11:20 PM

PEPERIKSAAN : usaha untuk cintaNya...berjaya dengan rahmatNya




Alhamdulillah sudah selesai sebulan yang paling mencabar setelah 6 tahun bermain di 'playground' yang satu ini. Musim peperiksaan kali ini adalah yang paling menguji bagi saya. Semoga semuanya berjaya dengan cemerlang.

Sudah menjadi kebiasaan bagi kita mempersiapkan segala 'senjata' sebagai USAHA sebelum turun ke medan juang- komputer exam MCQ- setiap kali tiba musim peperiksaan. Segala yang dipelajari selama setahun atau 3 tahun dilonggokkan dalam kira-kira 100 soalan dalam masa sejam setengah! Nota-nota dan buku rujukan mula memenuhi ruang lantai dan meja studi, malah nota juga menjadi teman di meja makan. Suasana yang cukup sibuk untuk menggambarkan debaran dan kerisauan menanti hari peperiksaan.

Setiap butir ilmu cuba dihadam sebagai bekalan untuk melangkah ke dewan peperiksaan dengan yakin.

Namun, ada masanya tak semua berjalan lancar ketika saat genting ini. Masa inilah badan diuji dengan demam dan selsemanya, tetiba hati dan emosi terusik sehingga fokus terganggu. Semuanya menambahkan kalut yang sedia ada. Tentunya semua ini tak diduga atau pun dipinta. Maka akhirnya, peperiksaan dihadapi dengan persediaan yang seadanya atas kemampuan diri yang sekadarnya.

USAHA TERBATAS, RAHMAT YANG LUAS

Sakit yang membataskan usaha itu adalah peringatan daripada Pemberi sakit yang juga Pemberi penawar bahawa Dia lah yang mengatur hidup manusia, termasuklah usaha dan jayanya dalam peperiksaan. Supaya hambaNya menyedari usahanya semata bukan penentu kejayaan, malah jauh sekali untuk memberi jaminan. Kunci utama kejayaan itu adalah rahmatNya jua.

"...Dan kemenanganmu itu hanyalah daripada Allah Yang Maha Perkasa lagi Maha Bijaksana" (Ali-Imran : 126)


Di manakah peranan usaha jika kejayaan itu adalah dengan rahmat Allah Taala semata?

USAHA --> CINTA ALLAH --> RAHMAT

HambaNya yang baik dan beramal soleh adalah antara golongan yang mendapat rahmat Allah manakala usaha yang bersungguh pula adalah amalan yang membawa kepada cinta Allah. Maka, di sinilah titik pertemuan antara usaha kita yang terbatas dan rahmat Allah Taala yang luas.


"...Sesungguhnya rahmat Allah amat dekat kepada orang-orang yang berbuat baik." (al-Araaf : 56)




إِنَّ اللهَ يُحِبُّ الْمُؤْمِنَ الْمُحْتَرِفَ (رواه الطبراني)


"Sesungguhnya Allah Taala menyintai seorang mukmin yang giat bekerja"
(HR Tabrani)



Justeru, usaha kita sebenarnya
adalah untuk meraih cintaNya, sebagai bukti kita mengharapkan rahmatNya.

Kegigihan usaha berkadar langsung dengan tahap pengharapan dan keyakinan kita kepada rahmat Allah untuk berjaya. Semakin kuat pengharapan kepada rahmat Allah Taala maka akan semakin kuat usaha. Oleh itu, tidak timbul isu orang yang mengharapkan rahmat dan bantuan Allah hanya perlu duduk berdoa di atas sejadah tanpa mengusahakan sunnatullah yang lain. Semuanya perlu seimbang untuk diterjemahkan sebagai USAHA yang TERBAIK.



KISAH BENAR


Peperiksaan baru-baru ini, benar-benar membuktikan konsep usaha & rahmat Allah untuk berjaya. Untuk menghadapi peperiksaan yang lepas, ada yang terjaga dari tidur beberapa kali kerana risau, ada yang tak mampu melelapkan mata kerana ingin bersedia sehabis baik. Namun, terdapat juga soalan yang tidak mampu dijawab dengan ilmu yang telah ditelaah sebelumnya. Syukur, dengan izinNya dalam waktu begitu, masih ada jawapan yang mampu dituturkan.

Ujian yang lebih besar daripada menjawab soalan dalam peperiksaan adalah sejauh mana kita yakin dengan rahmat dan bantuan Allah Taala untuk menjawab, bukannya yakin dengan banyaknya buku yang sudah dibaca semata-mata.

Sebarang rintangan yang tak terhalang di musim peperiksaan ini, hadapilah dengan positif. Yang penting adalah usaha semaksima mungkin walaupun dalam kemampuan diri yang minima.

Kuatkan semangat dan keyakinan kepada Allah Taala. Melangkahlah dengan yakin ke dewan peperiksaan kerana Allah Maha Mengasihani dan Maha Mengetahui usaha-usaha kita lagi Maha Mengampuni kelalaian hambaNya. Mudah-mudahan masa yang kita luangkan untuk studi adalah pelaburan yang menguntungkan di 'sana' nanti, برحمتك يا أرحم الراحمين


"Bagi manusia ada perkara yang sukar maka ada perkara yang mustahil,
tetapi bagi Allah tiada yang sukar,
maka apa yang mustahil? "
-niksifu



Jelaskan matlamat...Tuluskan niat~




0 silent voices: