Showing posts with label diary. Show all posts
Showing posts with label diary. Show all posts
9:37 PM

Sebelum kami pergi...

Bismillah

Beberapa jam sahaja lagi

Sebelum Bumi Urdun kami tinggalkan dengan membawa seribu satu kenangan


Sungguh benarlah satu sifat masa yang Allah tentukan- ia cepat berlalu, sangat laju. September 2004, Dataran Syam ini buat kesekian kalinya menerima lagi tetamu yang datang ingin
menuntut ilmu dan belajar erti kehidupan. Lumrah alam, setiap yang datang pasti akan pergi, setiap pertemuan pasti ada detik perpisahan. Logiknya, kami yang datang awal ini, harus menjadi yang awal untuk meninggalkan...


Selama 6 tahun ini, bumi Urdun dan Irbid khususnya telah menyaksikan sebuah kisah perjuangan kehidupan kami insan terpilih berada di sini. Bumi Urdun menyaksikan setiap detik tawa ria, suka duka, titis air mata, melihat setiap jerit payah kami, menemani sejarah jatuh bangunnya kami di sini.


Dataran Syam mendewasakan kami….



Sukar diungkap perasaan yang menyelubungi diri sekarang. Kalau dulu, terasa ingin segera tamat pengajian dan pulang ke tanah air, cepatlah habis-cepatlah habis.. namun kini semakin
hari, semakin berat hati ingin berpisah, semakin berat kaki untuk melangkah pergi. Benarlah kata orang kita hanya mampu menghargai sesuatu bia ianya sudah tiada lagi. Dan pasti bumi ardhul kinanah ini yang akan sentiasa kami rindui…


Ada orang pernah berpesan


We are not put on this earth for ourselves, but are placed here for each other
Kita tidak diletakkan di atas muka bumi Tuhan ini untuk diri sendiri, tapi diletakkan untuk hidup bersama.

Sebelum kami pergi, beberapa pesanan kami titipkan buat peringatan

Yang baik ambillah, jadikan tauladan, yang jelek, tinggalkan usah dibuat ikutan.



JANGAN PUTUS ASA, ANDA MAMPU BERJAYA




Seorang sahabat menukilkan sebuah pantun yang hebat

Jalan yang jauh sudah kuredah
,
Masa yang panjang penuh bertingkah,

Langit hariku tak selalu cerah,

Biar pun mati, tak kutahu erti menyerah!


Hidup, jangan cepat menyerah kalah. Kesusahan, kebimbangan dalam meneruskan pembelajaran yang semakin lama semakin sukar dirasakan, seharusnya membawa kita lebih dekat kepada Allah, kerana di sisiNya milik segala kurnia dan rezeki yang tidak terduga..



Masih ingat lagi pesanan Rasulullah kepada Ibn Abbas..


Peliharalah Allah, nescaya Ia pelihara engkau,


Peliharalah Allah, nescaya engkau dapatiNya di hadapan engkau,


Kenallah Allah pada masa lapang, nescaya Ia kenal engkau pada masa susah


Apabila engkau meminta, maka mintalah kepada
Allah

Dan apabila engkau memohon pertolongan, maka mohonlah pertolongan itu dengan Allah.


Dan, ketahuilah, sesungguhnya kemenangan itu dengan kesabaran.
Dan sesungguhnya kelapangan itu beserta kesusahan.
Dan sesungguhnya beserta kesusahan itu ada kesenangan…
.



Jangan pantas seorang hamba berkata dia berjaya hanya dengan usahanya semata-mata. Jadikan setiap kejayaan sebagai motivasi untuk menjadi hamba yang lebih bersyukur dengan nikmat Tuhan.

Jadikan pula kegagalan sebagai satu muhasabah, untuk kita lebih mengenal Allah yang Maha
Pemurah.

Bukankah hidup umpama roda, kadang di atas, kadang di bawah.. yang tidak berubah adalah kita yang sentiasa membawa status hambaNya, dan sentiasa perlu berusaha.


Buat golongan agamawan,

Kalaupun pesanan ini selalu diulang-ulang, anggaplah ia peringatan lagi yang entah buat kali yang ke berapa untuk anda, golongan yang memegang amanah ilmu agama Allah.
Jadikan ilmu agama yang tinggi di dada itu untuk kebaikan pengislahan masyarakat dan ummah seluruhnya, bukan hanya perkhidmatan dalam bidang-bidang pendidikan yang sangat
diperlukan, tetapi juga dalam bidang dakwah yang sangat luas cabangnya, dan tidak terkira mediumnya.

Jadilah golongan agama yang kreatif, pandai mengambil peluang dalam setiap kesempitan dan kesempatan untuk menyampaikan dakwah Islam secara berkesan kepada masyarakat.



JANGAN BERPECAH BELAH



PERMAI bukan seperti dulu lagi, yang ahlinya hanya puluhan sahaja. PERMAI harus mampu berdepan dengan cabaran menyatukan hati ahli-ahlinya yang semakin bertambah setiap tahun.

Seorang mujaddid abad ini pernah berpesan…


Saya tidak bimbangkan keadaan kamu dan ancaman musuh-musuh Islam,

tetapi apa yang saya bimbangkan ialah diri kamu sendiri.

Saya tidak takutkan ancaman orang-orang Inggeris terhadap kamu, atau orang Amerika atau Rusia atau lainnya.

Yang saya takutkan ialah kamu melakukan dua perkara:

1)Kamu mengenepikan Allah, lalu Allah mengenepikan kamu

2)Kamu berpecah belah sesama sendiri, maka KAMU TIDAK AKAN BERGUNA lagi


Sunnatullah! Mana mungkin kita akan berjaya tanpa kesatuan. Tidak mungkin kita hebat dan kuat andai berpecah belah dan berantakan. Walau sejauh mana pun perbezaan yang ada pada diri kita, walau sekuat mana pun pendirian kita bertentangan dengan teman-teman di sekeliling kita, jangan jadikan ia titik permulaan kepada sebuah permusuhan dan perpecahan.



Jangan saling memburukkan, jangan saling menjatuhkan, berprasangka buruk yang tiada asas, malah mungkin terjadinya kita melakukan kesilapan besar memfitnah dan menzalimi orang lain dengan prasangka kita yang tidak benar .


Hati-hati… kita tiada hak untuk berkata tentang sesuatu yang tidak kita kenali.. bahkan tiada hak untuk menaruh prasangka atau memburukkan sesama sendiri.



Sentiasalah berlapang dada dan berbaik sangka.




ANDA CONTOH IKUTAN !



Sebelum kami pergi dan menyerahkan title senior-seniorita kepada adik-adik yang menggantikan tempat kami, ingat satu peringatan daripada Rasulullah SAW, semoga menjadi sebuah pegangan dalam hidup kalian..


"Sesiapa yang mengajukan
contoh ikutan yang baik di dalam Islam, ia akan memperolehi pahalanya dan pahala orang-orang lain selepasnya yang mengamalkannya, tanpa dikurangi pahala tersebut sedikitpun.

Sesiapa yang mengajukan contoh ikutan yang buruk di dalam Islam, ia akan mendapat dosanya dan dosa orang lain yang mengamalkannya tanpa dikurangi dosa tersebut sedikitpun"

Anda diperhatikan, dan anda perlu memerhatikan...


" Setiap orang hendaklah melihat (dan memikirkan) apa yang ia sediakan untuk hari esok (hari akhirat)"
(Al-Hasyr: 12)


Kami mungkin bukan contoh yang terbaik untuk diteladani. Namun apa yang baik yang anda lihat pada kami, contohi, teladani dan amalkan, agar ganjaran kebaikan itu dapat kami kongsi dunia akhirat.

Namun, andai ada cacat cela kami, perbuatan yang salah dan dibenci, tolong jangan contohi, jangan teladani dan jangan amalkan, kerana kami tidak mahu menanggung sama dosa perbuatan yang salah di sisi agama.

Buat adik-adik, ingat! Anda akan menjadi contoh yang diperhatikan oleh generasi-generasi seterusnya.
Anda pilih mahu menjadi yang baik untuk diikuti, agar nikmat kebaikan yang berpanjangan dapat dirasa hingga ke akhirat sana, atau anda lebih senang memilih untuk menjadi contoh ikutan yang sebaliknya, maka balasan sebaliknya pula yang diterima berpanjangan selamanya...



SAYONARA

Untuk akhirnya..


Saya mewakili batch perubatan 20042010 JUST, ingin merakamkan jutaan penghargaan dan terima kasih buat semua warga PERMAI, yang dikasihi yang telah mewarnai kanvas kehidupan kami sepanjang bergelar pelajar di sini.

Segunung KEMAAFAN kami pinta, andai sepanjang perkenalan yang Allah izinkan ini tanpa disedari atau disengajakan, ada hati yang terasa, jiwa yang terguris, perbuatan yang salah, kata-kata belakang atau umpatan yang membawa dosa. Harap, dengan penuh lapang dada maafkan kami yang tidak mahu menanggung dosa berpanjangan sesama manusia. MOHON DENGAN SANGAT....

Sebarang HUTANG PIUTANG yang belum dilangsaikan, harap dapat dituntut atau dihalalkan.


Bintang
Barat terbit petang,
Bintang Timur terbit pagi,
Jika tidak melarat panjang,
Ada umur ketemu lagi

Tuan puteri pergi ke Rasah,
Pulang semula sebelah pagi,
Kita bertemu akhirnya berpisah,
Diizin Tuhan bersua lagi...


DOAKAN KAMI

Rasulullah SAW pernah bersabda:

"Sebaik-baik manusia adalah yang paling bermanfaat untuk orang lain"

DOAKAN KAMI BERMANFAAT UNTUK UMMAT !




Yang benar

CLASS OF 2010 MBBS JUST

Ahmad Firdaus
Ihsan Mustaien
Iqbal Haziq
Muhtadiin
Muhd Nur Aizat

'Aqilah Suhaimi
Farah Najihah Tajurudin
Hetty Ayuni
Juiliana Hamzah
Kamilah Shafii
Noorzayyani Md Nor
Nur Faezza Mohtar
Nur Atikah Tajul Lile
Nur Aqilah Tajul Lile
Shukriyah Sulong
Siti Sarah Ahmad Dardiri


Wallahua'lam

Wassalam.

7:42 PM

Memimpin, Dipimpin, Terpimpin- PERMAI di hati

Bismillah





Memimpin, Dipimpin, Terpimpin


Itulah temanya. AGM 2005. Masih segar dalam minda, saya masih di tahun 1 ketika itu. Menjadi bendahari jawatankuasa pelaksana AGM 2005, bersama Senior Anhar sebagai pengarah, dan kak Norhidayah Othman- yang ketika itu Ketua Helwi, sebagai timbalannya.


Ringkas. Tapi bagi saya ada maksud yang mendalam. Tema itu merujuk kepada ahli PERMAI seluruhnya, bukan hanya kepada saf kepimpinan, dan bukan hanya kepada ahli kebanyakan. Tetapi semuanya, harus sedar, dan mampu untuk memimpin, semuanya dari atas sampai bawah harus sedar dan boleh untuk dipimpin, barulah natijah untuk menjadi ummah yang terpimpin terlaksana.






Pemimpin- pastinya tidak dapat melepaskan diri daripada tanggungjawab, dan tiap-tiap pemimpin tidak dapat melepaskan tugasnya terhadap masyarakat. Semuanya akan ditanya oleh Allah apakah tanggungjawab itu dapat dilaksanakan dengan baik atau tidak.


Tetapi ramai pemimpin hari ini, lupa di samping memimpin, dia leka dengan peranannya untuk pada masa yang sama dipimpin, ditegur mana yang salah, dibetulkan mana yang silap, dibawa bincang setiap keputusan yang dibuat. Dipimpin dengan tarbiyah melaksanakan amanah Allah agar setiap langkahnya tidak tersasar dari tujuan membawa Islam dalam kepimpinannnya.


Ramai juga ahli dan rakyat jelata hari ini alpa dan tidak peduli peranan diri yang diciptakan sebagai pemimpin, walaupun untuk diri sendiri. Untuk menjadi terpimpin, diri perlu mampu memimpin dan boleh untuk dipimpin...



SIAPA MEREKA

Sejarah Rasulullah SAW dan para sahabat telah membuktikan, tiada pemimpin yang bisa hidup senang dan tenteram dengan bebanan tanggungjawab yang dipikul. Kita dihamparkan oleh ulama silam yang membentangkan tentang penderitaan dan kesusahan yang dilalui oleh orang yang bergelar pemimpin.



Abdullah Ibnu Jarrah, dilantik sebagai Gabenor di sebuah wilayah taklukan Islam. Hartanya hanyalah sebilah pedang untuk berjihad, sebutir mangkuk buat menjamah makanan dan sebuah bejana air untuk berwudhu.


Khalid Al Walid, pakar perancang ketenteraan Islam. Kehebatan dan kebijaksanaannya telah menyelamatkan batallion tentera Islam daripada di kalahkan di Perang Yarmuk. Namun apabila jawatannya dilucutkan, dia masih mampu melafazkan “ Khalid Al Walid mulia bukan kerana pangkat darjah kebesaran, Khalid Al Walid mulia kerana Islam”.


Saidina Umar Al Farouq,
sewaktu menjadi khalifah. Siang harinya sibuk mengurus siasah kenegaraan. Malam harinya disibukkan dengan tugas menjaga kebajikan rakyat. Pernah suatu malam, ketika Umar yang menyamar sebagai orang kebanyakan. Berjalan melalui lorong-lorong di Kota Madinah. Umar telah bertemu dengan seorang ibu tua yang merebus batu. Di samping ibu tua, anak-anak kecil yang menangis kelaparan.

Umar bertanya “ Untuk apakah batu ini direbus ?”

“Anak-anak ku kelaparan. Tiada makanan hendak ku berikan. Ku harap dengan merebus batu ini, anak-anak ku akan keletihan menanti batu yang tak mungkin bertukar jadi makanan. Agar dengan keletihan itu, mereka akan tidur dalam kelaparan sehingga keesokan hari. Agar dapat ku usahakan tulang yang empat kerat ini mencari rezeki buat mereka.” , jawab si ibu tua tanpa menyedari, lelaki tempat diadukan masalahnya adalah Amirul Mukminin, Umar Al Farouq.


Dengan linangan air mata, Umar Al Farouq bergegas ke gudang perbendaharaan negara. Dipecahkan kunci perbendaharaan dan dipikulnya seguni gandum. Datang seorang sahabat menawarkan diri kepada Umar Al Farouq Amirul Mukminin untuk memikul guni gandum tersebut.


Jawab Umar “Andai kau ingin memikul guni gandum ini untuk ku, maka bersedialah engkau memikul dosa-dosa ku di akhirat kerana kelalaian ku menjaga kebajikan rakyat .” Kata-kata Umar telah menghentikan hajat sahabat tadi untuk membantu.


Setelah menyatakan tujuannya kepada penjaga gudang, Umar bergegas kembali ke tempat si ibu tua dengan linangan air mata sambil memikul guni gandum di belakangnya. Umar sendiri memasakkan makanan buat ibu tua sekeluarga. Umar juga yang melayan dan menyuapkan makanan kepada anak-anak yang kelaparan. Umar juga yang mendodoikan anak-anak si ibu tua hingga mereka tidur lena. Dalam kekenyangan. Dalam ketenangan. Dalam kegembiraan…….


Lantas Umar berlalu. Sebelum pergi, Umar berpesan kepada si ibu tua yang masih belum mengenali bahwa lelaki di hadapannya adalah Amirul Mukminin “ Wahai ibu. Doakanlah diri ku agar dosa-dosa ku diampuni Allah”.



Mampukah kita menjadi pemimpin seperti mereka..?


TAHNIAH DAN TAKZIAH

Tahniah diucapkan kepada saf kepimpinan baru PERMAI yang baru dilantik hasil undian percaya ahli PERMAI yang mahukan pemimpin berwibawa.

Sehingga saat ini, saya pernah bernaung di bawah 6 orang Presiden dan 6 orang Ketua Helwi

2004/2005- Ust Akmal dan Kak Dayah
2005/2006- Ust Nahar dan Zayyani
2006/2007- Ust Ismat dan Faezza
2007/2008- Ust Rahmat dan Ahiasah
2008/2009- Ust Faiz dan Fatihah
2009/2010- Naqeb dan Fathiyah
2010/2011- Ust Zaid dan Farhanah


Mampukah barisan kepimpinan tahun ini melakukan banyak lagi perubahan untuk masyarakat PERMAI yang semakin bertambah ahlinya, dan semakin beraneka ragamnya.

Amanah ini, mampu membawa kamu ke syurga, atau sebaliknya.. anda pilih...


Sepotong kata-kata jawapan yang telah dinyatakan oleh Al-imam Hasan al Basri kepada Amirul Mukminin –Umar bin Abd Aziz ketika ditanya tentang apakah kriteria sebenar seorang pemimpin umat islam dengan katanya,


" Sesungguhnya Allah telah menjadikan para imam yang adil itu adalah pembaiki kepada kerosakan, pembetul kepada penyelewengan, pemusnah kepada kezaliman dan pembela kepada yang lemah, pembantu kepada yang dizalimi.

Dialah yang melaksanakan hak-hak Allah kepada hambanya, mendengar ayat-ayat Allah dan memperdengarkannya kepada rakyatnya, melihat tanda kekuasaaannya dan memperlihatkannya kepada mereka, berjalan diatas tali Allah dan mengajak manusia bersamanya, dia umpama seorang hamba kepada para rakyatnya –menjaga harta dan juga keluarga tuannya, tidak sekali-kali menghukum dengan cara jahiliah dan mengikut hawa nafsu mereka,tidak menyelusuri jalan orang-orang yang zalim, tidak bersifat dengan golongan pembesar mustakbirin dalam menindas golongan lemah mustad'afin, dialah penjaga anak yatim, pembantu kepada orang–orang miskin, mendidik anak-anak mereka dan menjaga kaum tua mereka."



SHARING IS CARING

Sangat suka artikel ini.. mahu share bersama anda yang pernah, sedang atau akan menjadi pemimpin..

LEADERSHIP IN ISLAM, Read on...

ALL THE BEST!!


Wallahua'lam

8:00 AM

Lagu perpisahan

Bismillah

Musim perpisahan....

Itu yang dapat saya tafsirkan fatrah menghantar sahabat-sahabat yang telah tamat pengajian pulang. Saya juga sendiri akan dihantar hujung bulan ini, meninggalkan mereka di sini meneruskan perjuangan kehidupan..


Dan malam ini, setelah pulangnya Shukriyah, Aqilah pula yang akan meninggalkan kami pulang ke Malaysia


Semoga kejayaan terus menemani hidup kalian di masa akan datang.. Doaku, semoga pertemuan kita di sini, mampu membuahkan harumnya ukhuwwah yang berpanjangan hingga ke syurga sana, ameeen.

All the best!!



Maafkan Teman

Hembusan bayu, yang bertiup
Bersama deruan ombak, yang memukul pantai
Hatiku sayu, bila mengenangkan
Perpisahan yang tiada diundang


Bertahun kita
Melangkah bersama
Seia cita-cita
Buat bekalan ke sana
Harapan ayah bonda
Janji pada agama
Kita akan terus mara
Biarpun badai yang datang melanda


Kita hanya mampu berusaha
Hanya Allah menentukannya
Segalanya adalah milikNya

Dalam berusaha
Kita diuji
Kekadang tohmah
Kita dicaci
Diturutkan rasa hati
Ingin dilepaskan beban ini


Mujur ada teman membantu
Sokonganmu buat inspirasi
Berpeganglah
Pada janji kita
Yang dibina


Semoga bersama
Kita kan dirahmati
Oo.. teman....



8:54 PM

Sebelum saya dinikahkan!

Semalam ada kes ‘realiti masyarakat’ masuk ke dewan bersalin. Kes incomplete miscarriage. Known case of thyrotoxicosis complicated by atrial fibrillation (AF) yang datang dengan history of retained placenta and ‘tumpah darah’ (heavy bleeding) at 22/52 weeks of gestation. She was referred from klinik kesihatan daerah to Hospital Seremban. Suasana kebiasaan dewan bersalin yang permai nian jadi agak hectic dek jeritan pesakit yang kesakitan dan MO yang sedang berusaha untuk mengeluarkan cebisan uri (placenta) yang masih tertinggal di dalam rahim. Muda lagi, sekitar akhir 30-an barangkali.


“Sakit doktor, tolong, sakit!” Terjerit-jerit si pesakit.


“Kita nak tolong awak ni, tolong bagi kerjasama. Jangan angkat punggung tu. Sikit lagi uri nak keluar ni” si doktor pula berusaha menenangkan sambil tangannya pantas menjalankan tugas. Agak susah.


Memang lain benar rupa uri yang sudah tidak sempurna. Tidak nampak bentuk langsuang. Entah berapa banyak darah yang dah ter‘tumpah’. Mujur pesakit masih kelihatan ‘steady’.


“Aduh, sakit doktor!” Jerit pesakit lagi. Tindakan refleksi pesakit, tangan seperti mahu menepis, tubuh mahu diangkat jauh-jauh.


“Tahan sikit, memang sakit. Kita nak tolong awak keluarkan uri ini kat sini, kalau tidak kena masuk dewan bedah lagi susah.”


Tambah lagi kabutnya apabila tiada rekod antenatal langsung dan seperti datang from nowhere secara emergency. Memang pusing kepala badan HO dan MO mencari maklumat. Sedikit laporan ringkas yang dibawa dari klinik kesihatan menulis patient adalah pesakit thyrotoxicosis complicated with atrial fibrillation. Ditambah lagi apabila soalan-soalan yang ditanya dijawab secara agak reluctant oleh pesakit.


“Sejak bila awak tahu ada sakit thyroid dengan jantung? Ubat apa ambil? Ada bawa tak?”


“Tahun lepas doktor. Ada kat rumah doktor, tak bawa..”


“Kenapa tak bawa sekali.” Soalan yang bernada pernyataan dijawab dengan heningan. Diam.


Alhamdulillah, cebisan uri berjaya juga dikeluarkan walaupun kepayahan. Tetapi MO masih kelihatan kurang puas hati. Firasat mengatakan masih terdapat sisa-sisa yang tertinggal di dalam. Ultrasound disorongkan untuk tujuan kepastian.


“Sebelum ini ada pernah mengandung atau gugur tak?”


Diam


“Puan, saya tanya ni ada pernah tak?” suaranya ditinggikan sedikit.


“Ni kali kedua doktor. Kali pertama gugur.” Jawab pesakit


“Kali pertama bila?” Dua kali soalan diulang. Dengan nada berbeza.


“Sebelum saya dinikahkan!”


Bila mendengar jawapan. Semua jadi senyap sebentar. Saya sendiri kurang pasti apa yang saya rasa tika itu. Tergamam, terkejut, sedih malah geli hati pun ada. Tergamam dan terkejut sebab kali pertama jumpa kes luar nikah depan mata. Geli hati juga sebab jawapan yang diberi bukanlah yang diharapkan. Tujuan bertanya untuk dipastikan tempoh gugur, mungkinkah setahun yang lepas atau beberapa tahun atau bulan barangkali. Sedih kerana mungkin dalam keadaan kesakitan, pesakit terjawab perkara yang membuka pekungnya sendiri di depan staf-staf dewan bersalin yang agak ramai pagi itu.


“Dekat mana gugurkan?” tanya doktor lagi


“Saya gugurkan di klinik dekat bandar doktor” jawabnya


....


Astaghfirullahal‘azim.. Illegal abortion for an unmarried woman? For a muslim woman? and it's Malaysia, my country and my nation and my people? Oh yeah, fantasy has no place here not even anywhere in this world. Please self, don't be surprised. and maybe there's more to come (hopefully. not)


It's actually something that we expected. Human is human and to err is human right? We are human, so others. We all make mistakes. Our country varies, our skin varies, our family varies, our knowledge and understanding also varies then shouldn't mistake varies too?


(Eh, do you know that world population are divided into 4 major races namely white/caucasian, mongoloid/asian, negroid/black and australoid? and approximately 5000 ethnics group according to a 1998 scientific study. I just knew it.lol.)


But when it occurs right in front of my eyes, yes, i am surprised. semi-surprised or quarter maybe. Poor me for lacking of experiences.


Memandangkan masih terdapat cebisan uri yang tidak dapat dikeluarkan secara PV – per vagina) a.k.a VE – vaginal examination), doktor memutuskan untuk pesakit dihantar ke dewan bedah bagi membolehkan prosedur D&C – dilatation & curettage) dilakukan. Hasil ‘soal siasat’ lanjut daripada pesakit tersebut, ubat yang diberikan ketika disahkan mempunyai sakit thyrotoxicosis dan AF tidak diambil secara teratur. Malah ubat warfarin yang diberikan untuk AF langsung diberhentikan secara sendirian berhad.


Bahayanya kak! Jerit saya dalam hati. Syukur ajalmu belum sampai. Jangan kerana kejahilan sendiri atau mungkin tiada kemampuan untuk membeli ubat, rohmu berjumpa Tuhan dengan PE sebagai asbab (PE = pulmonary embolism)



Prinsip perniagaan dalam perubatan

Bayangkan anda dihampiri agen insuran ataupun promoter jualan. Pasti tebal telinga menadah mendengar kelebihan (dan kekurangan) produk yang diniagakan. Jika berminat, pasti ada soalan yang akan anda lontarkan bagi memastikan produk yang dibeli tidak membawa bersama tambahan penyesalan. The end result is mutual understanding between two parties. Win-win situation kata orang.


Bukankah dalam isu kesihatan ia perlu lebih lagi dari perniagaan barangan? Kerana yang didagangkan adalah nyawa. Yang satu itulah, tiada dua mahupun tiga. Mungkinkah silap pada doktor yang menerangkan? Atau pada pesakit yang menadah ibarat masuk kiri keluar kanan? Atau mungkin faktor-faktor lain yang terlampau panjang untuk dihuraikan. Sebetulnya, ia prinsip perniagaan dengan nyawa.


‘Menggaru’ masa depan

Ber’rotasi’ di dewan bersalin bagi semua petugas kesihatan khususnya pegawai perubatan merupakan satu kelebihan juga kerugian. Lebihnya kita menjadi ‘penyambut kehidupan’ si kecil tanpa ayah dan pendamping buat ibu yang fragile keseorangan menanggung seksa dan perit. Tapi, melihatkan kesibukan yang tidak henti-henti di dewan bersalin, tergaru sendiri. Apa agaknya kaedah terbaik untuk menjadikan peluang sebagai salah satu asbab rahmat untuk mereka kembali ke pangkal jalan? Hendak diberikan ‘tazkirah online’, boleh jadi itulah seburuk-buruk cara yang mungkin bisa membuatkan mereka ‘hilang’. Seakan menghukum sebelum dibicarakan. Bikin panas hati saja, kan?


Semoga kuat hati untuk menyampaikan, semoga rahmat dan ampunan Allah sentiasa untuk kami dan mereka, amin… Ihdina subulana, waghfirlana zunubana wa tawwafana ma’al abrar


P.S #1 : Banyaknya tanda soal. Huhu provokasi, provokasi.

P.S #2 : Kisah lama semasa berpraktikal, tergantung dalam simpanan bila dugaan datang.

10:31 AM

Rahmati Guru

free music downloads | music videos | pictures



Seorang Insan Ditabir Malam
Tersenyum Di Balik Kepayahan
Tidakkan Layu Mencurah Ilmu
Luas Lautan Baktimu Guru

Kau Membentuk Akhlak Diri
Agar Menjadi Insan Berbudi
Menyuluh Gelita Malam
Terangi Kehidupan

Sayup Dihatimu
Walau Pedih Jalanmu
Kau Mendidik Tanpa Jemu
Hanya Mengharapkan
Sinar Kejayaan
Doa Restu Dikau Iringkan

Terima kasih Cahaya Hatiku
Tulus Suci Kasihmu
Oh Tuhan
Rahmati Guru

Wahai Guruku Yang Tercinta
Kan ku Ingat Segala Jasamu
Harapanmu Pasti ku Kotakan
Agar Menjadi Insan Gemilang

8:21 AM

Yang Pertama dan Terakhir ....

Bismillah

Internal Medicine
Rotation pertama dan terakhir saya sebagai pelajar ijazah perubatan di sini.


Kehidupan saya di alam klinikal bermula dengan rotation ini di Princess Basma Hospital pada September 2007. Hari pertama yang sangat mengharukan. Pesakit pertama yang saya temui- seorang wanita penghidap IBD (Inflammatory Bowel Disease)- Ulcerative Colitis. 'History' patient, saya dan seorang lagi pelajar Malaysia bersama 2 orang pelajar Arab, yang masih amatur, kami ambil dengan lompong-lompong yang sangat banyak untuk diperbaiki. Mujur doktor tidak menyuruh kami membentangkan kes.


Hari pertama juga, saya ingat, di hospital yang sama saya bertemu dengan seorang doktor pakar yang juga tenaga pengajar- Doktor Iman, mengadu tentang kesukaran mengambil history patient ketika itu.

Doktor Iman sangat baik, tangan saya dipegangnya, lalu dia berikan kata-kata nasihat dan semangat untuk saya berusaha dan jangan mudah putus asa.


Dan semalam... 15 April 2010, yang terakhir dalam diari saya sebagai pelajar ijazah perubatan

Kata Faezza : "Hari ini hari terakhir kita ambil history patient dalam Bahasa Arab"

Farah pula : "Waaa.. hari terakhir dah... dari hari first kita, sekarang dah hari last..." Bersama wajahnya yang sukar untuk saya tafsirkan, seolah sedang mengimbau langkah-langkah awal kami di alam klinikal sehingga sekarang.

Saya :

"Nak nangis la....." Satu-satu kenangan datang menerpa.
"Faezza, jom nak before balik hari ni kita round jap kat floor tengok patients...." . Ada benda seperti tak dapat dilepaskan, ada perasaan yang berat untuk diungkapkan. Rindu sudaaaah....terutama pada doktor-doktor pensyarah yang amat mengagumkan.

Teringat kata-kata Puan Zayyani setahun lebih yang lepas di ruang legar hospital

"This is our playground for 1 more year". Pandangannya dilepaskan jauh ke tengah ruang legar yang dipenuhi pelawat-pelawat dan pesakit-pesakit yang berurusan dengan pihak pendaftaran

Our Playground.... saya suka ayatnya. Our playground, tempat kita jatuh dan bangun semula, tempat kita 'bermain' dan beri sepenuh tenaga dan usaha... Kini, playground ini yang akan kita tinggalkan sebelum terjun ke dunia sebenar alam perubatan.

Beberapa langkah sahaja lagi.....



Sebulan ini dan selamanya.. kami pohon diberi kekuatan, ingat kami dalam doa kalian



CLASS OF 2010
FINAL EXAMS

28 APRIL - 27 MEI 2010

INTERNAL MEDICINE - 28 April

SURGERY - 5 Mei

OBSTETRIC AND GYNAECOLOGY - 12 Mei

PAEDIATRIC - 19 Mei

ORAL EXAMS - 23 Mei - 27 Mei



Allah jua Pemudah segalanya, dan yang Maha Memakbulkan setiap impian hambaNya...
Semoga setiap langkah kita dituntunNya.. Ameeen

Wallahua'lam

9:17 PM

Katanya : "Nobody graduates as a doctor"

Bismillah

Iklan : 21 hari lagi- Final,
12 hari lagi- OSCE Internal Medicine


Hari itu seperti biasa kami menghadiri kuliah sesi petang untuk rotation Internal Medicine, rotation terakhir kami sebelum menghadapi peperiksaan akhir ijazah perubatan.
Paginya, seperti biasa- 'bed side teaching' bersama doktor-doktor pakar yang dikagumi sentiasa.


Petang itu, kuliah atau lebih tepat saya katakan seminar dan sesi perbincangan (kerana doktor bukan hanya memberi, dan kami hanya mendengar, tetapi ia lebih kepada sesi diskusi dua hala pensyarah dan pelajar) menyentuh satu tajuk penting yang akan kami hadapi di wad-wad kecemasan mahupun klinik-klinik pesakit luar apabila bekerja sebagai doktor kelak- "An Approach To Upper GastroIntestinal Bleeding"


Doktor bermotivasi tinggi kami gelarkannya. Beliau memang sangat bermotivasi, dan suka memotivasikan pelajar-pelajar perubatannya. Satu yang unik, beliau sukakan ilmu falsafah dan sangat suka berfalsafah. Setiap kata-katanya, kalaupun tak semua, pasti ada mesej yang tersirat yang ingin disampaikan. Dialah Doktor Khaled Jadallah- doktor kegemaran majoriti pelajar perubatan tahun klinikal.


Perbincangan petang itu dikendalikannya. Saya menyediakan diri dengan membaca beberapa lampiran dalam buku berkenaan topik berkenaan.

Doktor tiba dengan muka yang ceria dan penuh semangat, seperti kebiasaannya. Kuliah dimulakan dengan pertanyaan khabar dan sembang bual yang santai...Beliau tahu ini adalah rotation terakhir kami sebelum final menjelma dan sebelum memegang gelaran doktor.


"So.. how is your preparation?"

"Are you ready to be a doctor?"

Banyak la jawapan yang diterima. Suasana bising seketika.

Ada yang menggeleng, ada pula kuat suaranya kedengaran di belakang kelas.. "YES!"

Amboi, semangatnya ! Detik hati saya.

Doktor kembali bersuara.

"The fact is, nobody graduates as a doctor. Nobody!"

Hmm.. apa ya maksudnya..?

"There is a lot more to learn, by time you will pick up one by one, and you will sharpen your skill day by day. Through the journey, you will know the feeling of a real doctor"

Saya mengangguk, tanda setuju. Doktor menyambung lagi.

"What more important is you graduate as someone who knows the rules of safety..."

Rules of safety...

Kali ini saya menggangguk lagi, lebih bersemangat, lebih bersetuju.

Rules of Safety..

Ya, apa yang membezakan kita dan mereka di luar sana, ketika kes-kes berkenaan perubatan berlaku, ialah kita TAHU rules of safety.

Apa yang membezakan kita dan mereka di luar sana ketika mengendalikan setiap langkah dalam pengurusan pesakit ialah rules of safety.

Dan kita diletakkan dalam 'high expectation' oleh mereka di luar sana, sebagai orang yang memegang rules of safety yang tidak mereka pelajari

Teringat pula kata-kata seorang doktor

"and the BASIC MEDICAL DEGREE is more like a license to start to really learn how to manage and treat patients"


Ijazah perubatan yang dimiliki sebenarnya hanyalah satu lesen untuk kita praktiskan RULES OF SAFETY kepada masyarakat luar yang memerlukan. Dalam erti kata lain, ia adalah satu amanah yang diletakkan ke atas kita, pengamal perubatan.

Daripada langkah awal kita mengambil 'history', melakukan 'physical examination', merangka satu-satu 'investigation' dan teliti setiap 'management' . Jangan pula sampai tersalah 'diagnosis', terlupa pantang larang dalam mem'prescribe' ubat-ubatan, atau tersalah 'management' yang diaturkan, kerana kita yang keluar dari sekolah perubatan sepatutnya menyemat rules of safety kemas-kemas dalam minda dan hati. Jangan menganiaya.

Juga ketika dalam kes-kes kecemasan, apa yang perlu dilakukan dalam waktu sesingkat cuma. Mereka di luar memerhatikan, kita doktor yang selamat atau yang membahayakan..
Saya ingin sentiasa menjadi doktor yang berusaha menghadirkan senyum di bibir pesakit, bukan air mata kesedihan kerana kehilangan. Tapi kita bukan Tuhan. Kalaupun saya tak mampu menyelamatkan nyawa, saya sangat bermohon agar kematian pesakit, asbabnya tidak disandarkan pada saya, atau dengan kata lain, pesakit yang meninggal kerana kesalahan doktor yang merawatnya. P.E.M.B.U.N.U.H ?? Nauzubillah. Sekali lagi RULES OF SAFETY yang perlu disemat dalam minda dan hati.



ARE YOU READY?

Teringat kata-kata seorang pakar perubatan di Malaysia, ketika saya dan 'Aqilah mengikut ward round di wad perempuan.

"You are almost ready!"

Saya tersenyum. Gembira mungkin.. Tetapi, sampai sekarang saya terfikir..

"Betulkah aku sudah bersedia?"

Dari segi ilmu, kemahiran berkomunikasi dan mencungkil cerita pesakit yang membawa kepada diagnosis penyakitnya, kemahiran memeriksa, kebijaksanaan memilih dengan tepat pilihan 'investigation' yang bersesuaian agar tidak berlaku pembaziran, serta ketepatan dari segi 'management' dan 'treatment' yang pesakit perlukan.

Ya, tiada siapa yang akan keluar dari sekolah perubatan sebagai doktor yang serba tahu, serba banyak pengalaman. Hanya 'title' sahaja dipegang sebagai lesen mengamalkan kemahiran-kemahiran yang dipelajari. Sifat dan hidup sebenar sebagai seorang doktor akan kita kutip sepanjang perjalanan dalam arena ini.

Tapi, apa yang lebih penting, kita PERLU keluar dari sekolah ini sebagai ahli yang TAHU dan MAHIR dengan RULES OF SAFETY dalam perubatan yang perlu dipraktikkan, kerana tiada ruang untuk kesilapan, apatah lagi kesilapan yang membawa natijah buruk kepada pesakit yang meletakkan harapan..... There's no room for error.. Ooowh.. sungguh menakutkan.

Doakan....


Wallahua'lam

p/s- bersemangat bila tengok kawan-kawan menghafal setiap step lembaran-lembaran berwarna merah buku OXFORD HANDBOOK of CLINICAL MEDICINE-Emergency cases and how to manage them.. jom!

12:18 PM

Dunia Akhir Zaman

Bismillah

(IKLAN : 28 hari lagi)


MusicPlaylist
Music Playlist at MixPod.com




Saya sangat sukakan nasyid ini. Pengaduan Pada Tuhan menceritakan kebenaran khabaran daripada saidina junjungan Rasulullah SAW tentang dunia akhir zaman.

Lucunya, ketika menyambut Ramadhan lepas di Malaysia, saya meletakkan setting lagu nasyid ini untuk alarm bangun sahur. Tetapi kualiti nasyid yang saya rekodkan sebelum ini tidak berapa elok, membuatkan butir-butir katanya tidak didengari satu persatu, yang terdengar hanyalah runut bunyinya sahaja yang bernada sayu dan syahdu, tapi faham-faham sahajalah.. bunyi lagu rekod dalam handset tak sama dengan lagu sebenar.

Adik-adik kembar saya (Syazali dan Khalili yang digelar Joko dan Jono/adik) pada satu malam tertidur di hadapan ruang menonton televisyen. Gelap. Mungkin satu dua lampu kecil sahaja yang menyala. Dinihari itu alarm berbunyi. Mendengarkan nada lagu yang datang entah dari mana (handphone ketika itu dalam beg tangan, memang misteri bunyi datang dari mana, macam seram je), si abang mengejut adiknya..

"Jono, bunyi apa tu....?"
Adik terjaga.
"Entah..."
Bunyi berhenti. Lega sikit si kembar dua beradik bongsu ini.
Bunyi lagi.
Ketakutan mereka rupanya.. macam lagu misteri berhantu bila nadanya sahaja berbunyi tiada butir-butir bait lagu yang tidak tahu keluar dari mana. Saya tidak ingat apa yang terjadi seterusnya, tapi keesokan harinya, apabila dua beradik ini tahu lagu itu datang daripada telefon bimbit saya, si abang, Joko bersuara..

"Kak Sarah, kak sarah.... errr.. malam ni jangan lupa ye bawa handset kak sarah naik atas masuk dalam bilik"
"Kenapa..?" Saya tahu saya terlupa.. tapi saya juga ingin tahu kenapa si Joko ni beria-ria minta saya tidak terlupa lagi meninggalkan handset di bawah lagi.
"Bunyi dia macam seraaam je.."
Lalu Joko dan Jono menceritakan apa yang berlaku malam sebelumnya. Saya gelak sakan. Ya Allah nada lagu nasyid ni boleh menakutkan budak-budak itu....

Tapi bukan hanya itu yang berlaku. Lagi sekali nada syahdu lagu ini meninggalkan satu insidennya tersendiri. Satu malam saya tertinggal lagi handphone dalam beg tangan yang berada di kerusi yang tersorok sedikit. Kita lihat siapa yang kena kali ini. Si ayah sudah bangun tidur. Alarm berbunyi...sayup-sayup terdengar... Ayah mencari-cari.. tapi bukan dalam ketakutan. Esok paginya, saya kurang pasti bagaimana ayah tahu lagu itu daripada handset saya. Tapi ayah bersuara..

"Lagu sarah ke... lagu apa ye?"
"Nasyid lama"
"Masa mula-mula ayah dengar bunyi tu, sayu rasa... ayah cari-cari tak jumpa, dah la gelap, malam-malam, bulan Ramadhan pulak tu, ayah ingat ada turun ahli sufi mana datang beribadat kat rumah kita bulan puasa ni"
Mak, kakak dan saya gelak ramai-ramai.. apelah ayah ni..

Itu kisah di sebalik kesilapan saya tertinggal handset dalam beg tangan dan kualiti bunyi lagu yang mengecewakan atau mungkin juga ..... menyeramkan (??) buat dua orang adik bongsu saya.

Tetapi ada yang lebih penting yang ingin diingatkan dalam lagu biasa berinti istimewa ini

Pengaduan Pada Tuhan

Tuhan , Kau telah memberitahu kami
Tentang peristiwa akhir zaman
Peristiwa di zaman kami ini
Melalui lidah NabiMu

Di zaman ini ikhtilaf banyak terjadi
Firqah sesat tujuh puluh dua banyaknya
Al-Quran dijadikan barangan dagangan
Isinya tidak lagi dihiraukan

Tuhan, kekasihMu memberitahu
Dunia dijadikan barang yang diburu
Muslimin diseksa dan dihina
Oleh tangan-tangan kafir durjana

Tuhan, NabiMu terus bermadah
Ilmu akhirat ditinggalkan orang
Ilmu dunia dijadikan rebutan
Perempuan-perempuan dijadikan hiasan
Rumah-rumah syaitan penuh riang
Rumah-rumah Tuhan kosong dan lengang

Tuhan yang paling MENAKUTKAN
NabiMu pernah bersabda
Di akhir zaman yang PALING JAHAT
ULAMA YANG MEMANDANG DUNIA
Tabiatnya busuk bak bau BANGKAI
Siapa tercium kan mati jiwanya

Tuhan, NabiMu menyambung lagi
Terhadap peristiwa akhir zaman
Perempuan hilang malunya
Anak tidak hormati ibu bapa
Bahkan keduanya dijadikan kuli
Atau sudah tidak dipeduli

Tuhan, penutup kata kami ceritakan
Dari lidah Nabi kekasihMu
Rezeki yang halal susah dicari
Ibarat mencari berlian berharga

Tuhan, kekasihMu menjanjikan kedatangan mujadid baru
Muslimin nasibnya akan terbela
Rumah-rumah Tuhan riang
Rumah -rumah syaitan akan musnah
Perempuan-perempuan akan dilindungi
Anak-anak soleh dan solehah
Kebenaran kan pasti terbukti

MALAYSIA O.. MALAYSIA

Apa nak jadi pada negara sendiri. Rasa takut nak balik tanah air pun ada. Sana sini cerita rogol, sana sini cerita bunuh, banyak sangat cerita buang bayi. Hari ini sahaja dalam utusan ada 3 kes anak ditinggalkan dan dibuang. Ooo.. akhir zaman.. akhir zaman. Seram.

Semalam terbaca berita- Empat kaedah tangani isu buang bayi

Petikan..

Menurutnya, advokasi (memberi tumpuan kepada punca pembuangan dan penderaan terhadap kanak-kanak) perlu untuk mengatasi pengabaian, penderaan dan pembuangan kanak-kanak kerana perbuatan tersebut bukan budaya rakyat negara ini.

“Kaedah pencegahan iaitu menangani permasalahan secara saintifik dilakukan dengan bantuan pihak polis, manakala khidmat nasihat dan penyelidikan akan dijalankan dengan bantuan pakar untuk mengetahui secara lebih mendalam bagaimana ia berlaku."


Secara saintifik?

Penyelidikan dan bantuan pakar?

Apakah cara yang paling berkesan....???

Anda yang Allah kurniakan aqal dan hati yang mampu berfikir sebagai hamba Allah mesti tahu jawapannya.. kenapa tidak pulang pada agama..??

Dunia dan tanda-tanda akhhir zaman.. makin ketara

Dan kita, mari bersedia...

Paling dekat.. BERSEDIA UNTUK FINAL NAK GRAD..!!!

Tolong doakan kejayaan bersama..


Wallahua'lam

11:36 AM

Senior naik tocang?

Bismillah

Selesai satu lagi program besar PERMAI. Tamat selepas jam 9 malam, waktu qarar yang dihadkan. Menjadi kebiasaan di sini, selepas tempoh qarar, pelajar perempuan akan dimuraqibkan untuk menjaga keselamatan.

Saya dan adik-adik siswi sedang menanti seseorang di luar dewan.

"Akak balik macam mana ni? Ada muraqib ? "
Sopan, seorang junior bertanya. Tidak pula saya kenal siapa.

Kami ketika itu 4 orang, namun sedang menunggu wanita pertama PERMAI menyelesaikan hal-hal di balik tabir selepas program menjadikan kami 5 orang kesemuanya.

"Takpe. Kami naik teksi. Takde polis malam-malam ni"

Ketika itu di fikiran saya, alang-alang dah ramai pelajar perempuan, boleh la balik sekali dengan satu teksi, walaupun had penumpang teksi hanya 4 orang, tetapi kami pelajar Melayu yang kecil-kecil ini, boleh 'squeeze' sikit untuk memuatkan 5 penumpang dalam teksi. Bahayanya cuma satu, pemandu teksi takut disaman jika ada polis yang melakukan rondaan.


Terdengar adik tersebut ketawa kecil.

"Polis...."

Saya tidak melihat ia sebagai satu perkara yang besar. Tambahan, saya sendiri terfikir, tidak mahu menyusahkan mereka, siswa junior yang ingin memuraqibkan. Kerana itu saya lebih selesa menaiki teksi bersama sahabat-sahabat lain.


Tetapi, saya terkilan, apabila ada yang menyampaikan, dia terdengar satu suara di kalangan pelajar siswa, selepas saya menolak untuk menerima pertolongan untuk dimuraqibkan.

"Ala.. dah dia senior...."

Seolah-olah maksudnya pada pendapat saya "Nak buat macam mana, kakak ni macam tak nak ikut peraturan, nak paksa pun..., dia dah senior, kita ni junior, takkan nak tegur dia pulak ".

Walhal saya tahu mereka, pemimpin-pemimpin persatuan ini, mahu melaksanakan qarar dan peraturan sebaik mungkin.

Tiada yang lain, ayat itu memang ditujukan kepada saya, satu-satunya pelajar senior yang sedang menunggu adik-adik lain untuk pulang bersama.

Saya tidak mendengarnya, jadi saya tidak tahu nada dan intonasi dialog tersebut dituturkan.
Tetapi saya terkilan andai ia memaksudkan, kesenioritian menjadi penghalang seseorang untuk ditegur apabila mekakukan kesalahan dan mungkin juga membawa contoh yang tidak baik kepada adik-adik yang lain. Ketika itu saya sedikit malu. Malu kalau-kalau dilabel atau dipandang 'slack', "dah senior, boleh buat apa sahaja", sedangkan mungkin mereka tidak tahu alasan saya bertindak menolak pertolongan mereka pada awalnya.

Saya berlapang dada. Takpelah, dah mereka ingin begitu. Kita ikut sahajalah. Akhirnya kami menaiki 2 teksi dengan seorang muraqib setiap teksi. Alhamdulillah, terima kasih.

Pulang ke rumah, saya terfikir....

Bagaimana, ye pandangan junior-junior terhadap senior-senior?

Keras kepala/ berlagak sangatkah seorang senior sehingga apabila dia melakukan kesilapan, tiada siapa yang mampu bersuara di hadapannya, sopan penuh adab menegur membetulkan?

Atau adakah di situ satu 'barrier' yang menghalang mereka bersuara ?

Kalaulah saya seorang senior yang dilihat begitu oleh adik-adik junior, saya mohon maaf.

Kalau salah tetap salah, tegurlah, anda kan pimpinan...?

Tetapi menegur pun ada adab sopan dan hormatnya, agar kami yang 'tua' ini tidak terasa ada 'kurang ajar'nya dalam tingkah laku dan tutur kata.

Cakap belakang dan sangkaan hanya akan memburukkan keadaan.

Senior atau junior, kita semua sama. Yang membezakan hanya jarak usia, tahun belajar, atau juga pengalaman. Kesenioritian bukanlah tiket untuk kita melakukan semua benda suka hati sendiri. Senior, anda jadi tauladan, contoh yang baik atau yang buruk yang junior perhatikan. Jangan keras kepala.

Bukan mahu memperbesarkan perkara kecil. Hanya mahu muhasabah diri sendiri.

(4 bulan lagi sebelum 'title' senior di sini, ditinggalkan untuk menyandang 'title' junior di hospital kerajaan)

Wallahua'lam