Bismillah..
Pilihan raya umum datang lagi! Selamat membuang undi kepada sesiapa yang layak mengundi. Saya sendiri tidak terdaftar. Lain tahun barangkali. Apa pun, undi satu amanah, jalankan sebaiknya!
Saya dan pilihanraya
1995
Kali pertama saya kenal apa itu pilihanraya ialah sewaktu saya berumur 9 tahun, Tahun 3 sekolah rendah (1995). Sekolah tempat saya belajar menjadi pusat pembuangan undi bagi memilih Ahli Dewan Undangan Negeri Kawasan Seri Kembangan. Calon-calon yang bertanding ketika itu ialah Dato Haji Mohamad Satim Bin Diman mewakili Parti Barisan Nasional, dan seorang lagi wakil DAP (BA), orang Cina yang tidak diingati namanya. Saya tidak merasai kehangatan pilihanraya umum ketika itu memandangkan diri sendiri masih kanak-kanak. Apa yang saya tahu, kami adik beradik gembira diberi cuti umum =D
Kempen? Macam biasalah, mana-mana tempat pun mesti penuh dengan poster-poster calon-calon parti masing-masing. Dacing dan roket... poster-poster itu memenuhi kawasan perumahan kami. Tibalah hari mengundi..
Saya pernah bertanyakan kepada ibu bapa saya, siapakah yang mereka pangkah dalam borang undian. (Undi adalah rahsia, budak kecik buat-buat tak faham). Namun seingat saya soalan saya dibiar tanpa jawapan yang tepat. Malah ibu sempat berseloroh memberitahu kami seorang temannya sempat 'berkempen',
"ala.. ROKET tu sama la macam BULAN"
Mungkin maksudnya, apabila kita mengundi ROKET, samalah seperti kita menyokong BULAN.
Saya hanya tersenyum... entah faham entah tidak.
Yang menang, tidak asing lagi Dato Satim yang banyak pengaruhnya. Semenjak itu, nama beliau sentiasa menjadi tumpuan untuk merasmikan majlis-majlis besar sekolah, ataupun sebagai sumber bantuan kewangan untuk program-program yang menelan perbelanjaan yang tinggi.
1999
Satu lagi memori saya tentang pilihanraya. Ketika itu kami sekeluarga telah berpindah ke Bandar Baru Bangi. Seingat saya pilihanraya ketika itu dibuat awal daripada tarikh yang sepatutnya (2000), barangkali kerana krisis reformasi setelah Dato Seri Anwar Ibrahim dipecat.
Seperti biasa, kami diberi cuti sekolah. Saya ketika itu bersekolah di SMAP Kajang pulang ke rumah dan ketika hari mengundi, saya tidak tahu dari mana kekuatan itu datang, saya sanggup berjaga sehingga lewat malam menantikan keputusan pilihanraya disiarkan. Keputusan diumumkan bukan serentak, kawasan yang telah selesai dikira, disiarkan keputusannya satu persatu. Satu keajaiban berlaku, apabila Terengganu jatuh ke tangan pembangkang. Saya yang keseorangan menyaksikan siaran langsung itu teruja dengan keupayaan pihak pembangkang merampas kerusi di Terengganu.
Keputusan akhir tetap menyaksikan pentadbiran negara kekal dikemudi oleh Barisan Nasional.
Namun masih teringat kata-kata Tun Dr Mahathir (Dato Seri ketika itu), supaya Barisan Nasional lebih berhati-hati selepas ini kerana keputusan yang dikeluarkan tahun itu sedikit sebanyak menunjukkan BN sedikit goyah.
(keputusan penuh pilihanraya 1999)
Kawasan Kajang? Parti pembangkang menguasainya, malah kami pelajar-pelajar SMAPK turut menerima tempiasnya, kerana ada yang menggelarkan kami sekolah *A*. Wutever.. (Tak baik tuduh-tuduh orang, tau!)
2004
Kali ini saya menyambut pilihanraya ke-11 di Terengganu. Di Kem Suria Resort, Setiu kerana mengikuti Program Latihan Khidmat Negara. Perang poster memang sangat terasa. Pada malam pengumuman keputusan, kami ramai-ramai (tapi bukan semua la) menyaksikan siaran di televisyen di dewan makan. Yang lain, ada yang bising di luar membawa bendera negeri kesayangan mereka. Keputusan tidak kami ikuti sehingga akhir siaran. Tetapi esoknya, yang saya tahu pentadbiran Terengganu bertukar tangan. Saya ? Terkilan dan sedih. Masih teringat jawapan seorang jurulatih PLKN, ketika saya dan sahabat bertanya siapa yang dipangkah dalam borang undiannya ? (undi adalah rahsia, buat-buat tak faham lagi...)
Cikgu (panggilan kepada jurulatih PLKN) menjawab "Kerajaan yang kita ada sekarang ni pun ok. Semua kita dapat, kemudahan, takde kesusahan.."- lebih kurang begitulah ayatnya, saya mengambil mafhumnya sahaja. Lembut teratur butir bicaranya, seolah-olah ingin menjaga hati seseorang, walaupun di medan kawat dia yang saya kenal adalah seorang yang amat tegas denga suaranya yang garau.
Dan berakhir lagi sebuah pilihanraya. Siapa lagi kalau bukan BN masih memegang tampuk pemerintahan negara.
(keputusan penuh pilihanraya 2004)
2008
"Ayah, pilihanraya bila?", walaupun sudah tahu, saja saya bertanya meriahkan suasana ketika berbual dengan ayah tersayang setelah asyik mendengar ayah mengadu tentang penyakitnya.
"Ayah undi siapa?", sekali lagi saya tanya soalan sangat tidak munasabah, saya masih tidak berubah. "Undi adalah rahsia", saya sendiri menjawab soalan yang ditanya dengan gelak tawa, tanpa menunggu ayah menyambung bicaranya.
Pilihanraya tidak sepatutnya dicalar dan diconteng dengan warna kejahatan. Pilihanraya seharusnya bersih dari segala penyelewengan. Pilihanraya sewajibnya, benar-benar menjadi wasilah untuk rakyat bersuara siapa pemimpin pilihan, yang akan mewakili mereka, walaupun tanpa kata-kata.
Tambahan bacaan
Pilihan raya dulu dan sekarang yang saya lalui. Beranikah kita melakar perubahan atau selesa dengan apa yang kita nikmati? Dare to change? Jawapannya ada pada anda, pengundi semua.
Wallahua'lam
Walk in Titiwangsa.
10 hours ago