3:07 AM

Pengorbanan- Kemuncak satu cinta


Pengorbanan- manifestasi cinta sejati

Berkorban apa saja

Harta ataupun nyawa

Itulah kasih mesra

Sejati dan mulia


Kepentingan sendiri

Tidak diingini

Bahagia kekasih

Sahaja yang diharapi


Untuk menjadi bukti

Kasih yang sejati

Itulah tandanya

Jika mahu diuji


PENGORBANAN. Bukan semudah lafaz. Bukan semua mampu merasai dan menjiwai rohnya. Hakikatnya, ia adalah manifestasi dan kesan sebuah cinta dan kasih yang tinggi lagi sejati.

Cinta itu bukanlah di bibir. Kasih itu bukan pada bicara. Perlu ada bukti membenarkan keduanya.


“Untuk menjadi bukti

Kasih yang sejati

Itulah tandanya

Jika mahu diuji”


Pasti itulah yang dijiwai oleh kekasih Allah, Nabi Ibrahim. Itulah juga yang dirasai oleh putera baginda, Nabi Ismail. Cinta mereka diuji, dan itulah yang telah dibuktikan melalui sebuah kisah pengorbanan. Ujian dan pengorbanan, bukti cinta sejati. Hebatnya ujian mereka sehebat kasih mereka kepada Yang Maha Pengasih. Tingginya pengorbanan mereka, setinggi cinta mereka kepada Yang Maha Penyayang.


“Maka Kami beri dia khabar gembira dengan seorang anak yang amat sabar.

Maka tatkala anak itu sampai (pada umur sanggup) berusaha bersama-sama
Ibrahim, Ibrahim berkata: “Hai anakku Sesungguhnya aku melihat dalam
mimpi bahwa aku menyembelihmu. Maka fikirkanlah apa pendapatmu!”

Ia menjawab: “Hai bapaku, kerjakanlah apa yang diperintahkan kepadamu;
Insya Allah kamu akan mendapatiku termasuk orang-orang yang sabar”.

Tatkala keduanya telah berserah diri dan Ibrahim membaringkan anaknya atas pelipis(nya), (nyatalah kesabaran keduanya) dan Kami panggillah dia: “Hai Ibrahim, sesungguhnya
kamu telah membenarkan mimpi itu.

Sesungguhnya demikianlah Kami member balasan kepada orang-orang yang berbuat baik.
Sesungguhnya ini benar-benar suatu ujian yang nyata dan Kami tebus anak itu dengan seekor sembelihan yang besar.

Kami abadikan untuk Ibrahim itu (pujian yang baik) di kalangan orang-orang yang datang kemudian.” (ash-Shaffat: 101-108)


Itu kisah mereka. Mereka telah berjaya dalam ujian cinta kepadaNya. Pengorbanan mereka dinukilkan dalam Kalam Allah, diabadikan untuk tatapan dan pengajaran bagi mereka yang mahu mengerti dan memahami. Bagaimana pula kisah pengorbanan kita? Pernah muhasabah diri?


PENGORBANAN DAN KEPENTINGAN SENDIRI


Berkorban, membawa makna dan pengertian yang amat luas. Begitu juga cara dan jalannya. Apapun, ia masih berlegar dalam konsep kita menyumbang dan memberi sesuatu yang kita miliki, sesuatu yang terbaik dan yang paling kita sayangi.


Bukan sekadar memberi, tetapi lebih dari itu, pengorbanan bererti melepaskan atau melakukan sesuatu walaupun dengan berat hati. Memberi tanpa memikirkan kepentingan sendiri. Berat! Ya, pengorbanan amat berat, maka ia perlukan cinta untuk melaksanakannya. Ia perlukan cinta untuk mendorongnya, ia perlukan penghayatan untuk insan merasainya. Dan pasti, dengan cinta itulah yang mendorong kekasih Allah, Ibrahim dan puteranya Ismail berkorban tanpa banyak bicara. Melepaskan apa yang disayangi, walaupun dengan berat hati, kerana taat dan cinta yang menggerakkannya. Mungkinlah, sebenarnya kita masih belum pernah merasai dan menjiwai roh pengorbanan kerana kita masih belum diuji dengan ujian sehebat kedua-dua nabi Allah tadi.


“ Kepentingan sendiri
Tidak diingini
Bahagia kekasih
Sahaja yang diharapi”


Berkorban, andai benar tujuan dan niat penuh keikhlasan, mampu meruntuhkan sikap pentingkan diri sendiri. Sedarlah, hidup bukan hanya seorang diri. Anda pasti tidak mampu. Dan hidup dalam kelompok beramai-ramai, bermasyarakat memerlukan kita untuk tidak mementingkan diri. Jika kita mampu berkorban, ertinya kita mampu menolak kepentingan diri sendiri dan meletakkan kepentingan orang lain lebih daripada apa yang kita ingini. Cubalah untuk merasainya.


PENGORBANAN KITA DAN MEREKA


Berkorban, untuk siapa, itu bergantung kepada keadaan. Kadang-kadang kita perlu berkorban, untuk mereka di sekeliling kita. Ada kalanya, kita juga perlu berkorban untuk mereka yang tak pernah kita jumpa dan kenal. Jangan pernah kita lupa, cerita cinta agung, junjungan besar Muhammad SAW yang mulia. Betapa banyak pengorbanan yang dipertaruhkan demi melihat ummat selepasnya menerima cahaya kebenaran. Betapa banyak derita yang dilalui demi memastikan agama tauhidlah yang kita anuti. Baginda tidak pernah mengenali kita, apatah lagi berjumpa dengan kita, ummat selepas kewafatannya. Tetapi kesan pengorbanannya kita rasai hari ini. Kesan cintanya kita nikmati sehingga kini, ajaran Islam yang diperjuangkannya kerana Allah. Itu kisah Rasulullah SAW bersama sayangnya kepada ummat, bersama cintaNya kepada Yang Maha Esa. Kisah kita?


Lihat pula ibu bapa kita. Setinggi mana pengorbanan mereka membesarkan anak-anak yang dikasihi. Selapang mana hati mereka memberikan apa yang terbaik untuk anak-anak tercinta mereka rasai. Tak kisah berhujan panas berpenat lelah demi mencari sesuap rezeki. Semuanya demi melihat anak tersayang hidup bahagia serba cukup semuanya. Tetapi adakah mereka mengharapkan balasan daripada anak-anak mereka atas setiap keringat yang diperah? Adakah mereka mengharapkan bayaran daripada anak-anak mereka atas setiap lelah yang dirasa? Pengorbanan mereka tiada siapa mampu membalasnya. Itu mereka. Kita?


Kita. Berkorban untuk ibu bapa? Seakan janggal bunyinya. Kepada orang tua, saya kira sepatutnya tiada istilah pengorbanan untuk mereka, tetapi ia adalah suatu KEWAJIPAN dan SURUHAN yang Allah letakkan untuk kita berikan yang terbaik untuk mereka selagi masih bernyawa. Segalanya, hanya yang terbaik untuk mereka.


Berkorban untuk sahabat? Pernah buat? Andai sayang kita kepada kawan itu yang sebenar, kasih kita kepada sahabat itu yang sejati, tiada halangan untuk kita berkorban untuknya. Siapa yang tidak ingat. Kisah As-Siddiq mempertaruhkan nyawa demi kekasihnya, junjungan mulia nabi kita. Ketika hanya berdua di dalam gua kelam, dia sedaya upaya menahan bisa yang menular, hanya untuk memastikan kekasih hati lena dengan aman di atas ribanya. Tidak sampai hati… Ada yang lupa? Kisah Mus’ab dan para sahabat di perang Uhud mengepung dan mempertahankan nabi yang dikasihi di saat paling genting, ketika Baginda dijadikan sasaran puak musyrikin, sehingga ada yang syahid, rebah ke bumi. Pengorbanan yang hanya Allah mampu memberi ganjaran. Apa pula cerita kita dan sahabat sendiri? Pernah rasa?



Bagaimana pula berkorban untuk ummat? Pasti ramai yang mengerut dahi. Mampukah kita di zaman ini? Berkorban harta atau nyawa. Kita belum mampu melaksanakannya, kerana kita belum sepenuhnya kasih kepada ummat. Kita belum sepenuhnya cinta kepada mereka. Sudahnya, yang berperang terus sengsara, yang kebuluruan terus kelaparan, yang lemah terus tertindas, yang miskin terus dilupakan. Itu kisah kita dan pengorbanan untuk ummat yang masih belum terlaksana. Gembira?



BERKORBAN, APA YANG KITA HARAPKAN?


Pengorbanan, sesuatu yang anda lakukan tanpa memikirkan kepentingan sendiri. Ya, itu betul. Ironinya, ada yang selepas berkorban mengungkit semula cerita kebaikannya, mengungkit semula kisah pengorbanannya, kononnya dia telah melakukan segalanya. Ada yang mengungkit semula, kerana merasakan pengorbanannya sia-sia dan tidak dihargai insan sekelilingnya, merasakan pengorbanannya tidak mendatangkan kebaikan dan sebarang balasan. Tanya diri soal hati. Adakah kita melakukan pengorbanan untuk orang lain dengan harapan ada yang berkorban untuk kita suatu masa nanti?

Pengorbanan bukan untuk dikenang sendiri dalam hati, dan bukan untuk diungkit –ungkit di hadapan orang. Itu memberi dengan mengharapkan balasan insan, bukan pengorbanan ertinya. Pengorbanan mestilah ikhlas dari hati, lahir dari kasih dan cinta yang ingin dibuktikan. Untuk setiap pengorbanan kamu kepada sahabat, untuk setiap yang kamu korbankan untuk ummat, jangan harapkan balasan dari insan.


Berkorbanlah, tak kira untuk siapa. Untuk keluarga, untuk sahabat, untuk ummat dan mereka di sekelilingmu. Tetapi kerana siapa kita berkorban, itu yang menjadi keutamaan. Berkorban kerana makhluk, mereka tidak punya apa untuk diberi sebagai balasan.


Berkorbanlah kerana Allah, di situ ada nilai ibadah seorang hamba, hanya Dia Yang Maha Kaya mampu membalasnya. Berkorban, ketepikan kepentingan diri, dan lepaskan apa yang kamu miliki dan yang paling kamu sayangi, demi Allah, dan yakinlah ganjarannya hanya yang terbaik di sisiNya Yang Maha Memiliki dan Punya segalanya.

“…sesungguhnya solatku, perbuatanku, hidupku dan matiku hanyalah kerana Allah Taala…”


Cinta kita kepada Allah, buktikan dengan segalanya yang kita ada

Cinta kita kepada ummat, korbankan harta, tenaga hatta nyawa andai itu yang diminta

Cinta kita kepada akhirat, lakukan segalanya, ketepikan kepentingan diri, dan harta benda agar dunia tidak mengenggam kita


Kata orang...

Belajarlah untuk mengenal andai selama ini hanya melihat, belajarlah untuk mencinta andai selama ini hanya mengenal dari luar sahaja, dan belajarlah untuk berkorban andai selama ini hanya melafazkan cinta dan kasih di bibir semata.


Selamat belajar dan menghayati apa itu pengorbanan, dan carilah variasi pengertiannya dalam hidupmu seharian.

Wallahua’lam.

8:44 PM

MENUNTUNI SUNNAH RASULULLAH DALAM IBADAH KORBAN

MENUNTUNI SUNNAH RASULULLAH DALAM IBADAH KORBAN

Di-Edit Semula Dari Kertas Kerja asal milik al-Ustaz Abu Farouq Rasul Bin Dahri

Audio Kuliah (mp3) – [Download], Video Kuliah (WMV) – [Download]

Ulama ahli sunnah wal jamaah telah menetapkan satu kaedah asas dalam menentukan sama ada amal ibadat kita diterima atau ditolak oleh Allah S.W.T… Adalah penting bagi kita untuk benar-benar memahami kaedah asas ini agar kita tidak melakukan amalan yang sia-sia kerana ia tidak diterima Allah. Kaedah yang dimaksudkan oleh penulis adalah amal ibadat tersebut hendaklah dikerjakan semata-mata ikhlas kerana Allah dan mengikuti (ittiba’) sunnah Nabi s.a.w.

Sekiranya kedua syarat yang telah digariskan di atas atau salah satu darinya tidak dipenuhi, maka amal ibadat tersebut dianggap terbatal. Firman Allah S.W.T:
“Dialah yang telah mentakdirkan adanya mati dan hidup (kamu) untuk menguji dan menzahirkan keadaan kamu, siapakah di antara kamu yang lebih baik amalnya dan Dia Maha Kuasa (membalas amal kamu) lagi Maha Pengampun (bagi orang-orang yang bertaubat).” (Surah al-Mulk, 2)

Menurut Fudhail bin ‘Iyaadh r.h:
“Maksud ‘amalan yang lebih baik’ ialah yang paling ikhlas dan paling benar. Mereka bertanya: Wahai Ali (nama gelaran untuk Fudhail bin ‘Iyaadh)! Apakah yang dimaksudkan dengan paling benar dan yang paling ikhlas? Jawab Fudhail bin ‘Iyaadh: Sesungguhnya amal itu apabila dikerjakan dengan ikhlas tetapi tidak benar nescaya tidak akan diterima dan apabila amal itu dikerjakan dengan benar tetapi tidak ikhlas juga tidak akan diterima sehingga amal itu dikerjakan dengan ikhlas dan benar. Yang dimaksudkan dengan ikhlas ialah amal itu kerana Allah dan yang dimaksudkan dengan benar ialah amal itu di atas dasar sunnah.” (Dinukil daripada kitab al-Masaa-il (Masalah-Masalah Agama), karya Abdul Hakim bin Amir Abdat, Darul Qalam, Jakarta 2002, jilid 2, ms. 258)
Tambahan pula Rasulullah s.a.w. merupakan contoh teladan yang terbaik kepada seluruh umat Islam. Hal ini adalah sebagaimana firman Allah S.W.T:
Demi sesungguhnya, adalah bagi kamu pada diri Rasulullah itu contoh ikutan yang baik, iaitu bagi orang yang sentiasa mengharapkan (keredhaan) Allah dan (balasan baik) hari akhirat, serta ia pula menyebut dan mengingati Allah banyak-banyak (dalam masa susah dan senang). (al-Ahzaab, 21)
Begitu juga menurut suatu hadis riwayat Muslim, maksudnya:
“Sesiapa yang mengerjakan sesuatu amalan (ibadat) bukan menurut cara kami (yang tsabit) maka ia adalah tertolak.” (Sahih Muslim, 1718)
Oleh itu sewajarnya dalam melaksanakan ibadat korban bersempena dengan perayaan Aidiladha ini, kita berusaha sedaya upaya untuk mencontohi sunnah-sunnah Nabi s.a.w.
Pertamanya, dalam persoalan hukum ibadah korban ini, para ulama telah berselisih pendapat dalam hal kewajiban penyembelihan binatang korban. Tetapi menurut pendapat yang lebih kuat (rajih) adalah hukumnya wajib bagi setiap orang Islam yang berdaya (mampu) untuk berkorban. (Lihat: احكام العيدين hlm. 26. Ali Hasan Ali Abdul hamid) Ini bermakna setiap muslim yang berkemampuan wajib menunaikan kewajipan korban di setiap kali menjelangnya Aidil Adha (Hari Raya Korban).
Berkorban hanya sah dilakukan setelah selesai solat Hari Raya ‘Idil Adha atau di hari-hari Tasyrik iaitu 11, 12 dan 13 Zulhijjah. Rasulullah sallallahu ‘alaihi wa-sallam bersabda:

لاَ يَذْبَحَنَّ أَحَدُكُمْ حَتَّى يُصَلِّيَ

“Janganlah sekali-kali salah seorang antara kamu menyembelih korban, sehinggalah selepas selesai solat (Aidil Adha)”. (Hadis Riwayat at-Tirmizi)
Allah Azza wa-Jalla telah memerintahkan agar orang-orang beriman berkorban setelah menjelangnya ‘Idil Adha (Hari Raya Korban). Kewajipan berkorban telah disyariatkan sejak zaman Nabi Ibrahim ‘alaihis salam. Umat Islam diperintahkan agar mengikut millah (agama) Nabi Ibrahim sebagaimana seruan Allah Azza wa-Jalla di dalam firman-Nya:

ثُمَّ أَوْحَيْنَآ إِلَيْكَ أَنِ اتَّبِعْ مِلَّةَ إِبْرَاهِيْمَ حَنِيْفًا وَمَاكَانَ مِنَ الْمُشْرِكِيْنَ

“Kemudian Kami wahyukan kepadamu hendaklah mengikut millah (syariat) Ibrahim yang berdiri teguh atas jalan yang benar, dan bukanlah dari golongan orang-orang yang menyekutukan Allah”. (An-Nahl, 123)
Perintah Allah Tabaraka wa-Ta’ala menunjukkan tentang wajibnya berkorban, sehingga Nabi Ibrahim ‘alaihis salam sanggup menyembelih anak kesayangannya kerana mentaati dan menunaikan perintah Allah Azza wa-Jalla kepadanya. Allah berfirman:

فَلَمَّا بَلَغَ مَعَهُ السَّعْيَ قَالَ يَا بُنَيَّ إِنِّيْ أَرَى فِى الْمَنَامِ أَنِّيْ أَذْبَحُكَ فَانْظُرْ مَاذَا تَرَى قَالَ يَا أَبَتِ افْعَلْ مَا تُؤْمَرُ سَتَجِدُنِيْ إِنْ شَآءَ اللهُ مِنَ الصَّابِرِيْنَ

“Maka tatkala anak itu (Ismail) sampai pada umur sanggup berusaha bersama-sama Ibrahim, Ibrahim berkata: Hai anakku, sesungguhnya aku melihat dalam mimpiku bahawa aku menyembelihmu, maka fikirkanlah apa pendapatmu? Ia menjawab: Hai bapaku, kerjakanlah apa yang diperintahkan kepadamu, insya Allah kamu akan mendapati aku termasuk orang-orang yang benar!”. (As-Saffat, 37:102)

Jika Nabi Ibrahim ‘alaihis salam sanggup mengorbankan satu-satunya anak yang tersayang, Nabi Ismail pula sanggup mengorbankan nyawanya yang tak ternilai kerana taat menunaikan perintah Allah dan cintanya kepadaNya, maka dimana bukti cinta seseorang yang mengaku beriman terhadap Rabbnya, mengapa tidak mengorbankan sedikit dari hartanya, iaitu dengan menyembelih seekor binatang korban di ‘Idil Adha.
DALIL-DALIL MENUNJUKKAN TUNTUTAN BERKORBAN
Antara dalil-dalil syara’, fatwa dan pendapat para ulama Salaf as-Soleh yang mewajibkan berkorban setelah ada berkemampuan ialah:

فَصَلِّ لِرَبِّكَ وَانْحَرْ

“Maka dirikanlah solat kerana Tuhanmu dan berkorbanlah kamu”. (Al-Kausar, 2)
Menurut Rabi’ah, Al-Auza’i, Abu Hanifah, al-Laith dan sebahagian para pengikut Malikiyah bahawa berkorban hukumnya adalah wajib bagi setiap ahli keluarga yang mampu. (Lihat: (1). Bidayah al-Mujtahid. 1/314. Ibn Asyd. (2). Al-Fikhul Islami wa-Adillatuhu. Juz 3/595-597. Dr. Wahbad az-Zuhaili) Antara dalil-dalil mereka yang menunjukkan wajibnya berkorban kepada sesiapa yang berkemampuan ialah:

فَصَلِّ لِرَبِّكَ وَانْحَرْ

“Maka dirikanlah solat kerana Tuhanmu dan berkorbanlah kamu”.

عَنِ ابْنِ عُمَرَ رَضِيَ اللهُ عَنْهُمَا قَالَ : أَقَامَ رَسُوْلُ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ بَالْمَدِيْنَةِ عَشَرَ سِنِيْنَ يُضَحِّى

“Dari Ibnu Umar radiallahu ‘anhuma berkata: Rasulullah sallallahu ‘alaihi wa-sallam telah menetap (mukim) di Madinah selama sepuluh tahun, baginda tetap menunaikan korban”. (Hadis Riwayat at-Tirmizi)

كَانَ الرَّجُلُ فِى عَهْدِ رَسُوْلِ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يُضَحَّى بِالشَّائِ عَنْهُ وَعَنْ أَهْلِهِ

“Dimasa Rasulullah sallallahu ‘alaihi wa-sallam, setiap seseorang lelaki berkorban dengan seekor kambing untuknya dan untuk keluarganya”. (H/R Tirmizi, kitab al-Adhahi 2/1216 (hadis ini disahihkan oleh beliau). Dikeluarkan oleh Ibnu Majah, 2/2546 (dengan sanad yang sahih). Hadis ini disahihkan juga oleh Syeikh Muhammad Nashiruddin al-Albani)

عَلَى كُلِّ أَهْلِ بَيْتٍ أُضْحِيَةٌ

“Diatas setiap ahli bait (ketua keluarga) hendaklah ada sembelihan (korban/udhiyah)”. (Hadis Riwayat Ahmad, Ibnu Majah. Hakim (disahihkan oleh beliau))

عَنْ أَبِيْ هُرَيْرَةَ رَضِيَ اللهُ عَنْهُ قَالَ : مَنْ وَجَدَ سَعَةً فَلَمْ يُضَحَّ ، فَلاَ يَقْرَبَنَّ مُصَلاَّنَا

“Barangsiapa yang mendapati dirinya mempunyai kelapangan/kemampuan (rezeki untuk berkorban), lalu dia tidak mahu berkorban, maka jangan sekali-kali dia mendekati tempat solat kami”. (Hadis Riwayat Ahmad, Ibn Majah, Darqutni, Hakim dan sanadnya hasan. Lihat: Fathul Bari, jld. 10/5. Hadis Mauquf lihat: Bulughul Maram, 1349 dan Ahkam al-I’dain, hlm. 26)
Telah dijelaskan dalam kibab Subulus Salam tentang maksud hadis di atas ini bahawa:
“Hadis ini menunjukkan bahawasanya seseorang dianggap telah meninggalkan suatu kewajipan (korban) yang seolah-olah (baginya) tidak ada manfaatnya, walaupun dia bertaqarrub kepada Allah (solat tetapi sayangnya) dia meninggalkan kewajipan itu (korban)”. (Lihat: Subulus Salam, 4/169)

أَنَّهُ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ ضَحَّى عَمَّنْ لَمْ يُضَحِّ مِنْ أُمَّتِهِ بِكَبْشٍ

“Bahawasanya Nabi sallallahu ‘alaihi wa-sallam telah berkorban untuk orang yang belum berkorban dari umatnya dengan seekor kambing kibasy”. (Hadis Riwayat al-Barra’ bin Azib)

عَنِ ابْنِ عَبَّاسٍ رَضِيَ اللهُ عَنْهُ قَالَ : كُنَّا مَعَ رَسُوْلِ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فِى سَفَرٍ ، فَحَضَرَ اْلأَضْحَى ، فَاشْتَرَكْنَا فِى الْبَقَرَةِ سَبْعَةٌ ، وَفِى الْبَعِيْرِ عَشَرَةٌ

“Dari Ibnu Abbas radiallahu ‘anhu berkata: Kami bersama Rasulullah sallallahu ‘alaihi wa-sallam di salah satu perjalanan (safar), kemudian tiba Hari Raya Korban, maka kami berkongsi tujuh orang pada seekor lembu dan sepuluh orang pada seekor unta”. (Hadis Riwayat at-Tirmizi, 1213. Dan disahihkan oleh al-Albani)

عَنْ جَابِرٍ رَضِيَ اللهُ عَنْهُ قَالَ : نَحَرْنَا مَعَ رَسُوْلِ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ بِالْحُدَيْبِيَةِ الْبُدْنَةَ عَنْ سَبْعَةٍ وَالْبَقَرَةَ عَنْ سَبْعَةٍ

“Dari Jabir radiallahu ‘anhu berkata: Kami telah menyembelih korban bersama Rasulullah sallallahu ‘alaihi wa-sallam di Hudaibiyah, iaitu unta untuk tujuh orang dan lembu untuk tujuh orang”. (Hadis Riwayat at-Tirmizi)

Imam Malik rahimahullah berkata:

“Saya tidak suka terhadap seseorang yang mampu untuk menyembelih binatang (korban) lalu dia meninggalkannya (tidak melakukannya)”. (Lihat: الموطأ 2/38. Imam Malik. Syarah al-Muwatha: Tanwir al-Hawalik)

Sebahagian ulama berpendapat bahawa hukum berkorban adalah sunnah, bukan wajib. Inilah antara pendapat Imam Syafie rahimahullah. Namun setiap kata-kata dan pendapat boleh diterima dan ditolak, kecuali kata-kata Rasulullah sallallahu ‘alaihi wa-sallam.

WAKTU MULA MENYEMBELIH KORBAN

Menyembelih binatang korban hanya boleh dilakukan setelah selesai solat Hari Raya. Tidak dihukum sebagai ibadah korban bagi sesiapa yang menyembelih sebelum selesainya solat Aidil Adha. Rasulullah sallallahu ‘alaihi wa-sallam bersabda:

أَقَبْلَ الصَّلاَةِ ؟ قَالَ : نَعَمْ . قَالَ : تِلْكَ شَاةُ لَحْمٍ

“Baginda bertanya apakah (disembelih) sebelum solat? Ia menjawab: Ya! Baginda bersabda: Itu adalah daging kambing (sedekah) yang bukan kambing korban”.

اِنَّ أَوَّلَ مَا نَبْدَأُ بِهِ فِى يَوْمِنَا هَذَا نُصَلِّيْ ، ثُمَّ نَرْجِعُ فَنَحَرَ ، فَمَنْ فَعَلَ ذَلَكَ فَقَدْ أَصَابَ سُنَّتَنَا ، وَمَنْ ذَبَحَ قَبْلَ ذَلَكَ ، فَاِنَّمَا هُوَ لَحْمٌ قَدَّمَهُ لأَهْلِهِ لَيْسَ مِنَ النُّسُكِ فِى شَيْءٍ

“Sesungguhnya perkara yang pertama yang kita mulakan pada hari ini (Hari Raya Korban) ialah kita solat, kemudian menyembelih (binatang korban). Maka sesiapa yang melakukan serupa itu dia telah mendpatkan sunnah kami. Barangsiapa yang menyembelih sebelum solat, maka sesungguhnya sembelihan itu adalah daging yang diperuntukkan bagi keluarganya, bukan termasuk binatang korban sedikitpun”. (Hadis Riwayat Muslim, 1961)

مَنْ كَانَ ذَبَحَ قَبْلَ أَنْ نُصَلِّي فَلبْيَذْبَحْ مَكَانَهُ أُخْرَى

“Barangsiapa yang menyembelih sebelum kami bersolat, maka hendaklah dia menyembelih sekali lagi sebagai gantinya”.

مَنْ كَانَ ذَبَحَ قَبْلَ الصَّلاَةِ فَلْيُعِدْ

“Sesiapa yang menyembelih sebelum dia solat (solat Hari Raya), maka hendaklah dia mengulanginya”. (Hadis Riwayat Bukhari, kitab Al-Adahi, 5561. Muslim, 1962)

مَنْ ذَبَحَ قَبْلَ الصَّلاَةِ ، فَإِنَّمَا يَذْبَحُ لِنَفْسِهِ ، وَمَنْ ذَبَحَ بَعْدَ الصَّلاَةِ وَالْخُطْبَتَيْنِ ، فَقَدْ اَتَمَّ نُسُكَهُ وَأَصَابَ سُنَّةَ الْمُسْلِمِيْنَ

“Sesiapa yang menyembelih korban sebelum solat, maka sesungguhnya dia menyembelih untuk dirinya sendiri. Sesiapa yang menyembelih sesudah solat dan dua khutbah, maka sesungguhnya sempurnalah ibadahnya dan tepatlah menurut sunnah orang-orang Islam”. (Hadis Riwayat Bukhari)

HARI UNTUK MELAKSANAKAN BERKORBAN
Hari yang diizinkan menyembelih korban ialah hanya pada hari hari Tasyriq, iaitu sampai terbenamnya matahari diakhir hari Tasyriq. Demikianlah dari Ali bin Abi Talib, pendapat mazhab Hanafiah dan mazhab Syafi’eyah. (Lihat: Subulus Salam) Malah Imam Ahmad berpendapat seperti itu kerana beliau berkata:
“Ini adalah pendapat lebih dari satu sahabat Muhammad sallallahu ‘alaihi wa-sallam. Al-Atsram menyebutkan antara mereka ialah: Ibnu Umar dan Ibnu Abbas radiallahu anhuma”. (Lihat: Zaadul Ma’ad. 2/319)
Pendapat mereka ini ialah berpandukan kepada hadis-hadis Nabi sallallahu ‘alaihi wa-sallam:

كُلُّ أَيَّامِ التَّشْرِقِ ذَبْحٌ

“Pada semua hari-hari Tasyriq adalah hari sembelihan (korban)”. (Hadis Riwayat Ahmad 4/8. Ibnu Hibban dan al-Baihaqi. Disahihkan oleh Syu’aib al-Arnauth. Lihat: Zaadul Maadm, 11/318, Ibnul Qaiyim. Dan dihasankan oleh Sheikh Ali Hasan Abdul Hamid. Lihat: Ahkamul Iedain)

عَنِ ابْنِ عُمَرَ قَالَ : أَلأَضْحَى يَوْمَانِ بَعَدَ يَوْمِ اْلأَضْحَى

“Dari Ibnu Umar berkata: Berkorban dua hari setelah hari Adha Masuk Hari Raya)”. (Hadis Riwayat imam Malik)
Sesiapa yang menyembelih dengan niat untuk berkorban selepas hari-hari yang dinyatakan di atas, iaitu setelah berlalunya hari Tasyrik, maka tidak lagi terhitung sebagai ibadah korban, kerana hari Tasyriq telah luput, maka sembelihannya hanya dikira sebagai sedekah, tidak dihukum sebagai ibadah korban.

HAIWAN YANG TIDAK CACAT

Haiwan yang ingin dijadikan korban tidak boleh cacat atau ada kekurangan, seperti kurus, pincang (tempang), berpenyakit, buta walau sebelah mata, hilang telinga, tanduk atau kakinya. Syarat-syarat ini berdasarkan sabda Rasulullah sallallahu ‘alaihi wa-sallam:

أَرْبَعٌ لاَ تَجُوْزُ فِى اْلأَضَاحِيْ ، اَلْعَوْرَاءُ الْبَيِّنُ عَوْرَهَا ، وَالْمَرِيْضَةُ الْبَيِّنُ مَرَضُهَا ،وَالْعَرْجَاءُ الْبَيِّنُ ضَلْعُهَا ، اَلْكَبِيْرُ الَّتِيْ لاَ تُنْقَى أَيْ لاَ مُخَّ لَهَا

“Empat (jenis binatang) yang tidak dibolehkan dalam berkorban: Buta sebelah yang jelas butanya, sakit yang jelas sakitnya, tempang (pincang) yang jelas bengkoknya, yang tidak berdaya berjalan dan yang tidak mempunyai lemak (kurus)”. (Hadis Riwayat Ahmad, Tirmizi, Ibnu Hibban dan Hakim)
HADIS-HADIS LEMAH DALAM HAL INI
Hadis-hadis di bawah ini adalah hadis-hadis lemah. Walaupun sebahagian besar masyarakat Islam masih mengamalkan dan menerimanya sebagai hujjah dalam menunaikan ibadah korban, namun yang sebenarnya ia sama sekali tidak boleh dijadikan dalil/hujjah dan tidak boleh diamalkan untuk beribadah korban. Antara hadis-hadis berikut ialah:

اِنَّمَا نَهَى رَسُوْلُ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ عَنِ الْمَصْفَرَةِ وَالْمَسْتَاْصَلَةِ ، وَالْبَخْقَاءِ ، وَالْمُشَيَّعَةِ ، وَالْكَسِيْرَةِ ، فَالْمُصْفَرَةِ الَّتِيْ تَسْتَأْصَلُ أُذُنُهَا حَتَّى يَبْدُوْ صَمَاخُهَا ، وَالْمُسْتَأْصَلَةُ الَّتِيْ ذَهَبَ قَرْنُهَا مِنْ أَصْلِهَا ، وَالْبَخْقَاءُ الَّتِيْ تُبْخَقُ عَيْنُهَا ، وَالْمُشَيَّعَةُ الَّتِيْ لاَ تَتْبَعُ الْغَنَمُ عَجْفًا وَضَعْفًا ، وَالْكَسِيْرَةُ الَّتِيْ لاَ تُنْقِى

“Bahawasanya Rasulullah sallallahu ‘alaihi wa-sallam melarang dari musfarah, al-musta’salah, al-bakhqaa’, al-musyaya’ah dan al-kasirah. Al-musfarah ialah yang dihilangkan telinganya dari pangkalnya. Al-musta’salah ialah yang hilang tanduknya dari pangkalnya, al-bukhqaa’ ialah yang hilang penglihatannya dan al-musyaya’ah ialah yang tidak dapat mengikuti kelompok kambing kerana kurus dan lemahnya, dan al-kasirah ialah yang tidak berlemak”. (Hadis ini dilemahkan oleh Syeikh Muhammad Nashiruddin al-Albani dalam Dhaif Abu Daud, no 599. Hlm 2/4)

اِشْتَرَيْتُ كَبْشًا أُضَحِّيْ بِهِ فَعَدَ الذِّءْ بُ فَأَخَذَ اْلإِلْيَةَ ، فَسَأَلْتُ النَّبِيَّ صَلَّ اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فَقَالَ : ضَحِّ بِهِ

“Saya membeli seekor kambing untuk berkorban, lalu serigala menerkamnya dan membaham punggungnya, kemudian aku tanyakan kepada Nabi sallallahu ‘alaihi wa-sallam, baginda bersabda: berkorbanlah dengannya”. (Hadis ini dilemahkan oleh Syeikh Muhammad Nashiruddin al-Albani. Lihat: Daif Ibnu Majah no. 679)

نَهَى رَسُوْلُ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ أَنْ نُضَحِّيَ بِأَعْضَبِ الْقَرْنِ وَاْلأُذُنِ

“Rasulullah sallallahu ‘alaihi wa-sallam menegah seseorang berkorban dengan binatang yang terpotong tanduk dan telinganya”. (Menurut Syeikh Muhammad Nashiruddin al-Albani, hadis in adalah mungkar. Lihat: Irwa’ul Galil 4/1149)

Oleh kerana hadis-hadis di atas adalah lemah, maka binatang yang sengaja dipotong tanduknya, ekornya atau diberitanda (ditindik) di telinganya kerana sebab-sebab tertentu yang tidak dapat dielakkan, maka ia dibolehkan untuk dijadikan binatang korban.

Adapun binatang yang cacat sejak dilahirkan, dicacatkan tanpa ada sebab atau dicacatkan oleh gigitan binatang buas, maka ia tidak boleh dijadikan ibadah korban.

PERKARA-PERKARA YANG SUNNAH

Ada beberapa perkara yang disunnahkan bagi mereka yang melakukan korban, antaranya:

1 - Semua yang terlibat dengan ibadah korban, disunnahkan agar tidak menggunting rambut dan memotong kukunya setelah masuk 1 Zulhijjah hingga ke hari dia berkorban. Rasulullah sallallahu ‘alaihi wa-sallam bersabda:

اِذَا رَأَيْتُمْ هِلاَلَ ذِيْ الْحِجَّةِ ، وَأَرَادَ أَحَدُكُمْ اَنْ يُضَحَّى ، فَلْيُمْسِكْ عَنْ شَعْرِهِ وَأَظْفَارِهِ

“Apabila kamu telah melihat anak bulan Zulhijjah dan salah seorang dari kamu hendak berkorban, maka hendaklah dia menahan dirinya dari memotong rambut dan kukunya”. (Hadis Riwayat Muslim, 1977. Hadis dari Ummu Salamah)

مَنْ كَانَ لَهُ ذِبْحٌ يَذْبَحُهُ ، فَاِذَا أُهِلَّ هِلاَلٌ ذِي الْحِجَّةِ فَلاَ يَأْخُذْ مِنْ شَعْرِهِ وَأَظْفَارِهِ حَتَّى يُضَحَّى

“Barangsiapa yang memiliki sembelihan untuk disembelih, maka apabila masuk bulan Zulhijjah, maka janganlah sekali-kali memotong rambutnya dan kukunya sehingga dia berkorban”. (Hadis Riwayat Muslim)
Menurut Imam Nawawi rahimahullah:
“Maksudnya (dari larangan tersebut) ialah: Dilarang memotong kuku dengan gunting dan sebagainya. Dilarang menggunting (memotong) rambut sama ada membotakkan (mencukur), memendekkannya, mencabutnya, membakarnya atau selainnya. Termasuk dalam hal ini (dilarang) memotong bulu ketiak, misai, bulu kemaluan dan bulu yang ada di seluruh badan”. (Lihat: Syarah Muslim 13/138)
Berkata Ibnu Qudamah rahimahullah:

“Sesiapa yang melanggar larangan ini (mengunting rambut dan memotong kuku pent.), hendaklah memohon ampun kepada Allah dan tidak ada fidyah baginya, sama ada disengajakan atau terlupa”. (Lihat: Al-Mughni 11/96)
2 - Makan daging sembelihannya, bersedekah dan menyimpan dagingnya yang lebih:

فَكُلُوْا مِنْهَا وَأَطْعِمُوْا الْبَآئِسَ الْفَقَيْرَ

“Makanlah sebahagian daripadanya, dan (sebahagian lagi) berikanlah untuk dimakan orang-orang yang sengsara lagi fakir”. (Al-Haj, 22:28)

أَنَّ النَّبِيَّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ : كُلُوْا ، وَادَّخِرُوْا وَتَصَدَّقُوْا

“Bahawa Nabi sallallahu ‘alaihi wa-sallam bersabda: Makanlah (dagingnya), simpanlah (jika ada yang lebih) dan bersedekahlah”. Hadis Riwayat Bukhari 5569. Muslim 197)

أَمَرَنِيْ رَسُوْلُ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ أَنْ أَقُوْمَ عَلَى بُدْنِهِ ، وَأَنْ أُقْسِمَ لُحُوْمَهَا ، وَجُلُوْدَهَا ، وَحِلاَلَهَا عَلَى الْمَسَاكِيْنِ ، وَلاَ أُعْطِيَ فِى جَزَرَتِهَا شَيْئَا

“Rasulullah sallallahu ‘alaihi wa-sallam memerintahkan aku untuk menyemblih binatang korbannya dan membahagi-bahagikan dagingnya, kulitnya dan alat-alat yang melindungi tubuhnya. Dan tidak memberi (sebagai upah) tukang sembelih sedikitpun dari korban tersebut”. (Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim)

Menurut pendapat jumhur ulama, setiap yang bermanfaat yang datangnya dari tubuh binatang korban tidak boleh diperjualbelikan. Tukang sembelih yang diupah untuk menyembelih tidak mendapat daging korban dan tidak boleh diupah dengan daging korban, tetapi yang dia dapat hanyalah upah dari yang berkorban sebagaimana yang dijelaskan melalui hadis di atas.

3 - Disunnahkan bagi yang berkorban menyembelih sendiri binatang sembelihannya, atau mewakilkan kepada orang lain (Lihat: أحكام العيدين hlm. 77. Sheikh Ali Hasan al-Halaby) jika ada halangan atau tidak berdaya melakukannya sendiri.

Untuk memperlihatkan syi’ar Islam, maka disunnahkan agar menyembelih di musalla (di tanah lapang yang digunakan untuk solat). Ini berdalilkan hadis dari Ibnu Umar radiallahu ‘anhu dari Nabi sallallahu ‘alaihi wa-sallam:

أَنَّهُ كَانَ يَذْبَحُ وَيَنْحَرُ بَالْمُصَلَّى

“bahawasanya baginda menyembelih dan berkorban di Musalla”. (Hadis Riwayat Bukhari)

MENYEMBELIH SECARA SUNNAH
Hendaklah menyembelih dengan pisau yang tajam, tidak boleh menggunakan pisau yang diperbuat daripada tulang. Ketika hendak menyembelih ucapkanlah: Bismillahi wallahu Akbar (بِسْمِ اللهِ وَاللهُ أَكْبَرُ). Baringkanlah binatang korban pada sebelah sisi kirinya agar mudah memEgang pisau dengan tangan kanan dan memegang atau menahan lehernya dengan tangan kiri, sebagaimana hadis Rasulullah:

عَنْ أَنَسِ بْنِ مَالِكٍ رَضِيَ اللهُ عَنْهُ ، أَنَّ النَّبِيَ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ كَانَ يُضَحِّي بِكَبْشَيْنِ ، أَمْلَحَيْنِ ، أَقْرَنَيْنِ ، وَيُسَمِّى وَيُكَبَّرُ وَيَضَعُ رِجْلَيْهِ عَلَى صِفَاحِهِمَا

“Dari Anas radiallahu ‘anhu, bahawasanya Nabi sallallahu ‘alaihi wa-sallam menyembelih dua ekor kibasy yang bagus dan bertanduk. Baginda mengucapkan basmalah dan bertakbir serta meletakkan kakinya di samping lehernya”. (Hadis Riwayat Bukhari & Muslim)

Selain menggunakan pisau yang tajam semasa menyembelih, maka disyariatkan agar mencontohi cara atau sifat penyembelihan Rasulullah sallallahu ‘alaihi wa-sallam, iaitu membaca “Bismillahi Allahu Akbar”, kerana menurut riwayat yang sahih baginda membacanya ketika menyembelih binatang korban. Antara hadis-hadis yang menjelaskan demikian ialah:

مَنْ كَانَ ذَبَحَ قَبْلَ أَنْ نُصَلِّي ، فَلْيَذْبَحْ مَكَانَهُ أُخْرَى ، وَمَنْ لَمْ يَكُنْ ذَبَحَ حَتَّى صَلَيْنَا فَلْيَذْبَحْ بِاِسْمِ اللهِ

“Sesiapa yang menyembelih sebelum solat, maka hendaklah dia menyembelih sekali lagi sebagai gantinya. Dan barangsiapa yang belum memyembelih hingga kami selesai solat, maka hendaklah dia menyembelih dengan menyebut nama Allah (بسم الله)”. (Hadis Riwayat Bukhari no 5562. Muslim no 1960)

عَنْ جَابِرٍ رَضِيَ اللهُ عَنْهُ قَالَ : صَلَيْتُ مَعَ رَسُوْلِ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ عِيْدَ اْلأَضْحَى ، فَلَمَّا انْصَرَفَ أُتِيَ بِكَبْشٍ فَذَبَحَهُ ، فَقَالَ : بِسْمِ اللهِ وَاللهُ أَكْبَرُ

“Dari Jabir radiallahu ‘anhu berkata: Aku bersolat ‘Idil Adha bersama Rasulullah sallallahu ‘alaihi wa-sallam, setelah selesai solat, didatangkan kepadanya seekor kibas, maka baginda menyembelihnya dan membaca: Bismillahi Wallaahu Akbar”. (Hadis Riwayat Ahmad, Abu Daud dan Tirmizi)
TIDAK MEMBERIKAN DAGING KURBAN SEBAGAI UPAH
Nabi s.a.w. pernah menyuruhku untuk menyempurnakan seekor unta milik baginda kemudian menyedekahkan daging, kulit dan pelindung yang dikenakannya, dan aku tidak memberi apa pun kepada tukang sembelih dari haiwan korban tersebut. Dan dia mengatakan: “Kami memberinya dengan harta kami sendiri.” (Hadis Riwayat Muslim, 1317)
SATU SEMBELIHAN UNTUK SEMUA AHLI KELUARGA
Seekor binatang korban, sama ada kambing atau lembu, boleh dikongsi pahalanya untuk dirinya, untuk orang-orang yang dalam tanggungannya dan untuk kesemua ahli keluarganya walaupun hanya berkorban dengan seekor kambing. Kerana seorang ketua keluarga mewakili seluruh keluarganya apabila dia berkorban. Ini berdasarkan hadis:

قَالَ عَطَاءُ بْنُ يَسَّارٍ : سَأَلْتُ أَبَا أَيُّوْبَ اْلأَنْصَارِي كَيْفَ كَانَتِ الضَّحَايَا عَلَى عَهْدِ رَسُوْلُ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ ؟ اِنْ كَانَ الرَّجُلُ يُضَحِّي بِاالشَّاةِ عَنْهُ وَعَنْ أَهْلِ بَيْتِهِ فَيَاْكُلُوْنَ وَيُطْعِمُوْنِ

“Berkata Ata bin Yasar: Aku bertanya kepada Abu Ayyub al-Ansari bagaimana sifat sembelihan dimasa Rasulullah sallallahu ‘alaihi wa-sallam? Beliau menjawab: Jika seseorang berkorban seekor kambing, maka untuk dia dan semua keluarganya. Kemudian mereka makan dan memberi makan dari korban tersebut”. (Hadis Rriwayat at-Tirmizi, Ibnu Majah, Malik dan al-Baihaqi. Dengan sanadnya yang hasan)

Namun, tidak ada larangan jika setiap individu dalam sebuah keluarga berkorban seekor kambing setiap seorang. Wallahu ‘alam, walhamdulillahi, was-salatu was-salamu ‘ala Rasulullah.

Sumber: http://fiqh-sunnah.blogspot.com/2007/11/058-menuntuni-sunnah-dalam-ibadah.html

7:55 PM

Hadiah kepada Allah

Bismillah



Labbaikallahumma Labbaika
Labbaika Laa Syarikalaka Labbaika
Innalhamda Wal Ni'mata
Laka Wal Mulk Laa Syarikalaka

Pergi haji
Ertinya menuju Allah yang esa
Membawa hati dan diri yang hina

Memberi hadiah kepada Allah

Berhati-hatilah menghadapNya



Setiap hamba
Pergi haji dengan segala yang baik

Hati yang baik akhlak yang baik

Harta yang halal hati yang bersih

Niat yang suci amal mulia


Pergi haji
Ilmu tentangnya mestilah ada
Agar syarat dan rukun tepat sempurna

Sah dan batalnya dapat dijaga

Agar amalan hajinya tidak sia-sia



Tata tertib dan akhlak kenalah jaga
Buatlah dengan tenang serta tawadu'

Sabar dan tolak ansur mestilah ada

Jangan berkasar merempuh manusia



Tanah haram jagalah pantang larangnya
Pergi haji bukannya masa untuk membeli belah

Beringatlah betulkanlah niat kita

Moga-moga haji kita diterima



Jagalah pantang larangNya
Yang boleh rosakkan hati

Jauhkan maksiat dan yang sia-sia

Takutkan Allah yan
g esa
Ingat selalu padaNya

Agar kita sentiasa memiliki jiwa hamba

Haji Menuju Allah- Raihan



Mendengar nasyid haji menuju Allah alunan kumpulan Raihan ini, hati meruntun sayu..
Bilalah akan tiba giliranku...



Musim haji datang lagi
Peluang untuk menunaikan rukun Islam kelima kita
Tapi bukan semua yang Allah pilih sebagai tetamu menghadapNya di tanah suci
Sungguh, mereka yang pergi adalah insan yang sangat- sangat bertuah



Masih terngiang-ngiang pesanan Kak Ina yang kami kunjungi kelmarin di Sweileh.

"Peluang yang datang sekali ke tanah suci gunakan betul-betul. Janganlah simpan harapan untuk kita pergi kali kedua atau ke berapa kali. Kesian kepada orang lain yang yang tengah dalam waiting list nak pergi untuk kali pertama"

Saya tahu pesanan itu selain ditujukan untuk kami yang masih belum berpeluang menjadi tetamuNya lagi, pesanan itu turut ditujukan kepada dirinya sebagai satu perangsang untuk dia melakukan yang terbaik di hadapan Allah di sana.



Teringat juga pesanan seorang sehabat, Juiliana ketika memberi nasihat kepada sahabat kami, Zayyani yang kami ziarahi malam tadi sebelum dia berangkat ke tanah suci

"Kat sana, jangan bazirkan masa walau sekejap pun. Isikan dengan ibadah dan mengingati Allah"


Buat sahabat-sahabat yang bertuah menyahut panggilan suci menunaikan haji, Zayyani dan Amir, Kak Ina dan Ustaz Mujahid, Asma dan Aiman dan sahabat-sahabat lain, kami doakan yang terbaik anda nikmati di sana. Bercintalah denganNya sampai ke syurga... Jangan lupa doakan kami yang masih belum diberi peluang. Allah Maha Mengetahui siapa yang lebih bersedia dan lebih layak menjadi tetamuNya tahun ini...



"...Haji Mabrur tidak terbalas melainkan syurga.."- Riwayat Bukhari dan Muslim

...illal Jannah
...illal Jannah
...melainkan syurga

Rebutlah peluang mendapatkan pas masuk ke syurga ketika anda diberi peluang ini

Doa kami moga kalian dianugerahkan haji mabrur..ameen ya rabbal'alamin

Sedikit pengisian berkenaan haji mabrur ini.
Diambil dari sini

Haji Mabrur Ganjarannya Syurga.



gambar hiasan


‏عَنْ ‏ ‏أَبِي هُرَيْرَةَ ‏ ‏رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ ‏ :‏أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ ‏ ‏صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ ‏ ‏قَالَ : ((‏ ‏الْعُمْرَةُ إِلَى الْعُمْرَةِ كَفَّارَةٌ لِمَا بَيْنَهُمَا وَالْحَجُّ ‏ ‏الْمَبْرُورُ ‏ ‏لَيْسَ لَهُ جَزَاءٌ إِلَّا الْجَنَّةُ )) ([1]).

Dari Abu Hurairah ra : “Bahawa Rasulullah saw bersabda : “ Mengerjakan Umrah sehingga umrah seterusnya adalah penghapus dosa di antara keduanya. Haji Mabrur tidak terbalas melainkan syurga.”

Riwayat al Bukhari dan Muslim.

Pencerahan Hadith :

1. Hadith menjelaskan tentang kelebihan kerja umrah sunat. Amatlah digalakan untuk sentiasa datang mengerjakan umrah jika berkemudahan berbuat demikian.

2. Kemestian berusaha untuk mencapai haji mabrur dengan menghayati segala kerja-kerja haji dengan penuh ketekunan. Syurga adalah ganjaran kepada seseorang yang memperolehi haji mabrur.

3. Haji mabrur ialah haji yang dilaksanakan dengan penuh keikhlasan tanpa sebarang perasaan menunjuk-menunjuk (riya’ dan suma’ah).

4. Haji mabrur juga bermakna pelakuan haji yang bersih dari campuran perlakuan dosa samada dalam bentuk perkataan atau perbuatan.

5. Haji mabrur dapat dilihat kesannya selepas haji apabila seseorang itu menjadi lebih baik dari sebelum kedatangannya mengerjakan haji. Ini adalah bukti bahawa hajinya diterima oleh Allah swt kerana mabrur juga ditafsirkan sebagai maqbul ( diterima Allah ).

6. Seseorang yang dikurniakan haji mabrur tidak lagi mengulangi kerja maksiat sebaliknya sentiasa berusaha untuk mendampingi kerja-kerja ketaatan kerana Mabrur itu sendiri diambil dari perkataan al birr bermakna ketaatan dan kebajikan.[2]

7. Ada suatu riwayat hadith yang menjelaskan maksud hadith mabrur iaitu;

( الْحَجُّ الْمَبْرُورُ لَيْسَ لَهُ إِلَّا الْجَنَّةُ ) قِيلَ وَمَا بِرُّهُ قَالَ : إِطْعَامُ الطَّعَامِ وَطَيِّبُ الْكَلَامِ .[3]

Rasulullah saw bersabda : “ Haji Mabrur tiada ganjarannya kecuali syurga”. Ditanya baginda saw apakah yang dimaksudkan denagan haji yang diperelokkan itu ( haji mabrur ). Baginda saw bersabda : “ Memberi makan dan elok percakapan. ”

Riwayat Imam Ahmad dan at Tabarani di dalam al Awsat dengan sanad hasan.

8. Imam assuyuthi mentakrifkan haji mabrur seperti berikut ;

الْحَجُّ الَّذِي وُفِّيَتْ أَحْكَامُهُ فَوَقَعَ مُوَافِقًا لِمَا طُلِبَ مِنْ الْمُكَلَّفِ عَلَى الْوَجْهِ الْأَكْمَلِ

iaitu haji yang dilaksanakan segala hukum hakamnya dengan sempurna maka ia berlansung bertepatan dengan yang dituntut kepada seseorang mukallaf secara paling lengkap.[4]



9. Imam Ahmad dalam syairnya menyebut:

إِذَا حَجَجْتَ ِبمَالٍ أَصْلُهُ سُحْتٌ

فَمَا حَجَجْتَ وَلَكِنْ حَجَجَتْ الِعْيرُ

لَا يَقْبَلُ اللهُ إِلَّا كُلًّ طَيِّبَةٍ

مَا كُلُّ مَنْ حَجَّ بَيْتَ اللهِ مَبْرُوْرُ [5]

Apabila engkau datang haji dengan harta yang sumbernya haram

Tidaklah engkau yang melakukan haji, tapi yang melakukan haji ialah unta.

Tiadalah Allah menerima amalan kecuali yang sememang baik (bersih)

Tidaklah semua yang datang haji ke Baitillah itu mabrur ( baik dan diterima)



[1] متفق عليه: صحيح البخاري، كتاب العمرة، باب العمرة، وجوب العمرة وفضلها، برقم 1773، ومسلم، كتاب الحج، باب في فضل الحج والعمرة ويوم عرفة، برقم 1349.

[2] Lihat huraian maksud haji mabrur dalam :

فتح الباري 3/382 وشرح النووي على صحيح مسلم 9/119.

[3] أَخْرَجَهُ أَحْمَدُ وَالطَّبَرَانِيُّ فِي الْأَوْسَطِ بِإِسْنَادٍ حَسَنٍ مَرْفُوعًا ، وَرَوَاهُ أَيْضًا اِبْنُ خُزَيْمَةَ فِي صَحِيحِهِ وَالْبَيْهَقِيُّ وَالْحَاكِمُ مُخْتَصَرًا وَقَالَ : صَحِيحُ الْإِسْنَادِ . تحفة الأحوذي بشرح جامع الترمذي ، كتاب الحج عن رسول الله صلى الله عليه وسلم ، باب ما جاء في ثواب الحج ، حديث برقم 738 .

[4] تحفة الأحوذي بشرح جامع الترمذي ، كتاب الحج عن رسول الله صلى الله عليه وسلم ، باب ما جاء في ثواب الحج ، حديث برقم 738 .

[5] هداية السالك لابن جماعة ج1 ص137






Ucapan selamat dan doa dari kami
Semoga menjadi tetamu Allah yang paling diberkati, dirahmati dan disayangi di sana dan selamanya

Setiap hamba
Pergi haji dengan segala yang baik

Hati yang baik akhlak yang baik

Harta yang halal hati yang bersih

Niat yang suci amal mulia



Doakan kami juga..

Wallahua'lam

10:51 AM

zikir fikir

Pastinya dalam hidup ini, kita pernah bersua dengan saudara seakidah yang bijak menyusun kata-katanya seakan-akan dia memang dilahirkan begitu. "Gifted" bak kata orang sekarang. Sopan pekertinya, lunak suaranya dan halus bicaranya mewaraskan kebenaran yang diucapkan. Pendek kata, ada hikmah dalam percakapannya.

Sebenarnya sebab utama bukanlah akal yang sarat dengan ilmu semata-mata tetapi yang lebih utama ialah kemurnian "raja" akal tersebut iaitu hati.

Hassan al-Basri pernah berkata,
"Orang yang cerdas adalah yang berfikir setiap kali berzikir, dan berzikir setiap kali berfikir. Dengan demikian, kalbu mereka menjadi bersih, sehingga semua ucapan yang keluar dari lidah, pasti mengandung hikmah"
-Ihya' Ulumuddin



Jelaskan matlamat...Tuluskan niat~Onion Head Emoticons

11:03 AM

Parable of the Pencil

The Pencil Maker took the pencil aside, just before putting him into the box.

"There are 5 things you need to know," he told the pencil, "Before I send you out into the world. Always remember them and never forget, and you will become the best pencil you can be."
One: "You will be able to do many great things, but only if you allow yourself to be held in someone’s hand."

Two: "You will experience a painful sharpening from time to time, but you’ll need it to become a better pencil."

Three: "You will be able to correct any mistakes you might make."

Four: "The most important part of you will always be what's inside."

And Five: "On every surface you are used on, you must leave your mark. No matter what the condition, you must continue to write."

The pencil understood and promised to remember, and went into the box with purpose in its heart.

Now replacing the place of the pencil with you. Always remember them and never forget, and you will become the best person you can be.

One: "You will be able to do many great things, but only if you allow yourself to be held in God’s hand. And allow other human beings to access you for the many gifts you possess."

Two: "You will experience a painful sharpening from time to time, by going through various problems in life, but you’ll need it to become a stronger person."

Three: "You will be able to correct any mistakes you might make."

Four: "The most important part of you will always be what’s on the inside."

And Five: "On every surface you walk through, you must leave your mark. No matter what the situation, you must continue to do your duties."

Allow this parable on the pencil to encourage you to know that you are a special person and only you can fulfill the purpose to which you were born to accomplish.

Never allow yourself to get discouraged and think that your life is insignificant and cannot make a change.