6:41 AM

P95 N9 - Selangor darul Ehsan

Malaysia kini hangat dan panas dengan isu-isu pilihanraya umum ke-12. Terasa bahang kehangatannya di bumi yang jauh ini. Di sana-sini orang berkempen, melobi, berbalah, melatah dan berperang mulut. Masing-masing cuba membela diri dan parti pegangan. Ada yang masih mahu menegakkan benang yang sememangnya sudah basah kuyup, ada yang mahu berdolak-dalih dan pastinya disebalik kekotoran pilihanraya, masih ada yang bersih. Bersih bukan sekadar untuk menghapuskan kekotoran semata-mata, namun bersih untuk melaksanakan tuntutan agama dan menegakkan kalimah Allah di muka bumi. Allahuakbar.





Saya mendoakan kawasan P95 Tanjong Karang dan N9 Permatang bakal mendapat seorang wakil rakyat yang benar-benar boleh mewakili dan menjadi khadam kepada rakyatnya sekaligus membawa satu perubahan baru di dalam hati-hati masyarakatnya yang sememangnya ramai yang ketandusan pengisian hati.


Walaupun hari penamaan calon akan diadakan esok, namun siapa yang bakal bertanding di P95 sudah saya diketahui. Dato’ Noh Omar (BN) yang merupakan penyandang kekal sebelum ini akan terus bertanding dan bertemu mata dengan Saudara Hanipa Maidin (AJK Pas Pusat). Wah, hebat dan sengit nampaknya calon kawasan saya. Saya pilih yang mana? Sekali lagi undi adalah rahsia. Lagipun saya tak akan mengundi tahun ini. Anda boleh membuat spekulasi calon pilihan saya. Saya tak kisah. Tapi saya mendoakan calon pilihan saya menang dan yang paling penting pabila saya balik ke pangkuan kawasan saya, saya boleh memberi bakti kepada kelompok masyarakat saya walaupun sedikit. Itu azam saya.


Saya dan kawasan saya

Tanjong karang. Satu pekan kecil yang terletak di bahagian utara Selangor. Walaupun tidak sehebat Shah Alam, Subang Jaya, Klang dan Bangi, namun Tanjong Karang yang kecil itu menjadi laluan utama yang menghubungkan antara Selangor dan Perak. Sesiapa yang nak ke Teluk Intan, Bagan Datoh, dan ke Utara Malaysia akan selesa memilih jalan dalam ini sebelum memasuki Lebuhraya Utara-Selatan di susur keluar negeri Perak. Jimat kos tol sambil-sambil dapat menghirup udara segar dari kawasan kampung.


Kawasan Tanjong Karang dan utara Selangor yang meliputi Sungai Burung, Sungai Sireh (ada satu homestay di situ), Sekinchan, Sungai Panjang (kawasan MB Khir Toyo), Sungai Haji Dorani, Simpang Lima, Sungai Besar dan berakhir di Sabak Bernam merupakan kawasan yang digelar ‘periuk nasi’ Selangor. Di sinilah tempat berkumpulnya para pesawah dan petani yang tidak jemu-jemu berbakti kepada negara untuk memberi makan anda semua. Termasuk pakcik dan saudara-mara saya. Terima kasih banyak-banyak.


Gejala penghijrahan golongan muda ke ibukota dan pekan-pekan besar dari tempat saya kurang dirasai. Mungkin disebabkan Tanjong Karang itu sendiri tidak jauh daripada ibukota dan mungkin dengan adanya sistem pengangkutan awam yang agak mudah untuk ke pekan-pekan besar seperti Klang dan Kuala Lumpur. Ramai juga yang sanggup berulang-alik setiap hari ke tempat kerja termasuklah bapa saya suatu ketika dulu ketika bekerja di Pusat Bandar Damansara. Namun sekarang disebabkan pusat pentadbiran kerajaan bertukar ke Putrajaya, maka jaranglah keluarga saya dapat bertemu dengan bapa kecuali hujung minggu dan kalau bapa saya terlebih rajin menghabiskan minyak ke Tanjong Karang sahaja.


Saya dan kampung saya

Saban tahun ketika saya pulang ke kampung halaman, ada sahaja perubahan di tempat saya. Perniagaan semakin berkembang, peluang pekerjaan untuk anak tempatan semakin banyak. Di sana-sini saya terserempak dengan kawan-kawan sekolah lama saya yang sudah bekerja di premis-premis perniagaan. Ingat muka tapi tak ingat nama. Namun, kebanyakan mereka mengingati saya (agak dikenali jugak ^^). Begitu juga kadang-kadang ditegur oleh pakcik dan makcik yang saya tidak dikenali, bukan kerana saya glamour dikalangan mereka, namun mengenali mak, bapa dan embah (nenek) saya. Terasa kecil sebenarnya pekan tua ini. Memang kecil pun. Kadang-kadang sampai 3-4 kali saya keluar ke pekan dalam sehari (tetiba rindu untuk memandu kereta).





Kadang-kadang di waktu petang saya suka meronda-ronda di kawasan kampung bersama peneman setia saya si kecil yang dah membesar, Ayi, meninjau-ninjau aktiviti anak-anak muda kampung. Ada yang sibuk beriadhah di padang bola (termasuklah adik saya), ada yang duduk melepak di simpang-simpang jalan sambil berborak dan kadang-kadang menghalangi laluan kenderaan, ada yang sibuk meronda-ronda seperti saya juga, tetapi mereka selalunya berkonvoi menaiki motor, ada yang duduk berkumpul di kedai-kedai kopi dan bermacam-macam lagi. Inilah kehidupan kampung. Kadang-kadang melepak sambil terbawa-bawa ke maghrib. Tak tahulah tuntutan asar dah selesai ke belum.


Kampung saya memang dikenali sebagai kubu kuat BN. Kampung Sungai Gulang-gulang. Satu nama yang pelik bila pertama kali mendengar, namun jangan tak tahu, kampung yang bernama pelik ini pernah memenangi naib juara kampung terbersih di peringkat negeri selepas kalah kepada sebuah kampung di Banting (tak ingat nama kampung tu, Kampung Indah kalau tak silap saya). Dan pasukan nasyid wanitanya pula (bawah kelolaan Umno) pernah mewakili negeri Selangor dan mendapat tempat kedua selepas tewas dengan Terengganu. Macamana saya boleh tau semua ini? Sebabnya antara JKK kampung merupakan jiran sebelah rumah saya. Dialah yang menjadi solo di dalam kumpulan.


Kalau nak diikutkan memang kampung saya ni agak aktif. Pelbagai kursus untuk pemuda kampung seperti kursus komputer, kemahiran dan lain-lain. Siap dapat peruntukan kewangan lagi kalau pergi. Perkara-perkara macam ni memang bagus, namun saya tak tahu pula sejauh mana sambutannya dikalangan anak muda sendiri. Dengar-dengarnya asyik muka yang sama je dan kebanyakannya merupakan anak dan saudara –mara JKK tersebut.


Namun disebalik kekuatan akses dengan Dato’ Noh Omar ini, apa yang saya sesali adalah pembangunan jiwa anak muda kampung ini sendiri. Saya tahu perkara ini berlaku di mana-mana. Dan inilah masalahnya. Kegiatan agama sangat kurang. Selalunya kelas-kelas mengaji dan belajar agama hanya dihadiri oleh makcik-makcik yang sudah tua. Seperti embah saya. Surau-surau jarang kelihatan anak muda yang datang. Kalau adik-adik balik berkumpul di rumah, mak dan sayalah yang selalu bising kat mereka suruh pergi surau. Maka pergilah mereka berempat dengan menaiki dua motosikal. Kadang-kadang ada juga kelibat orang-orang tabligh yang datang ke rumah-rumah berdakwah dan mengimarahkan surau dan masjid.


Saya bukan merendah-rendahkan pemuda kampung, saya pun seorang pemudi kampung juga. Kebanyakan dari mereka ini mungkinlah tahap pendidikannya kurang, namun apa yang saya nampak semangat kesatuan mereka amat kuat. Apabila diajak bergotong-royong sangat bersemangat, apabila diajak berkompang semua nak turut serta. Cuma mungkin dari segi nak pergi masjid tu kurang rajin. Jadi, kekuatan berpasukan inilah yang menjadi daya penarik buat mereka. Bila cara lama dan tipikal tidak berjaya, maka cubalah untuk membuat sesuatu yang baru untuk mendekati mereka ke arah yang lebih baik.


Namun masalahnya, ada ke kesedaran tentang perkara ini di dalam hati para pemimpin kampung dan kawasan dan parlimen itu sendiri? Saya pun tidak tahu apa target dan matlamat mereka. Mungkin kerana saya tak ambil tahu tapi rasanya tak pernah diberitahu. Jadi kalau ada insan-insan yang nak membantu pun, tak tahu nak salur khidmat ke mana sebab tak tahu sama ada agenda mengislah golongan muda-mudi ini termasuk di dalam target mereka atau tidak.


Saya sayangkan pemuda dan pemudi kampung kerana saya adalah sebahagian daripada mereka. Bukan kampung saya sahaja tapi seluruh Malaysia. Pada saya mereka ini naïf dan suci daripada pemuda-pemudi bandar. Tidak ramai di antara mereka yang tahu berjoli, berpesta, menyalahgunakan internet,. Kalau betul cara dan mengena umpannya, mereka akan mudah untuk menerima kebaikan. Ilmu perlu disampai dan disalurkan kepada mereka dengan cara yang berbeza sebab mereka ni dah jenis yang malas dah nak buka buku, baca kitab, rujuk sana, rujuk sini.


Ketika balik Malaysia tempoh hari saya sudah merisik-risik tempat untuk saya menyalurkan sumbangan saya. Alhamdulillah jumpa. Apa yang ada pada saya walaupun sedikit saya rasa kawan-kawan sekampung saya tidak ada. Jadi, sayalah yang bertanggungjawab untuk memberi apa yang ada pada saya kepada mereka. Banyak caranya, cuma kita perlu rajin keluar mencari, jangan hanya menanti kerana kitalah agen perubahan tersebut.


Saya harapkan senario di kawasan saya akan berubah juga. Ini kawasan saya, kawasan anda bagaimana? Siapa calon anda? Ambillah tahu dan malulah kepada sesiapa yang tidak tahu siapa bakal pemimpinnya sendiri.


Selamat mengundi buat semua.


p/s Entry ini saya kategorikan didalam diary. Harap maklum ^^

2 silent voices:

Anonymous said...

menarik.. dapat mengenali tg karang. antara kawasan terbesar yang didominasi oleh org jawa. Pertama kali smpi ke Kuala Selangor seingatnya lah,masa tahun 1992,wakil tadika dlm pertandingan nasyid.(tp bukan kelolaan UMNO) :p

walaupun jalan cm pusing2 sikit, tp bila dh smpi kawsn padi2 tu, sejuk dan tenang rasanya. seronok duduk kaw kampung ni.

Tp masalah y dihadapi mana2 kampung semua sama. Masalah anak mudanya yang kurang berkesedaran. Istiqamah berdoa agar pemimpin akan dpt bawa perubhan ke arah y lebih baik.

p/s: best baca diary hujung mnggu org nak exm. :p

ishikawa said...

mahasiswa berjiwa masyarakat..
selamat berbakti!