2:00 PM

Macam dalam drama

Bismillah...
Sedang 'membelek-belek' utusan online, tergerak pula hati ingin membaca ruangan keluarga yang jarang dibuka. Tertarik dengan tajuk 'Tanpa sekolah Salina masuk unversiti', cerita yang dikisahkan saya rasa seperti dalam drama di televisyen. Astaghfirullah, memang wujud 'watak-watak jahat' dalam cerita ini di alam realiti. Semoga menjadi pengajaran untuk semua.


Tanpa sekolah ‘Salina’ masuk universiti

SEBELUM lebih banyak tisu menjadi mangsa air mata, saya segera menghubungi Salina di negeri bawah bayu Isnin lalu. Melalui e-mel beliau, saya begitu tersentuh dengan pengalaman pahit hidupnya. Namun beliau amat cekal. Setiap kepayahan, penderitaan, kesusahan sejak kecil menjadi cabaran untuk menjadi manusia berguna.

Kegigihan Salina payah ditandingi, sukar dicari. Dia umpama sebutir mutiara di lautan. Usaha yang tidak kenal putus asa akhirnya membuahkan hasil. Dari anak miskin sejak kecil bersama nenek tuanya dan tinggal di pondok buruk, beliau berjaya ke menara gading dan memegang jawatan tertinggi. Dia sedar hidup tak bermakna tanpa ilmu.

Ketika berbual di telefon Salina berkata, kepayahan, penderitaan dan kesusahan hidup yang dilaluinya membuatkan dia berazam mahu bersekolah. Dan setelah dewasa, ruangan DCCK menjadi inspirasi kepadanya untuk terus berusaha di samping memahami bahawa hidup ini memang banyak dugaan dan cabaran. Kerana itu dia membuat buku keratan DCCK yang menjadi koleksi setianya. Untuk cerita seterusnya sila ikuti cerita Salina di bawah ini.

‘‘Merenung koleksi kisah DCCK setiap minggu banyak memberi kekuatan kepada saya untuk mencoretkan pengalaman pahit untuk dikongsi bersama pembaca. Saya tersentuh membaca luahan hati suami yang mencintai isterinya. Cerita Surya yang kental emosinya melawan badai dek kebencian mentua. Kisah penyu menangis, NorElyna yang berperang dengan biras, Sazwahaney yang dilanda masalah dengan suami dan sebagainya. Natijahnya, kisah-kisah itu menjadi pengajaran dan iktibar untuk kita.

‘‘Seperti Surya, saya juga percaya kekuatan mental dan emosi mampu membantu menangani masalah, insya-Allah! Yang penting, kita berusaha mencari kekuatan melalui pembacaan, nasihat dan pengalaman mereka di sekeliling kita. Itu yang saya praktik ketika diselubungi 1,001 masalah.

‘‘Seorang rakan kaunselor pernah berbisik. Katanya, alangkah cantik dan adilnya Allah menyusun kehidupan, tapi kita tidak mahu melihatnya dari sudut sepatutnya. Sesungguhnya jika Allah menutup satu pintu, percayalah pintu rahmat lain masih terbuka. Jadi mengapa kita masih terpaku di depan pintu yang tertutup dan menyesali segala yang tidak menjadi milik kita lagi?

‘‘Saya anak yatim tinggal dalam asuhan nenek setelah ayah berpindah bersama keluarga baru. Sebelum itu saya dipelihara ayah dan ibu tiri yang amat kejam selama empat tahun. Tiada sehari pun hidup saya tidak dimaki hamun dan dipukul. Ayah juga memukul saya kerana termakan hasutan ibu tiri.

‘‘Seluruh badan penuh kesan luka dan parutnya kekal sampai hari ini. Kerana tak tahan, saya lari dan tinggal bersama nenek. Ayah tidak membantah. Ibu tiri bersorak riang. Dia dapat segala harta ayah.

‘‘Keperitan hidup tidak membolehkan saya bersekolah, darjah 6 adalah pendidikan tertinggi saya. Pondok buruk adalah satu-

satunya harta nenek. Kami bercucuk tanam di belakang pondok untuk makan harian, kais pagi makan pagi dan kais petang makan petang. Habis darjah 6, saya dijadikan ‘pembantu rumah’ oleh saudara-mara.

‘‘Berpindahlah saya dari satu keluarga ke satu keluarga lain. Pelbagai jenis kerja pernah saya lakukan, mencuci pakaian, menjaga anak, menimba dan memikul air dari perigi, membelah kayu, menoreh getah dan menarah di ladang, dari kecil hinggalah anak dara. Terseksa begitu pun ada kala dapat makan kadangkala tidak. Itu sudah biasa dalam hidup saya. Lebih teruk tiada gaji malahan dimarah dan disindir jika kerja tidak selesai. Mahu mohon bantuan keluarga lain? Tidak mungkin kerana tiada seorang pun yang simpati.

‘‘Saya kembali ke pangkuan nenek tiga tahun kemudian. Dalam usia 15 tahun saya jadi buruh menebas dan menabur baja di ladang kelapa sawit dengan gaji RM1.90 sehektar. Ketika itu, saya hanya ada dua helai baju baru, lima pasang baju kerja yang buruk yang saya pakai bersilih ganti.

‘‘Keluarga sebelah ibu ramai yang kaya tetapi tidak seorang pun menghulurkan bantuan. Neneklah insan yang memberikan kekuatan untuk saya bertahan. Setiap kali saya menangis dan mengeluh, hanya sabar keluar dari mulut nenek.

‘‘Bila saya luahkan keinginan mahu bersekolah semula, jawapan nenek hanyalah sabar dan sabar. Saya tahu dia sedih, tapi jiwa saya memberontak untuk belajar. Saya ambil upah jual kuih, jemur ikan dan sebagainya. Wang gaji yang tidak seberapa, saya tabung dan berharap dapat ambil peperiksaan persendirian.

‘‘Saya tahu hasrat itu mustahil kerana saya tidak ada asas belajar di sekolah menengah dan tidak ada buku. Mujur ada keluarga ambil saya kerja mengurus dan menjaga anak-anak. Tidak ada gaji, cuma diberi tempat tinggal dan ruang belajar yang selesa. Ketika itu usia saya menginjak 16 tahun.

‘‘Saya bernasib baik, ada jiran bersimpati sedekahkan buku-buku lama. Dua tahun lamanya saya belajar sendiri, tanpa guru dan kelas tuisyen akhirnya saya beranikan diri menduduki peperiksaan SRP pada usia 18 tahun dan berjaya.

‘‘Kemudian saya berazam ambil SPM. Sambil bekerja siang hari, malamnya saya belajar. Memang perit belajar tanpa guru, hanya kekuatan semangat jadi bekalan. Ketika itulah Z anak sulung majikan balik bercuti dari luar negara, pada dia saya dapatkan panduan subjek SPM yang perlu saya ambil. Tetapi persahabatan kami berjalan cara rahsia. Dia memang dari keluarga berada tetapi tidak pentingkan darjat.

‘‘Z banyak memberi nasihat dan tunjuk ajar. Dia mengajar saya erti kesabaran, keyakinan, kekuatan jiwa dan erti kasih sayang. Melaluinya saya merasakan manisnya cinta pertama. Katanya, hanya pelajaran dapat membantu hidup. Setiap minggu dia mengutus surat dengan kata perangsang dan cinta. Itulah yang menjadi tunjang kekuatan jiwa dan semangat juang saya.

‘‘Untuk bayar yuran SPM sebanyak RM100 sebagai calon persendirian dua tahun kemudian, saya terpaksa gadai satu-satunya subang pusaka ibu. Saya bersengkang mata belajar setiap malam. Saat menunggu keputusan, saya dapat berita memilukan, Z pulang ke tanah air untuk bertunang dengan anak seorang datuk orang berada.

‘‘Ketika itu bumi terasa seakan berhenti berputar. Saya tanya mengapa? Jawapan yang diberi mencengkam jiwa hingga kini – saya tidak memiliki ciri-ciri wanita yang dihajati. Saya keliru! Apa hajat Z? Kata-katanya menjadi racun dan benteng untuk saya menerima cinta lain hingga kini.

‘‘Katanya saya tidak cantik, tak berpelajaran, anak yatim. Dia ungkit pondok buruk tempat saya berteduh bersama nenek. Latar belakang saya tidak memungkinkannya menikahi saya. Dia juga minta saya bakar semua surat dan apa juga pemberiannya supaya tidak diketahui keluarganya.

‘‘Saya sedar saya tidak cantik, miskin dan tidak berpendidikan. Tapi saya ada maruah dan perasaan. Untuk menambah luka, dia bawa tunangnya menemui saya. Memang tunangnya cantik jelita dan anggun. Untuk menandingi kakinya saja, saya tak mampu.

‘‘Saya bertekad belajar dan melupakannya. Kejayaan peperiksaan SPM menjadi ubat ajaib. Saya keluar dari rumahnya dan bekerja jadi kerani sementara. Saya berhajat ambil STPM. Dalam masa dua tahun saya lulus cemerlang, tetapi rezeki ke U belum tercapai. Empat tahun berturut-turut saya terus ambil STPM, keputusannya juga cemerlang. Bukan tak yakin, tapi supaya tak mahu melupakan pelajaran saya. Akhirnya saya berjaya masuk U, saya tinggalkan nenek dan tanah air tercinta demi cita-cita.

‘‘Kematian nenek ketika menuntut di perantaun menambah derita. Setelah tamatkan kajian, saya dapat tawaran kerja. Ketika itu walaupun penderitaan hidup semakin berakhir, derita baru bertambah bila teman pejabat sering menyindir ketika saya bertugas bersama suami orang. Saya dituduh mahu isi borang jadi calon isteri kedua.

‘‘Saya tepis sindiran dengan lembut, saya katakan tiap hari saya berdoa agar Allah berikan saya suami bujang. Tidak ada wanita mahukan suami orang sebagai teman hidup, namun jika itu berlaku, tentu ada sebabnya. Ketika menziarahi pusara nenek dan melihat kampung yang banyak mempalitkan warna hitam dalam hidup saya, saya terdengar fitnah Z sekeliling kampung, mendakwa kononnya saya tidak kahwin kerana masih menunggunya.

‘‘Fitnahnya membuatkan saya berazam untuk terus belajar, buku menjadi teman karib, akhirnya saya diterima melanjutkan pengajian sarjana di luar negara. Benarlah kata bijak pandai, terkadang kita lupa keadilan yang Allah berikan bila kita ada segalanya. Setelah menjawat jawatan yang baik, rezeki pun bertambah. Ramai yang mengaku saudara. Keluarga yang dulu menyisihkan saya, juga kata bersaudara. Demikian juga ayah yang dulunya menyeksa saya, kembali menyayangi saya, tambahan setelah saya menjaga dan membawanya ke tanah suci. Kini ayah tiada berharta.

‘‘Ketika menghadiri seminar di negeri S, saya terserempak Z di lapangan terbang. Saya hampir tidak mengenalinya. Katanya, dia mengikuti perkembangan saya dan yang melucukan dia mengaku masih mencintai saya! Perkahwinannya goyah, dan dalam proses perceraian. Rumah tangganya tidak bahagia. Hidupnya terseksa dengan kerenah isteri dan mentuanya. Saya cuma dengar, tiada reaksi suka ataupun benci.

‘‘Sebenarnya, Z sudah mati dalam hidup saya! Kebetulan kami dalam satu penerbangan. Kesempatan itu saya gunakan mencatatkan nota ringkas “Let the gone be by gone”. Saya beri padanya ketika menaiki kereta, saya lihat dia menangis. Hakikatnya, hati saya dah beku!

‘‘Saya tidak berdendam dan jauh sekali membencinya. Malah saya berterima kasih dengan penghinaan dia dan keluarganya berikan. Demikian juga perlakuan saudara- mara yang lain tatkala saya dan nenek menderita dulu. Namun saya maafkan mereka semua. Kini saya reda dan sedar.

‘‘Saya bersyukur, kekuatan mental dan jiwa yang saya miliki selama ini adalah kurnia-Nya hasil nasihat, bimbingan, penghayatan, pembacaan dan melihat kepada penderitaan orang lain. Sesungguhnya apa yang kita lalui adalah dugaan dan perjalanan di dunia ini hanya sementara. Kepada mereka yang mengalami ujian, baik dalam keluarga, pekerjaan, perkahwinan, persekitaran atau sebagainya, nasihat saya yakinlah bahawa dalam kepahitan itu ada kemanisannya, hanya Allah yang maha Adil dan Penyayang tahu hikmahnya.

‘‘Jadikanlah cerita dan pengalaman orang sebagai penanda aras, bahawa bukan kita sahaja diuji Allah dengan derita, kesedihan, kesunyian, kesakitan, kemiskinan dan sebagainya. Ada orang lain lebih teruk.

‘‘Walaupun terpaksa melalui kehidupan tanpa suami, saya bersyukur beroleh kerjaya yang baik, teman-teman yang memahami. Dan kini saya dalam proses melanjutkan pelajaran lebih tinggi.

‘‘Namun saya tetap yakin dan berdoa, suatu hari nanti pengalaman saya ini menjadi dorongan dan semangat kepada mereka yang melalui dugaan Allah. Dan paparan kisah suka duka dalam DCCK seterusnya dapat membentuk jati diri atas piung-piung derita yang kini semua alami,’’ demikian cerita Salina panjang lebar.

Katanya, hingga kini bila melihat parut-

parut di tangan dan di kaki hatinya masih terasa pedihnya, teringat betapa deritanya hidup tanpa ibu. Wahai ayah dan ibu semua jadikanlah kisah Salina sebagai motivasi kepada anak-anak yang hidup senang-lenang tetapi suka ponteng sekolah.

Sebenarnya banyak lagi cerita Salina tidak dapat dimuatkan, bagaimana dia naik bas selama 9 jam setiap malam Jumaat untuk belajar luar kampus selama dua hari dan balik ke tempatnya pagi Isnin terus bekerja. Pelita dan lilin menjadi temannya mentelaah. Hajatnya kini ingin memelihara seorang bayi untuk dibesarkan dan dididik sebagai tanda bersyukur kepada Allah.

- MAINUNAH

www.dcckmona.com

dcckmonaum@hotmail.com



Memang banyak watak jahat dalam dunia ini. Yang menduduki ranking paling tinggi, saya berikan kepada 'syaitan bertopeng manusia' yang 'meratah' darah dan daging umat Islam seluruh dunia! Nantikan balasan Allah, jika bukan di dunia, di akhirat nanti rasailah!- Janji Allah yang tidak mungkin dimungkiri....

http://palestinkini.info/




0 silent voices: