8:39 PM

Alkisah...

Alkisahnya...suatu hari ketika sedang berjalan balik dari universiti, saya mendapat satu panggilan telefon. Rupa-rupanya daripada ustazah kelas agama di amman. Keadaan jalan yang hiruk pikuk dengan kenderaan ditambah dengan angin yang kuat menyebabkan butir percakapan ustazah kurang jelas;
" Kelas kita selepas ni bermula....sembilan.. satu...Tolong beritahu kawan-kawan kamu yang lain,terima kasih"
"Kelas mula dari pukul sembilan hingga satu ke, ustazah ?"
Ustazah seperti mengiyakan pertanyaan saya lalu meletak telefon. Jadi, dengan yakin saya memaklumkan kawan- kawan yang lain, "InsyaAllah kelas kita minggu ini diawalkan ke pukul 9 pagi hingga satu petang."

*************************************************************
Sebagaimana yang dirancang, saya bersama kawan-kawan yang lain bertolak dari irbid seawal pukul 8 pagi. Kami berlapan berhajat nak bertolak lebih awal tetapi ada aral mendatang.

Kira-kira pukul 9.20 pagi, kami selamat tiba di Markaz Quran Al-Fadhilah.
"Nampaknya kita dah terlambat untuk kelas pertama, kak,"kata saya kepada kak Ima.
Tapi kami tetap nekad untuk masuk juga, mungkin ada lagi tempat kosong di bahagian belakang kelas. Better late than never.

Setibanya di pintu kelas;
"Assalamualaikum," kata Kak Ima.
Pelik, kenapa kosong kelas ni?
"Waalaikumussalam, ya? ada apa yang saya boleh bantu?" balas seorang makcik arab di situ.
"Erm..kami datang sebab nak hadiri kelas,"jawab Kak Ima.
"Oo..kelas agama tu ditunda dan akan mula SEMBILAN BELAS haribulan SATU. Rasanya kami ada maklumkan salah seorang daripada kamu," kata makcik arab tu, tersenyum.
Serentak dengan itu, mereka memandang ke arah saya.
Speechless...
"Minta maaf..," satu-satunya kalimah yang saya mampu ucapkan pada waktu tu.
"Mari masuk berehat dulu,"makcik arab itu menjemput kami masuk.

Alhamdulillah mereka berlapang dada dengan apa yang berlaku.
Ketika sedang berehat di markaz itu sambil memuhasabah sendiri kesalahan yang telah saya lakukan, saya teringat sesuatu- Allah swt menilai usaha hambaNya bukan hasil usaha tersebut kerana natijah setiap pekerjaan adalah milik Allah, seperti firman Ar-Rahman;
"...Dan kemenanganmu itu hanyalah dari Allah Yang Maha Perkasa lagi Maha Bijaksana. " (Ali-Imran : 126)

Semoga Allah menghitung usaha dan kesungguhan mereka untuk hadir ke kelas walaupun sebenarnya kelas itu tiada. Alangkah indahnya Islam.

Kita tidak akan melalui peristiwa yang sama berulang kali maka ambillah iktibar dan hikmah daripada setiap yang berlaku. Sesungguhnya Allah tidak menciptakan sesuatu untuk sia-sia;
"...tiadalah Engkau menciptakan ini dengan sia-sia, Maha Suci Engkau..." (Ali-Imran:191)

Antara moral lain dari pengalaman ini, elakkan masalah misscommunication seperti ini. InsyaAllah banyak lagi iktibar yang kita boleh dapat dari sini, ini hanyalah sebahagian daripadanya.


Jelaskan matlamat...Tuluskan niat
(p/s:nama individu, tempat & masa sebenar telah diubah)