3:07 AM

Pengorbanan- Kemuncak satu cinta


Pengorbanan- manifestasi cinta sejati

Berkorban apa saja

Harta ataupun nyawa

Itulah kasih mesra

Sejati dan mulia


Kepentingan sendiri

Tidak diingini

Bahagia kekasih

Sahaja yang diharapi


Untuk menjadi bukti

Kasih yang sejati

Itulah tandanya

Jika mahu diuji


PENGORBANAN. Bukan semudah lafaz. Bukan semua mampu merasai dan menjiwai rohnya. Hakikatnya, ia adalah manifestasi dan kesan sebuah cinta dan kasih yang tinggi lagi sejati.

Cinta itu bukanlah di bibir. Kasih itu bukan pada bicara. Perlu ada bukti membenarkan keduanya.


“Untuk menjadi bukti

Kasih yang sejati

Itulah tandanya

Jika mahu diuji”


Pasti itulah yang dijiwai oleh kekasih Allah, Nabi Ibrahim. Itulah juga yang dirasai oleh putera baginda, Nabi Ismail. Cinta mereka diuji, dan itulah yang telah dibuktikan melalui sebuah kisah pengorbanan. Ujian dan pengorbanan, bukti cinta sejati. Hebatnya ujian mereka sehebat kasih mereka kepada Yang Maha Pengasih. Tingginya pengorbanan mereka, setinggi cinta mereka kepada Yang Maha Penyayang.


“Maka Kami beri dia khabar gembira dengan seorang anak yang amat sabar.

Maka tatkala anak itu sampai (pada umur sanggup) berusaha bersama-sama
Ibrahim, Ibrahim berkata: “Hai anakku Sesungguhnya aku melihat dalam
mimpi bahwa aku menyembelihmu. Maka fikirkanlah apa pendapatmu!”

Ia menjawab: “Hai bapaku, kerjakanlah apa yang diperintahkan kepadamu;
Insya Allah kamu akan mendapatiku termasuk orang-orang yang sabar”.

Tatkala keduanya telah berserah diri dan Ibrahim membaringkan anaknya atas pelipis(nya), (nyatalah kesabaran keduanya) dan Kami panggillah dia: “Hai Ibrahim, sesungguhnya
kamu telah membenarkan mimpi itu.

Sesungguhnya demikianlah Kami member balasan kepada orang-orang yang berbuat baik.
Sesungguhnya ini benar-benar suatu ujian yang nyata dan Kami tebus anak itu dengan seekor sembelihan yang besar.

Kami abadikan untuk Ibrahim itu (pujian yang baik) di kalangan orang-orang yang datang kemudian.” (ash-Shaffat: 101-108)


Itu kisah mereka. Mereka telah berjaya dalam ujian cinta kepadaNya. Pengorbanan mereka dinukilkan dalam Kalam Allah, diabadikan untuk tatapan dan pengajaran bagi mereka yang mahu mengerti dan memahami. Bagaimana pula kisah pengorbanan kita? Pernah muhasabah diri?


PENGORBANAN DAN KEPENTINGAN SENDIRI


Berkorban, membawa makna dan pengertian yang amat luas. Begitu juga cara dan jalannya. Apapun, ia masih berlegar dalam konsep kita menyumbang dan memberi sesuatu yang kita miliki, sesuatu yang terbaik dan yang paling kita sayangi.


Bukan sekadar memberi, tetapi lebih dari itu, pengorbanan bererti melepaskan atau melakukan sesuatu walaupun dengan berat hati. Memberi tanpa memikirkan kepentingan sendiri. Berat! Ya, pengorbanan amat berat, maka ia perlukan cinta untuk melaksanakannya. Ia perlukan cinta untuk mendorongnya, ia perlukan penghayatan untuk insan merasainya. Dan pasti, dengan cinta itulah yang mendorong kekasih Allah, Ibrahim dan puteranya Ismail berkorban tanpa banyak bicara. Melepaskan apa yang disayangi, walaupun dengan berat hati, kerana taat dan cinta yang menggerakkannya. Mungkinlah, sebenarnya kita masih belum pernah merasai dan menjiwai roh pengorbanan kerana kita masih belum diuji dengan ujian sehebat kedua-dua nabi Allah tadi.


“ Kepentingan sendiri
Tidak diingini
Bahagia kekasih
Sahaja yang diharapi”


Berkorban, andai benar tujuan dan niat penuh keikhlasan, mampu meruntuhkan sikap pentingkan diri sendiri. Sedarlah, hidup bukan hanya seorang diri. Anda pasti tidak mampu. Dan hidup dalam kelompok beramai-ramai, bermasyarakat memerlukan kita untuk tidak mementingkan diri. Jika kita mampu berkorban, ertinya kita mampu menolak kepentingan diri sendiri dan meletakkan kepentingan orang lain lebih daripada apa yang kita ingini. Cubalah untuk merasainya.


PENGORBANAN KITA DAN MEREKA


Berkorban, untuk siapa, itu bergantung kepada keadaan. Kadang-kadang kita perlu berkorban, untuk mereka di sekeliling kita. Ada kalanya, kita juga perlu berkorban untuk mereka yang tak pernah kita jumpa dan kenal. Jangan pernah kita lupa, cerita cinta agung, junjungan besar Muhammad SAW yang mulia. Betapa banyak pengorbanan yang dipertaruhkan demi melihat ummat selepasnya menerima cahaya kebenaran. Betapa banyak derita yang dilalui demi memastikan agama tauhidlah yang kita anuti. Baginda tidak pernah mengenali kita, apatah lagi berjumpa dengan kita, ummat selepas kewafatannya. Tetapi kesan pengorbanannya kita rasai hari ini. Kesan cintanya kita nikmati sehingga kini, ajaran Islam yang diperjuangkannya kerana Allah. Itu kisah Rasulullah SAW bersama sayangnya kepada ummat, bersama cintaNya kepada Yang Maha Esa. Kisah kita?


Lihat pula ibu bapa kita. Setinggi mana pengorbanan mereka membesarkan anak-anak yang dikasihi. Selapang mana hati mereka memberikan apa yang terbaik untuk anak-anak tercinta mereka rasai. Tak kisah berhujan panas berpenat lelah demi mencari sesuap rezeki. Semuanya demi melihat anak tersayang hidup bahagia serba cukup semuanya. Tetapi adakah mereka mengharapkan balasan daripada anak-anak mereka atas setiap keringat yang diperah? Adakah mereka mengharapkan bayaran daripada anak-anak mereka atas setiap lelah yang dirasa? Pengorbanan mereka tiada siapa mampu membalasnya. Itu mereka. Kita?


Kita. Berkorban untuk ibu bapa? Seakan janggal bunyinya. Kepada orang tua, saya kira sepatutnya tiada istilah pengorbanan untuk mereka, tetapi ia adalah suatu KEWAJIPAN dan SURUHAN yang Allah letakkan untuk kita berikan yang terbaik untuk mereka selagi masih bernyawa. Segalanya, hanya yang terbaik untuk mereka.


Berkorban untuk sahabat? Pernah buat? Andai sayang kita kepada kawan itu yang sebenar, kasih kita kepada sahabat itu yang sejati, tiada halangan untuk kita berkorban untuknya. Siapa yang tidak ingat. Kisah As-Siddiq mempertaruhkan nyawa demi kekasihnya, junjungan mulia nabi kita. Ketika hanya berdua di dalam gua kelam, dia sedaya upaya menahan bisa yang menular, hanya untuk memastikan kekasih hati lena dengan aman di atas ribanya. Tidak sampai hati… Ada yang lupa? Kisah Mus’ab dan para sahabat di perang Uhud mengepung dan mempertahankan nabi yang dikasihi di saat paling genting, ketika Baginda dijadikan sasaran puak musyrikin, sehingga ada yang syahid, rebah ke bumi. Pengorbanan yang hanya Allah mampu memberi ganjaran. Apa pula cerita kita dan sahabat sendiri? Pernah rasa?



Bagaimana pula berkorban untuk ummat? Pasti ramai yang mengerut dahi. Mampukah kita di zaman ini? Berkorban harta atau nyawa. Kita belum mampu melaksanakannya, kerana kita belum sepenuhnya kasih kepada ummat. Kita belum sepenuhnya cinta kepada mereka. Sudahnya, yang berperang terus sengsara, yang kebuluruan terus kelaparan, yang lemah terus tertindas, yang miskin terus dilupakan. Itu kisah kita dan pengorbanan untuk ummat yang masih belum terlaksana. Gembira?



BERKORBAN, APA YANG KITA HARAPKAN?


Pengorbanan, sesuatu yang anda lakukan tanpa memikirkan kepentingan sendiri. Ya, itu betul. Ironinya, ada yang selepas berkorban mengungkit semula cerita kebaikannya, mengungkit semula kisah pengorbanannya, kononnya dia telah melakukan segalanya. Ada yang mengungkit semula, kerana merasakan pengorbanannya sia-sia dan tidak dihargai insan sekelilingnya, merasakan pengorbanannya tidak mendatangkan kebaikan dan sebarang balasan. Tanya diri soal hati. Adakah kita melakukan pengorbanan untuk orang lain dengan harapan ada yang berkorban untuk kita suatu masa nanti?

Pengorbanan bukan untuk dikenang sendiri dalam hati, dan bukan untuk diungkit –ungkit di hadapan orang. Itu memberi dengan mengharapkan balasan insan, bukan pengorbanan ertinya. Pengorbanan mestilah ikhlas dari hati, lahir dari kasih dan cinta yang ingin dibuktikan. Untuk setiap pengorbanan kamu kepada sahabat, untuk setiap yang kamu korbankan untuk ummat, jangan harapkan balasan dari insan.


Berkorbanlah, tak kira untuk siapa. Untuk keluarga, untuk sahabat, untuk ummat dan mereka di sekelilingmu. Tetapi kerana siapa kita berkorban, itu yang menjadi keutamaan. Berkorban kerana makhluk, mereka tidak punya apa untuk diberi sebagai balasan.


Berkorbanlah kerana Allah, di situ ada nilai ibadah seorang hamba, hanya Dia Yang Maha Kaya mampu membalasnya. Berkorban, ketepikan kepentingan diri, dan lepaskan apa yang kamu miliki dan yang paling kamu sayangi, demi Allah, dan yakinlah ganjarannya hanya yang terbaik di sisiNya Yang Maha Memiliki dan Punya segalanya.

“…sesungguhnya solatku, perbuatanku, hidupku dan matiku hanyalah kerana Allah Taala…”


Cinta kita kepada Allah, buktikan dengan segalanya yang kita ada

Cinta kita kepada ummat, korbankan harta, tenaga hatta nyawa andai itu yang diminta

Cinta kita kepada akhirat, lakukan segalanya, ketepikan kepentingan diri, dan harta benda agar dunia tidak mengenggam kita


Kata orang...

Belajarlah untuk mengenal andai selama ini hanya melihat, belajarlah untuk mencinta andai selama ini hanya mengenal dari luar sahaja, dan belajarlah untuk berkorban andai selama ini hanya melafazkan cinta dan kasih di bibir semata.


Selamat belajar dan menghayati apa itu pengorbanan, dan carilah variasi pengertiannya dalam hidupmu seharian.

Wallahua’lam.