5:33 AM

Air Mata Ibu

Bismillah

AIR MATA IBU

Semalam, seingat saya, jika tidak silap, pertama kali saya melihat dia menangis di depan mata. Jelas menggambarkan betapa sayu hatinya terpaksa meninggalkan Jordan, kembali ke tanah
airnya, Mesir. Kami, “anak-anaknya” yang dikenali 5 tahun lalu, terpaksa ditinggalkan.

“Saya mahu awak berada di sini melihat kami mengakhiri pengajian kami nanti….”
Kata-kata itu membuatkannya terhenti seketika dari kata-kata. Matanya dipejam rapat. Pasti, kenangan 5 tahun lalu bersama kami menerjah fikirannya. Dia yang melihat kami membesar dan dewasa di sini. Dia yang mengikuti perkembangan kami, Maliziyat yang dulu bagai ayam dan itik berbicara dengannya, kini boleh berkongsi suka duka.

“Aku sangat berharap, sangat sangat berharap, korang kan anak-anak aku……, tapi macam mana…” Tersekat-sekat, sebak suaranya, merah dan bergenang kelopak airmatanya…. memecahkan apa yang terbuku di dada.

Saya tertunduk ke lantai. Sayu…. Tiada apa yang boleh saya bantu.

Keadaan memaksanya untuk meninggalkan bumi Jordan. Allah Maha Penentu segalanya.
Selepas kematian suami tercinta sebelum AidilAdha 2008, kehidupannya susah di sini, tiada sumber kewangan. Malah tiada rumah sendiri untuk didiami. Saya tidak tahu memujuk, hanya memandangnya pilu, menggosok-gosok tangannya, cuba mententeramkan perasaan di lubuk hati seorang ibu yang hanya Allah saja tahu… Sebak di dada menyelubungi….




NOSTALGIA 2004


2004, tahun pertama kami di bumi Jordan ini. Budak-budak hingusan lagi. Kami ketika itu terlalu bergantung pada senior batch pertama yang ketika itu hanya beberapa ketul sahaja. Kak Shood dan rumahnya- Blessing, tempat kami ber’cuti’, lepak hujung minggu atau cuti umum. Rumah mereka rumah ‘mafrusyah’, lengkap semua perabotnya, cantik….

Ramadhan itu, Allah mempertemukan kami dengan seorang yang berpangkat ibu di sini. Setiap malam, kebiasaannya, kami bersama-sama Kak Shood, akan ke masjid berdekatan dengan rumah untuk menunaikan solat Isya dan terawih di sana. Pastinya, kami menjadi tumpuan. Maliziyat..maliziyat… Mungkin sebelum ini tiada pelajar Melayu yang bersolat di situ sebelum ini. Kalau adapun sudah tentu lama dahulu, ketika pelajar Melayu beratus-ratus membanjiri Irbid. Kak Shood juga katanya baru berpindah ke kawasan itu, juga belum pernah ke masjid itu.

Dia, yang kami anggap ibu kami di sini, ialah Ummu Muhammad, isteri Sheikh Ibrahim (Allahyarhamuh), bilal di masjid tersebut. Kami selalu diajak ke rumahnya yang terletak di dalam kawasan perkarangan masjid, tetapi Ramadhan tahun itu hanya sekali sahaja kami memenuhi undangan mereka. Saya kurang pasti, adakah itu kali pertama saya merasa kopi Arab di sini. Pekat, dicampur pelaga lagi… Ermm.. takpe, telan je…



UMMU MUHAMMAD


Ummu Muhammad memang sangat baik. Kami berempat di Raudhatus-Saadah (RS) sentiasa diziarahi. Saya, Aqilah, Farah, dan Juiliana, ahli bayt RS yang dia anggap sebagai anaknya sendiri. Ummu Muhammad bukanlah orang senang macam orang lain. Tapi, hampir setiap kali bertandang ke rumah kami, pasti tangannya tidak kosong untuk menghulur apa yang ada. Selalunya roti Arab besar bersama-sama jeruk zaitun yang sentiasa menjadi buah tangannya kepada kami. Kami terima dengan gembira, walaupun ketika itu, tahun 1, lidah kami masih belum biasa dengan makanan Arab di sini. Kasihan Ummu Muhammad, termengah-mengah dia mendaki tangga memanjat rumah kami RS di tingkat 2 Imarah Al-Jawwad ini.


Ummu Muhammad sangat sukakan keropok ikan. Pernah sekali kami hidangkan keropok ikan, seronok tengok Ummu Muhammad makan . Chips Samak, gelarnya. Selepas itu, andai ada stok keropok ikan di rumah, kami goreng dan hidangkan padanya. Malah pernah kami berikan sebungkus keropok ikan kepadanya, boleh digoreng sendiri di rumahnya nanti.


Setiap kali datang, dia tidak lupa bertanyakan khabar keluarga di Malaysia, kuliah dan pelajaran kami. Tahun satu, Alhamdulillah ok… tapi kami selalu mengadu.. 6 tahun kena belajar… lama….


Ummu Muhammad pula selalu berkata, takpe habis tahun 1 naik tahun 2, lepas tu tahun 3, InsyaAllah cepat je… bisur3ah..bisur3ah..
InsyaAllah 6 tahun tak lama…..


Allah tahu bagaimana perjalanan kami, seperti baru semalam kami bercerita padanya, kini kami mahu berkongsi kegembiraan meraikan tahun 6 dan majlis graduasi kami bersamanya nanti. Tapi Allah Maha Penentu segalanya….



2008


Kuasa Allah. Ahli bayt RS perlu keluar dari rumah, tuan rumah ingin menyewakan rumah itu untuk anaknya yang baru berkahwin. Saya yang ketika itu berada di Malaysia cuti semester terpaksa menukar tarikh tiket pulang ke Jordan untuk menguruskan urusan pindah rumah yang dilakukan dengan tergesa-gesa. Tiada lagi RS, rumah Ummu Muhammad berjumpa anak-anak angkatnya. Kami terpaksa berpecah…


Zulhijjah 1429, sedang dalam perjalanan ke kelas tafaquh, saya menerima SMS, Sheikh Ibrahim telah meninggal dunia. Innalillahiwainnailaihirajiun. Liver disease, portal hypertension dan esophageal varices, saya kurang pasti benarkah itu puncanya. Saya hanya terdengar sahaja. Allah menguji hambaNya denagn pelbagai cara. AidilAdha tahun itu, kami menziarahi dia dan keluarganya. Semua berwajah sugul, sayu, berhari raya tanpa orang penting dalam hidup.


Masih terbayang, di rumah itulah, bagai baru semalam kami mengambil gambar mereka sekeluarga bersama-sama ketika AidilFitri tahun sebelumnya. Semuanya ceria. Kini, hanya kenangan dan nostalgia peneman hidup. Tiada lagi Sheikh Ibrahim bersama senyuman ceria dalam ramah dan imannya. Semoga Allah merahmatinya di alam sana.



SEMALAM


Semalam, pertemuan kami setelah lebih 7 bulan tidak bersua muka. Ummu Muhammad teringin sangat berjumpa kami sebelum bertolak ke Mesir. Betapa dia sangat merindui kami, dan mencari kami dari satu Imarah ke satu Imarah di kawasan kami bertanyakan jika ada pelajar Maliziyat yang tinggal di situ. Tapi tiada hasil. Tersalah Imarah yang pastinya. Allah mendengar doanya. Juiliana yang berada dalam rotation ONG di Hospital Badiah terserempak dengan Ummu Muhammad yang sedang menemani menantunya yang baru bersalin anak perempuan. MasyaAllah…


Selepas itu, pertemuan diatur. Tetapi Rabu malam Khamis itu, saya dan Farah tidak mampu menghadirkan diri. On-Call di KAUH yang asalnya sepatutnya tamat dalam pukul 6 atau 8, terlewat hingga pukul 9 malam.


“Ummu Muhammad dah balik, dia kirim salam kat korang,dia balik hujung minggu ni”, Juiliana memberitahu dalam telefon.


Sedih. “Nak jumpa dia….”


“Takpe, insyaAllah sempat jumpa sebelum dia balik nanti” pujuk Juiliana.


Semalam, saya lega. Wajahnya sempat kami tatap sebelum pemergiannya ke Mesir hari ini. Pemergian yang entah akan ada pertemuan sekali lagi atau tidak di dunia ini.


“Tak mengapa, kalaupun bukan di dunia ni pertemuan kita nanti, aku harap Allah pertemukan kita di syurga nanti….” Penuh harapan kata-katanya.


Penuh harapan juga, saya mengaminkan doanya.. amin ya rabbal ‘alamin….


Di sudut hati, saya mengharapkan kemudahan urusannya selepas ini.



Wallahua’lam