lain. Jelas menafikan sungguh tiada Tuhan yang disembah melainkan Allah sahaja, tetapi sebenarnya kita ini dahulunya satu umat yang dipisah-pisahkan kerana perselisihan. Firman Allah dalam Surah Al-Baqarah ayat 213,

"Manusia itu (dahulunya) satu umat. Lalu Allah mengutus nabi (untuk) menyampaikan kabar gembira dan peringatan. Dan diturunkan-Nya bersama mereka kitab yang mengandung kebenaran, untuk memberi keputusan di antara manusia tentang perkara yang mereka perselisihkan. Dan yang berselisih hanyalah orang yang tekah diberi bukti (kitab), sampai kepada mereka, kerana kedengkian di antara mereka sendiri. Maka dengan kehendak-Nya, Allah memberi petunjuk kepada mereka yang beriman tentang kebenaran yang mereka perselisihkan. Allah memberi petunjuk kepada siapa yang Dia kehendaki ke jalan yang lurus."

Manusia sering tercari-cari penyelesaian, sedangkan Islam sentiasa bersedia memberikan bantuan dan bimbingan. Pendekatan untuk setiap pemasalahan nyata berbeza dan perlu dibezakan, perlukan kekreatifan dan idea cergas. Tetapi asas untuk setiap penyelesaian tetap sama, yang itulah. Ada dalam Al-Qur'an dan As-Sunnah. Hidup tanpa arah memang menyesakkan. Berfikir tanpa bimbingan membuatkan kita mencuba-cuba atas keputusan yang tidak pasti. Dan kadang berkataputus atas kesilapan yang pernah umat terdahulu lakukan. Islam telah membuktikan, indahnya tamadun bersyariat. Dan Islam juga telah mengajarkan, jatuhnya tamadun apabila ia lari dari ajaran.


BUKALAH HATI DAN MATA

Berhentilah membezakan agama, meletakkan Islam hanya pada ibadah. Kita tidak akan nampak Islam dengan hanya solat, puasa dan sedekah. Tiada rasa kagum dan izzah hanya dengan haji dan umrah. Tanyalah diri, apa itu maksud Islam sebagai cara hidup. Betulkah cara berjual-beli? Beginikah rupanya berjiran? Benarkah cara mendidik anak? Tepatkah cara makan dan minum? Apakah ini yang Islam ajarkan atau hanya mengikut tradisi nenek moyang? Dan tanyalah, apakah hanya ini yang Islam ajarkan atau ada lagi yang tidak-ketahuan.

Fahami butir perkataan yang diucapkan, dalam solat dan doa. Moga-moga ia pemula kepada kehidupan yang lebih indah.

Wallahu'alam