Bismillah
Selesai satu lagi program besar PERMAI. Tamat selepas jam 9 malam, waktu qarar yang dihadkan. Menjadi kebiasaan di sini, selepas tempoh qarar, pelajar perempuan akan dimuraqibkan untuk menjaga keselamatan.
Saya dan adik-adik siswi sedang menanti seseorang di luar dewan.
"Akak balik macam mana ni? Ada muraqib ? "
Sopan, seorang junior bertanya. Tidak pula saya kenal siapa.
Kami ketika itu 4 orang, namun sedang menunggu wanita pertama PERMAI menyelesaikan hal-hal di balik tabir selepas program menjadikan kami 5 orang kesemuanya.
"Takpe. Kami naik teksi. Takde polis malam-malam ni"
Ketika itu di fikiran saya, alang-alang dah ramai pelajar perempuan, boleh la balik sekali dengan satu teksi, walaupun had penumpang teksi hanya 4 orang, tetapi kami pelajar Melayu yang kecil-kecil ini, boleh 'squeeze' sikit untuk memuatkan 5 penumpang dalam teksi. Bahayanya cuma satu, pemandu teksi takut disaman jika ada polis yang melakukan rondaan.
Terdengar adik tersebut ketawa kecil.
"Polis...."
Saya tidak melihat ia sebagai satu perkara yang besar. Tambahan, saya sendiri terfikir, tidak mahu menyusahkan mereka, siswa junior yang ingin memuraqibkan. Kerana itu saya lebih selesa menaiki teksi bersama sahabat-sahabat lain.
Tetapi, saya terkilan, apabila ada yang menyampaikan, dia terdengar satu suara di kalangan pelajar siswa, selepas saya menolak untuk menerima pertolongan untuk dimuraqibkan.
"Ala.. dah dia senior...."
Seolah-olah maksudnya pada pendapat saya "Nak buat macam mana, kakak ni macam tak nak ikut peraturan, nak paksa pun..., dia dah senior, kita ni junior, takkan nak tegur dia pulak ".
Walhal saya tahu mereka, pemimpin-pemimpin persatuan ini, mahu melaksanakan qarar dan peraturan sebaik mungkin.
Tiada yang lain, ayat itu memang ditujukan kepada saya, satu-satunya pelajar senior yang sedang menunggu adik-adik lain untuk pulang bersama.
Saya tidak mendengarnya, jadi saya tidak tahu nada dan intonasi dialog tersebut dituturkan.
Tetapi saya terkilan andai ia memaksudkan, kesenioritian menjadi penghalang seseorang untuk ditegur apabila mekakukan kesalahan dan mungkin juga membawa contoh yang tidak baik kepada adik-adik yang lain. Ketika itu saya sedikit malu. Malu kalau-kalau dilabel atau dipandang 'slack', "dah senior, boleh buat apa sahaja", sedangkan mungkin mereka tidak tahu alasan saya bertindak menolak pertolongan mereka pada awalnya.
Saya berlapang dada. Takpelah, dah mereka ingin begitu. Kita ikut sahajalah. Akhirnya kami menaiki 2 teksi dengan seorang muraqib setiap teksi. Alhamdulillah, terima kasih.
Pulang ke rumah, saya terfikir....
Bagaimana, ye pandangan junior-junior terhadap senior-senior?
Keras kepala/ berlagak sangatkah seorang senior sehingga apabila dia melakukan kesilapan, tiada siapa yang mampu bersuara di hadapannya, sopan penuh adab menegur membetulkan?
Atau adakah di situ satu 'barrier' yang menghalang mereka bersuara ?
Kalaulah saya seorang senior yang dilihat begitu oleh adik-adik junior, saya mohon maaf.
Kalau salah tetap salah, tegurlah, anda kan pimpinan...?
Tetapi menegur pun ada adab sopan dan hormatnya, agar kami yang 'tua' ini tidak terasa ada 'kurang ajar'nya dalam tingkah laku dan tutur kata.
Cakap belakang dan sangkaan hanya akan memburukkan keadaan.
Senior atau junior, kita semua sama. Yang membezakan hanya jarak usia, tahun belajar, atau juga pengalaman. Kesenioritian bukanlah tiket untuk kita melakukan semua benda suka hati sendiri. Senior, anda jadi tauladan, contoh yang baik atau yang buruk yang junior perhatikan. Jangan keras kepala.
Bukan mahu memperbesarkan perkara kecil. Hanya mahu muhasabah diri sendiri.
(4 bulan lagi sebelum 'title' senior di sini, ditinggalkan untuk menyandang 'title' junior di hospital kerajaan)
Wallahua'lam
Lecture On diary
"Boleh ke saya nak pinjam pen awak? saya nak tulis nota tapi tertinggal pen saya di rumah" tanya Aina kepada Ilya ketika mereka berada di perpustakaan.
"Boleh, cuma saya nak pesan supaya tutup semula lepas awak guna supaya dakwatnya tak kering," balas Ilya sambil menghulurkan pen birunya.
"Ok, insyaAllah," Aina setuju.
Kita juga seperti Aina ketika meminjam barang(meminjam dengan bersebab). Kita tidak akan meminjam saja-saja kerana setiap pinjaman itu disertai dengan tanggungjawab untuk memelihara dan memulangkannya dalam keadaan yang terbaik. Setiap syarat yang dipesan harus kita titik beratkan kerana ia bukan milik kita. Itu perihal barang yang dipinjam, bagaimana pula dengan perihal kita dan pemilik barang tersebut? Tentu sekali, kita akan bersopan dan meminta barang miliknya dengan beradab kerana berhajat agar dia sudi meminjamkan barang kesayangannya. Kemudian, pastinya barang itu akan dipulangkan, tak boleh dibuat harta sendiri.
Saya yakin ramai yang faham situasi pinjam meminjam yang saya gambarkan di atas.Jika kita alihkan situasi pemilik itu ialah Allah Taala & peminjamnya adalah kita, maka di mana titik temu antara kedua-dua keadaan ini?
PINJAMAN DI DUNIA
Kita akui bahawa Allah Taala adalah pemilik segala yang ada di bumi, termasuk kita semua, hambaNya. Dalam erti kata yang lain, ibu bapa, adik beradik dan sahabat kita juga dimilikiNya.Sampai suatu masa semuanya akan kembali kepada Pemilik Hakiki kerana mereka adalah pinjaman bagi kita di dunia.
Begitu juga halnya dengan suami/isteri atau bakal suami/isteri masing-masing. Sebelum melamar lagi, kita perlu jelas apakah sebab untuk meminjam si dia sebagai pasangan hidup seperti Aina yang nampak tujuan meminjam pen daripada Ilya, kerana setiap pinjaman ada pertanggungjawabannya.
Dalam tempoh pertunangan pula, pasangan bertunang akan diuji rasa ingin selalu berhubung kerana katanya kalau jarang berhubung nanti takut-takut akan tawar rasa cinta dan rasa jauh di hati. Di sinilah pentingnya konsep pinjaman tadi, dengan kefahaman bahawa bakal suami/isteri kita adalah milik Allah Taala & hanya dengan izinNya, kita akan mampu menjadikan si dia pasangan kita di dunia atau sebenarnya, pinjaman kita di dunia, kita akan mula mencari cara berhubung dengan Pemilik si dia.
Kita akan menjadi seperti Aina, meminta pen daripada Ilya, pemiliknya, meminta dengan sopan, beradab dan meminjam pen itu beserta syarat sebelum memulangkannya. Itulah adab kita dengan Allah Taala sepanjang tempoh pertunangan, banyakkan berhubung dengan Allah Taala dengan penuh tatasusila seorang hamba untuk meminta hamba miliknya sebagai pinjaman kita di dunia.
Oleh itu, kekerapan berhubung dengan tunang itu bukan penentu episod pertunangan akan berakhir dengan perkahwinan kerana keputusannya adalah pada Pemilik si dia (jadi usaha perlu tepat kepada Pemilik bukan pinjaman; si dia), malah Pemiliknya sahaja yang dapat menjaga rasa cinta di hati.
Bolehkah Aina meminjam pen Ilya dengan hanya memandang dan menyentuh pen itu tanpa meminta dari Ilya? Jadi dalam bertunang pun perlu ada matlamat dan strategi yang tepat supaya kita tak terleka dengan cinta dan kesalahan yang dihias menjadi indah oleh syaitan. Benar cinta itu buta tapi kitalah yang mengawalnya.
Inilah antara mind-setting saya untuk menguatkan diri sewaktu bertunang dahulu dan masih menjadi motivasi saya selepas berkahwin, insyaAllah saya akan kongsi(konsep pinjaman setelah berkahwin) dalam entry yang akan datang.
Semoga Allah mengampuni segala kesilapan kami dan semoga cinta ini terasa hingga ke syurga, ameen.
Jelaskan matlamat...Tuluskan niat~
Lecture On bayt muslim