Bagaimana ingin merasa cukup dengan ketupat segera dan rendang paket ketika aidilfitri bila mana terkenangkan keluarga di Malaysia beraya dengan lemang dan pelbagaiu juadah lain?
Terasakah gembira di hati meraikan aidilfitri tahun ini bersama rakan-rakan, berjauhan dari sanak saudara?
Alhamdulillah Allah izinkan kita meraikan Ramadhan tahun ini. Semoga Ramadhan kita meriah dengan ibadah seorang hamba yang ikhlas kepada Penciptanya, ameen.
Kini syawal hampir tiba. Tentu sekali ingatan kepada keluarga di Malaysia semakin menebal setiap hari. Lantas, mungkin terdetik juga dalam hati kecil kita akan soalan-soalan tadi. Maka bagaimanakah diri ingin merasa cukup, gembira dan bahagia menyambut syawal tahun ini? Jawabnya ialah hadirkan syukur dalam diri. Inilah lanjutan daripada Madrasah Tarbiyyah Ramadhan yang telah kita jalani selama sebulan.
Malu rasanya untuk mengungkit amal yang dilakukan dan membandingkannya dengan nikmat Allah yang tidak terkira, sebagaimana firman ar-Rahman dalam surah an-Nahl, ayat 18:
“Seandainya kamu ingin menghitung nikmat-nikmat Allah, nescaya tiada terhitung olehmu, sesungguhnya Allah Maha Pengampun Maha Penyayang.”
Syukur itu mendatangkan rasa kaya dalam jiwa dan tenang dalam hati kerana kita akan aman daripada satu penyakit hati iaitu dengki. Bahkan syukur juga menjadi kunci kepada lebih banyak nikmat Allah, seperti yang telah dijanjikan oleh Allah swt :
Kita sering percaya bahawa insan yang mengasihi kita akan sentiasa memberikan kita yang terbaik dan tidak akan mengecewakan kita. Begitu juga Allah swt yang ar-Rahman serta ar-Rahim tidak pernah menghampakan kita, segala apa yang diberiNya adalah yang terbaik buat kita, cuma adakalanya kita terlupa. Allah mengungkapkan realiti ini dalam ayat 243, surah Al-Baqarah :
“…Sesungguhnya Allah mempunyai kurnia terhadap manusia tetapi kebanyakan manusia tidak bersyukur.”
“…Ya Allah jadikan diriku syukur kepadaMu, sentiasa ingat kepadaMu, rasa takut kepadaMu…” (Hadis Riwayat Daud)
Jelaskan Matlamat...Tuluskan Niat