8:24 AM

Agama Bukan Candu Untuk Mengkhayalkan Orang Miskin

Bismillah

Artikel ni dah lama, tapi nak kongsi jugak, kepada siapa2 yang belum membacanya.
Siapa yang tertindas dan menindas? Anda nilai sendiri


Minda Mufti Dr Maza


Agama Bukan Candu Untuk Mengkhayalkan Orang Miskin


“Dan berikanlah kepada kaum keluargamu, dan orang miskin serta orang musafir akan haknya masing-masing; dan janganlah engkau membazir dengan pembaziran yang melampau. Sesungguhnya orang-orang yang membazir itu adalah saudara-saudara syaitan, sedang syaitan itu pula sangat kufur kepada Tuhannya”. (Surah al-Isra: 26-27).


Saya tertarik apabila membaca membaca kisah al-Imam al-Nawawi (631-676H) yang diminta oleh Raja pada zamannya al-Malik al-Zahir untuk memberikan fatwa bagi mengharuskan Raja mengambil harta rakyat untuk digunakan memerangi musuh yang mengancam negara iaitu tentera Tatar. Tujuan itu pada zahirnya baik kerana mempertahankan negara dari ancaman musuh. Harta itu pun hendak digunakan untuk keperluan jihad.



Namun ramai ulama yang telah dibunuh ketika itu kerana enggan mengeluarkan fatwa berkenaan. Al-Nawawi juga enggan menulis surat sokongan terhadap tindakan Raja Zahir itu sekalipun beliau tahu pengambilan harta itu untuk kepentingan negara juga.


Apabila Raja bertanya kepada beliau mengapa beliau enggan menyokong? Beliau menjawab: Setahu saya engkau dahulunya seorang hamba, tidak mempunyai harta. Kemudian Allah memberikan kurniaan kepadamu lalu diangkat engkau menjadi seorang raja. Aku dengar engkau memiliki seribu hamba lelaki yang setiap mereka memiliki talipinggang daripada emas. Engkau juga ada memiliki dua ratus hamba perempuan, dan setiap mereka memiliki sebekas perhiasan. Jika engkau belanjakan itu semua, sehingga hamba-hamba lelakimu hanya memakai tali pinggang kain, dan hamba-hamha perempuanmu hanya memakai baju tanpa perhiasan, juga baitul mal sudah tiada simpanan wang, harta dan tanah lagi, maka aku akan fatwakan untukmu keharusan mengambil harta rakyat itu. Sesungguhnya yang menolong jihad dan selainnya ialah penyerahan diri kepada Allah dan mengikut jalan nabiNya s.a.w. (lihat: ‘Abd al-Ghani al-Daqar, al-Imam al-Nawawi, 144-145, Damsyik: Dar al-Qalam).



Saya suka dengan jawapan al-Imam al-Nawawi ini. Saya tahu, selepas ini banyak forum-forum perdana, ceramah-ceramah di radio dan televesyen akan memperkatakan tentang kewajipan berjimat cermat. Maka ustaz, ustazah dan penceramah pun –atas pemintaan penaja yang membayar harga ceramah- akan bersungguh-sungguh menyuruh orang-orang bawahan untuk berjimat cermat.



Dalil-dalil pun akan dibaca. Mungkin akan ada ustazah yang mencari cerita-cerita ajaib yang baru untuk dikaitkan dengan bab jimat cermat dan jangan membazir. Mungkin akan ada penceramah yang cuba menangis-menangis –seperti seorang pelakon berjaya yang menerima anugerah- bercerita kepada mak cik-makcik yang kusyuk menonton tentang azab seorang yang membazir ‘nasi lemaknya’.



Datanglah orang-orang kampung mendengar forum perdana dengan basikal atau motosikal sebagai menyahut seruan agar tidak membazir petrol. Adapun penceramah, datuk-datuk pengajur, YB-YB hanya menggunakan kenderaan mewah yang berkapasiti atas daripada 2000cc. Tujuannya untuk mengelakkan pembaziran wang kerajaan yang terpaksa dibayar kepada empunya kenderaan 2000cc ke bawah, lebih tinggi daripada 2000 ke atas.



Maka insaflah mak cik dan pak cik yang barangkali teringatkan tulang ikan yang pernah dibuangnya padahal masih ada sedikit sisa isinya yang melekat. Itulah membazir namanya. Maka, atas keinsafan dan taubat itu, mungkin ada yang akan mula mengurangkan makan nasi lemak daripada sebungkus seorang kepada sebungkus yang dikongsi bersama. Air kopinya yang memang sudah ‘ceroi’ akan ditukar kepada yang warna hitamnya antara kelihatan dan tidak. Maka selamat negara kita ini, disebabkan pakcik dan makcik, pak long dan mak long, pak lang dan mak lang di kampung sudah mengubah gaya hidup mereka.



Jika saya hadir ke forum yang seperti itu, saya ingin bertanya soalan, tapi soalan yang belum ‘dijakimkan’, “apakah agama ini dihantar oleh Allah untuk menghukum manusia bawahan dan menghalalkan yang lain tidur dalam kekenyangan dan kemewahan?”.


Sebelum harga minyak naik, telah sekian mereka yang berada di teratak usang itu menjimat makan dan pakai. Saban hari mereka mengira belanja untuk memboleh mereka terus hidup di kala negara dunia belum menghadapi krisis harga minyak.



Saya tidak mahu membicarakan tentang kenaikan harga minyak dari sudut perjalanan ekonomi antarabangsa. Telah banyak pakar-pakarnya bicarakan. Tapi saya ingin bincangkan tentang soal pembaziran dan jimat-cermat. Ya, memang Islam memusuhi pembaziran. Bahkan al-Quran tidak pernah mempersaudarakan antara mana-mana pembuat dosa dengan syaitan, melainkan mereka yang membazirkan.



Allah menyebut dalam al-Quran: (maksudnya): “Dan berikanlah kepada kaum keluargamu, dan orang miskin serta orang musafir akan haknya masing-masing; dan janganlah engkau membazir dengan pembaziran yang melampau. Sesungguhnya orang-orang yang membazir itu adalah saudara-saudara syaitan, sedang syaitan itu pula sangat kufur kepada Tuhannya”. (Surah al-Isra: 26-27).



Demikianlah Allah persaudarakan pembazir dengan syaitan. Kesan pembaziran sangat besar. Lihat negara kita yang kaya dengan berbagai hasil. Sepatutnya kita akan tetap kukuh dan setiap rakyat akan menikmati kekayaan ini dengan adilnya. Namun, disebabkan pembaziran, harta negara yang sepatutnya dapat dimakan puluhan tahun, tetapi surut mendadak dalam masa beberapa tahun.



Maka, yang patut mendapat bantuan dan hak, tidak cukup untuk sampai kepadanya. Barang keperluan pula bertukar menjadi mahal. Pembaziran memusnahkan kehidupan rakyat bawahan dan menghalang hak yang sepatutnya sampai kepada mereka. Maka betapa wajar untuk para pembazir itu dipersaudarakan dengan syaitan. Apatah lagi dalam banyak keadaan, pembaziran itu lahir dari keangkuhan dan kesombongan. Sifat-sifat itulah jua yang menjadi asas kepada kekufuran syaitan.



Soalannya, mengapakah apabila kita membicarakan tentang pembaziran, kita hanya terbayang orang-orang bawahan di kampung ataupun bandar. Jika kita ingin meminta supaya setiap warga negara ini berjimat dan jangan membazir, maka bermulalah daripada atas. Bukan sekadar untuk ‘mengenakan si miskin yang sekian lama telah berjimat dan sudah tidak tahu apa yang hendak dijimatkan lagi. Mengapa kita hanya terbayang rakyat yang berada dalam rumah persendirian dan berbelanja dengan wang poketnya yang sudah lelah?



Kita sepatutnya terlebih meneliti semula bagaimana perbelanjaan yang menggunakan harta negara dan rakyat yang sedang berjalan di istana-istana, kediaman-kediaman rasmi kerajaan di peringkat negara dan negeri?. Apakah wajar di kala ini keraian untuk orang-orang besar sama ada sultan atau menteri begitu mewah? Makanan yang dihidangkan untuk mereka, harga satu meja kadang-kala boleh dimakan oleh ratusan rakyat bawahan. Karpet yang dipijak oleh mereka harganya ribuan bungkusan nasi yang dimakan oleh ‘orang biasa’.



Apakah patut di saat yang sebegini, ada istana atau kediaman rasmi menteri yang hendak
ditambahmewahkan? Apakah patut orang-orang besar ini diraikan dengan hiburan atau pertunjukan dan konsert yang menelan puluhan ribu ringgit sempena sesuatu kunjungan mereka. Wang itu, wang negara. Wang itu, wang rakyat.



Apakah dalam masa yang sebegini mereka masih mendapat peruntukan untuk bersantai, bermain golf dan ‘berhiburan’ dengan menggunakan wang rakyat bawahan yang disuruh menjimatkan nasi lemak dan air kopi mereka?. Pembaziran sebegini lebih rapat menjadi saudara syaitan dibanding wang persendirian yang dibelanjakan.



Meminjam falsafah al-Imam al-Nawawi yang saya sebutkan tadi, jika orang atasan telah benar-benar berjimat, maka wajarlah untuk dikurangkan subsidi rakyat. Al-Nawawi telah dibuang negeri kerana enggan bersekongkol dengan perkara yang seperti ini. Namun, jika itu tidak dilakukan, ulama bukan burung kakak tua.



Saya mengambil risiko menulis hal ini. Tanggungjawab di hadapan Allah lebih besar daripada segala-galanya. Para ulama dahulu jauh lebih mulia, tidak dibandingkan kedaifan saya ini. Pun mereka telah menunaikan tanggungjawab al-Amr bil Ma’ruf dan al-An-Nahy ‘an al-Munkar ini. Semoga Allah menimbang tinta para ulama dengan darah para syuhada.



Telah berlaku tahun kesusahan dan kelaparan yang amat sangat di Semenanjung Arab pada zaman Amirul Mukminin ‘Umar bin al-Khattab. Dikenali dengan ‘Am al-Ramadah kerana seakan bagaikan warna ramad atau abu disebabkan kekurangan hujan, warna tanah dan warna kulit manusia yang bertukar disebabkan kekeringan. Ini berlaku pada antara tahun 17H dan 18H selama sembilan bulan.



Amirul Mukminin telah berhempas pulas menguruskan harta negara ketika itu bagi mengatasi kesusahan rakyat. Di samping kecemerlangan pengurusan, yang ingin disebutkan di sini kecemerlangan pendirian dan sikap. Ibn Jarir al-Tabari meriwayatkan bahawa ‘Umar bin al-Khattab tidak memakan pada tahun berkenaan lemak haiwan, susu dan daging sehingga orang ramai dapat memakannya. Barangan makanan berkurangan di pasar.



Pada suatu hari pekerjanya dapat membeli untuknya lemak dan susu namun dengan harga yang agak tinggi. ‘Umar enggan makan bahkan berkata: “Engkau telah menyebabkan lemak dan susu menjadi mahal, sedekahkan keduanya, aku bencikan pembaziran. Bagaimana aku dapat memahami keadaan rakyat jika tidak mengenaiku apa yang mengenai mereka?”. (Al-Tabari, 2/358, Beirut: Dar al-Fikr).



Juga diriwayatkan bahawa suatu hari pada tahun berkenaan disembelih unta lalu dimasak dan dibahagikan kepada orang ramai. Lalu diceduk masakan itu untuk dihidangkan juga buat ‘Umar. Tiba-tiba yang diceduk itu bahagian belakang unta dan hatinya. Lalu ‘Umar bertanya: “Dari mana diperolehi ini?”. Daripada unta yang kita sembelih hari ini. Kata ‘Umar: “Oh! Alangkah buruknya aku ini sebagai pemimpin, jika aku memakan bahagiannya yang baik lalu aku berikan rakyat makan yang sisa” (Ibn Sa’d, al-Tabaqat al-Kubra, 3/312, Beirut: Dar Sadir).



Maka alangkah buruknya seorang presiden, atau sultan, atau raja, atau perdana menteri, atau menteri besar, atau menteri yang makan dengan mewah daripada peruntukan harta negara atau negeri sedangkan rakyatnya dalam kesusahan. Ketika rakyat membilang butiran beras, helaian ringgit untuk persekolahan anak, keperitan membayar sewa rumah, api dan air, sementara mereka yang berkuasa ini pula menghadiri jamuan negara dan negeri itu dan ini.



Bermewahan dengan pertunjukan dan hiburan dari peruntukan wang negara. Kemudian bercuti rehat, tanpa rakyat ketahui apakah kepenatannya untuk rakyat. Kos cuti itu pula ditanggung oleh negara tanpa sebarang pulangan keuntungan buat rakyat. Alangkah zalim! Alangkah keji sikap yang sedemikian rupa.



Saya kadang-kala begitu hairan apabila seseorang dianggap ‘berjiwa rakyat’, hanya kerana makan nasi yang dijamu oleh rakyat, atau masuk ke kampung mendukung anak rakyat untuk beberapa minit bagi membolehkan wartawan mengambil foto. Apakah itu dinamakan berjiwa rakyat?



Jika hendak diiktiraf sebagai berjiwa rakyat, rasailah apa yang rakyat rasai. Orang seperti ‘Umar bin al-Khattab lebih mulia daripada segala keturunan atau pangkat yang ada di kalangan manusia. Kemuliaannya telah diiktiraf oleh Allah dan RasulNya. Dia ahli syurga dengan jaminan Allah dan RasulNya sementara politiknya tidak ada saingan yang menggugatnya. Namun tetap amanah dan jujurnya terhadap rakyatnya. Merasai penderitaan rakyat. Beliau idola kepimpinan kita sepatutnya. Walaupun beliau tidak pernah menyuruh orang menyembah atau menjulangnya, namun beliau dipuja oleh sejarah dan diangkat oleh Allah.



Kenaikan harga minyak menaikkan harga barang. Orang berpendapatan rendah menjadi mangsa. Agama berperanan untuk menyedarkan semua pihak tentang tanggungjawab terhadap rakyat. Dalam keadaan begini, antara perkara pertama yang patut dibentang kepada rakyat adalah pengurusan kemasukan dan pengagihan zakat. Zakat yang mungkin sampai kepada peringkat bilion ringgit di seluruh negara mesti diagihkan secara telus dan bijaksana.



Mengapa masih ada fakir miskin yang bagaikan meminta sedekat kepada pihak yang menguruskan zakat? Mengapa program tv lebih menjumpai si miskin dibanding pihak yang menguruskan zakat? Mengapa zakat masih berbaki dengan begitu banyak setiap tahun sedangkan kemiskinan masih banyak? Mengapa pihak yang menguruskan zakat kelihatan bertambah mewah, sementara yang patut menerima hak kelihatannya bertambah letih dengan keadaan sekarang?



Di masa inilah peranan zakat bagi memastikan setiap yang memerlukan memperolehinya tanpa kerenah birokrasi yang bukan-bukan. Jangan sampai untuk mendapat RM150 si miskin berulang alik berkali-kali dengan tambang sendiri, sementara yang mendakwa amil zakat mengisi minyak kereta dengan wang zakat atas nama amil! Ramai kata kita berjaya menguruskan zakat sebab kutipan yang tinggi. Saya katakan, pengurusan yang berjaya itu bukan sahaja kutipan semata, tetapi juga pengagihan secara telus, bijaksana dan bertanggungjawab.



Dalam usaha kerajaan menangani kemelut ekonomi hari ini, perkara-perkara yang disebutkan ini mestilah dipandang serius. Kejayaan sesebuah kerajaan menghayati penderitaan rakyat akan menjadikan mereka lebih disayangi dan disokong. Jika orang atas mengubah cara hidup, kita akan berkempen untuk semua agar mengubah cara hidup. Jika orang agama disuruh berkempen orang bawahan agar mengubah cara hidup, sementara melupai yang di atas, mereka sebenarnya cuba menjadikan agama sebagai candu agar seseorang melupai masalah yang sebenar.



Wallahua'lam

1:27 PM

"Asyik naaaiiik je"

Bismillah


Pagi tadi pulang dari kelas, terjumpa sorang member Arab bukan satu course, naik bas sekali. Sembang punye sembang.. keluarlah ayat

"Harga bas ni asyik naaaik je", saya merungut (mestilah bukan dalam bahasa Melayu)

"Bukan harga bas je, semua benda pon. You can't live in Jordan!"

Err.. saya tersenyum. Kelat. Dalam hati... tak boleh hidup kat Jordan? Habis kau nak lari mane? Aku balik Malaysia la, nanti, insyaAllah...

"Kat Malaysia pun same je kan, abang aku belajar situ, dia cerita macam-macam"

Errr.. lagi tersenyum. Lagi kelat.







Apa nak jadi dunia zaman sekarang?


Minyak oo.. minyak

Ketika kenaikan harga minyak baru-baru diumumkan, saya bersembang dengan ibu

"Harga minyak naik, kan mak"

"Haah, harga naik macam menzalimi orang, je kan"


Perasaan kita, pelajar dan mereka yang telah bekerja mana mungkin sama. Sekalipun rasa bahang kenaikannya, tak mungkin sehebat mereka yang perlu menyara lagi dua tiga malah mungkin mencecah sepuluh ahli keluarga di rumah.



Dulu..

"Atok dulu mula-mula kerja jadi cikgu, gaji 8 ringgit je", atok lelaki saya bercerita

"8 ringgit je atok" Wow! perasaan kagum menyelubungi diri.. 8 ringgit sebulan boleh hidup

"Mak Long waktu tu dah lahir ke atok?" tapi atok kurang pasti.


Sekarang...

RM8? 2 dinar pon tak sampai. Pergi balik jamiah pun boleh tahan 3 hari je lebih kurang.



Astaghfirullah... merungut ke aku ni?
Banyak lagi cara untuk kita bersyukur


Kita tak sesusah mereka...


Kisah 1:

Seorang sahabat ber'shopping' barang dapur di balad. Di kedai ayam, terdengar perbualan seorang makcik.

"Berapa sekilo ayam ni"

Tak ingat dia jawab berapa dinar.

"Nak makan ape la keluarga aku hari ni", lalu makcik tadi beredar....

Kita, harga naik ke tak, hari-hari pun boleh makan ayam



Kisah 2:

Seorang sahabat cerita tentang sebuah kisah yang terjadi selepas kenaikan harga minyak diumumkan. Sebuah famili, satu keluarga menangis termasuk anak-anak yang masih belum faham

Si ayah.. sedih kerana terpaksa bertukar tempat kerja yang jauh dari rumah
Si ibu.. sedih kerana terpaksa memberhentikan pelajaran yang disambungnya untuk membantu suami tercinta
Si anak-anak.. menangis kerana melihat ibu bapa menangis


Kita..harga naik ke tak, tak nangis pun.


Kalaupun tak merasa kesusahan harga minyak dan barang keperluan naik, jangan lupakan rasa syukur, syukur dan syukur sentiasa agar harga iman kita tak turun.







Harta yang banyak pada orang kaya adalah amanah Allah untuk dikongsi-kongsi (sedekah) pada mereka yang kurang berkemampuan.. bukan syok sendiri.. ini aku punye sorang

Hidup yang susah melatih diri seseorang tabah dan mendidik hati supaya sabar dan syukur atas kurniaanNya





Kaya, senang, miskin, susah..
Semuanya senang nak buat pahala andai matlamat hidup kerana Allah tujuan utama
Allah itu Maha Adil


Marilah berasa susah hati andai duit yang banyak masih berbaki di tangan tidak disedekahkan kepada mereka yang kurang berkemampuan, kerana takut disoal kembali di hadapan Allah, amanah yang telah dipikulkan ke atas kita yang tidak ditunaikan

Astaghfirullah

Marilah berasa syukur, walaupun dalam serba kekurangan, kerana masih ada hamba-hamba Allah yang hidup lebih merana daripada kita


Hidup ini indah jika semuanya kerana Allah....


Wallahua'lam

1:45 PM

Cop! Saya nak jadi.....

Bukan susah untuk mencari ketenangan. Hanya dengan doa dan usaha kita yang bersungguh untuk mencapai ketenangan itu, maka dengan semudah itu juga Allah akan mengurniakan ketenangan yang kita cari itu. Mudah bukan? Yang penting, ingat formula biasa ; usaha, doa, tawakal dan yakin dengan pertolongan Allah.

Freeze…(end intro)

Sudah lama tidak bersembang-sembang meriah dengan teman-teman. Malam ini, selepas menghadapi hidangan dinner yang 'lazat', kami bercerita tentang ‘CITA-CITA’. Semua orang yang bergelar manusia pastinya bercita-cita besar. Begitu juga kami. Manusia biasa. Hari ini, kami sungguh teruja melihat para graduan JUST di majlis konvokesyen 2008. Ditambah pula dengan kehadiran kelibat-kelibat doctor-doktor di universiti dan hospital yang ‘very adorable’. Kami pun mula berangan…(Mudah-mudahan bukan angan-angan Minah Jeninah)



Nak further apa ye lepas grad nanti?”
“Dermatologist la paling banyak duit. Orang berjerawat pun datang jumpa.”
“Jadi cardiologist macam Dr. Abdullah Saadeh pun best. Tak boring. Banyak pesakit!”
“Hm… What about Dr. Ahnaf Nephro?”
“Psychiatrist??”
“Rheumatologist cam Dr Khaldun? Symptom lebih kurang semua. Senang nak ingat.”


Macam-macam bidang kami bincangkan pro dan kons nya. Hingga akhirnya kami terkeluar tajuk…

Kan best kalau jadi businesswoman”
“Hello… you’re already on this road laa! A road to the hospital!”




Wah, rupa-rupanya semua antara kami sememangnya berminat untuk membuka perniagaan. Tetapi perniagaan apa?

Perusahaan hotel best kan? Modal kena banyak. Tanah kena ada.Tepi pantai pulak tu.. Hmm.. Terengganu sesuaii!!!”
“Kita nak buka perusahaan kerepek! Oh, kena kahwin dengan orang kampong la macam ni. Senang dapat sumber, pisang, ubi kayu, keladi..”
“Aku nak jadi broker tanah!” Wah hebatnya kawan kita ni…
“Saya nak buka kedai buku ‘medic’ la kak. Kaya dan laku.”
“Nak buka Syarikat Ubat”




Perniagaan sememangnya menawarkan keuntungan yang lumayan jika kena dengan gayanya. Namun asas-asas dan selok-belok perniagaan perlulah dipelajari sebelum melangkah ke dunia tersebut. Kini kami dalam bidang perubatan. Masa bila pula kami dapat memulakan perniagaan yang dicita-citakan?

Kan kita kena yakin… Untuk semua benda, kita perlu ada usaha, doa, tawakal dan keyakinan yang tinggi terhadap pertolongan Allah. Itu saja formula penting untuk mencapai sesuatu. Tidak kiralah sesuatu itu berbentuk kejayaan dalam pelajaran, kerjaya, bahkan cinta sekalipun. Maka, untuk setiap kejayaan yang tidak tercapai, untuk kerjaya yang tertangguh dan untuk cinta yang tidak kesampaian, segala-segalanya kita pulangkan kepada Allah. Allah Maha Mengetahui apa yang manusia tidak ketahui. Sentiasa tanamkan keyakinan dalam hati; Allah pasti sedang menyediakan sesuatu yang lebih berharga dan bermakna untuk kita. *Sigh*

Membicarakan tentang cita-cita memang seronok. Seronok berangan dan membayangkan masa depan yang penuh dengan kejayaan. Namun sekarang, saya terpaksa berhenti dan berpatah balik ke destinasi realiti. Di sini saya masih merangkak, bertatih menghabiskan sisa tahun 4 yang masih berbaki satu semester lagi.

Ayuh kawan-kawan! Kita realisasikan cita-cita kita.
Muslimah, Doktor, Businesswoman yang solehah!!!

Bersama membangunkan Islam.


11.50pm
14 Jun 2008

1:12 AM

Man proposes, God Disposes

Bismillah


Manusia merancang, Tuhan yang menentukan

Saya tidak pernah mengulang paper, apatah lagi mengimpikannya, Alhamdulillah...

Tapi kita hanya merancang , Allah yang Maha Tahu yang terbaik buat hambaNya





Khamis- 5 JUN 2008


Hari yang menakutkan. Hari yang sangat meninggalkan kesan.


Hari itu hari untuk final exam rotation kegemaran saya- Paediatrics. Saya ke dewan peperiksaan dengan gembira, terasa ingin segera menghabiskan peperiksaan-peperiksaan yang masih berbaki ini.


Namun Allah ada perancanganNya yang tersendiri. Pastinya yang terbaik yang diatur buat hambaNya, kerana Dia- Pengasih, yang tidak akan menzalimi hambaNya, kerana Dia- Penyayang, sentiasa bersama hambaNya di waktu suka dan duka...
Bersangka baiklah dengan Allah



Saya gagal menyempurnakan 2 jam peperiksaan MCQ dalam komputer. Hanya bertahan setengah jam pertama. Saya dikejarkan ke hospital akibat sakit yang tiba-tiba datang dan tak mampu ditanggung.
Bersangka baiklah dengan Allah...





8 JUN 2008

Gembira melihat sahabat-sahabat selesai semua peperiksaan final untuk 3 rotation pertama clinical year kami...
Gembira juga tiba-tiba mendapat mesej dari adik kesayangan di Malaysia, Addin... bertanya khabar dan berpesan agar menjaga kesihatan terutama di waktu peperiksaan

Tapi,
Saya .. masih berbaki satu paper yang ter'hutang' 3 hari sebelumnya..
Pasti, ada hikmahnya






13 JUN 2008

Seminggu berlalu. Rasa seperti semalam , peristiwa itu berlaku. Rasa seperti baru saya mengadu apa yang berlaku kepada ibu yang setia mendengar luahan hati anaknya, tangisan dan harapan agar doa dan kasih sayang ibu sentiasa mengiringi perjalanan anaknya yang jauh di perantauan. Dan rasa seperti semalam, saya membuakkan kerisauan di hati ayah ibu yang masih belum reda dengan situasi kesihatan saya. Hampir setiap hari ayah berpesan.. jaga kesihatan.

Semuanya cantik diatur oleh Allah yang Maha Penyayang





Terima kasih tidak terhingga kepada semua sahabat-sahabat yang memberi sokongan, terutama Farah dan Faezza yang setia menemani di ED, walaupun lama. Hanya Allah dapat membalasnya. Terima kasih sangat-sangat.. from the bottom of my heart


Kepada Kak Aliaa, dan Kak Dayah yang sangat mengharukan. Ganjaran dari Allah adalah sebaik-baik balasan.





Kepada semua sahabat..
Sehingga 22 Jun 2008, andai ada tugas yang lambat saya selesaikan, ada kerja dan amanah yang tak tertunai, mohon ampun dan maaf. Doakan yang kedua ini, saya lalui dengan tenang hati, sihat fizikal dan mental, penuh pertolongan dari Dia yang Maha Esa..



Doakan saya...


Wallahua'lam


3:39 AM

Alhamdulillah...we did it ^^



Alhamdulillah...thumma alhamdulillah...thumma alhamdulillah

Terima kasih buat semua yang mendoakan kejayaan kami selama ini... moga2 kalian semua akan berjaya juga nanti...

Pesanan dari bapa :

Segala yang baik datang daripadaNya...harus bersyukur...jangan lupa diri


p/s Sekadar entry ringkas kali ni... maafla x sempat nak mengarang lagi, insyaallah akan menyusul kemudian...

10:48 AM

Dear 'Aku'

Sakit jiwa...
Tekanan perasaan...

Manusia yang selama ini hanya memendam perasaan seorang diri, mengiyakan saja apa yang dihadapi. Akhirnya lemah, tewas pada keadaan.

Masalah membendung.
Emosi tidak lagi terbendung,
Kata orang tiada lagi selindung,
'Aku' rimas!
Pergi semua!!
Pergi!!!

'Aku' lihat camar. Mereka terbang bebas.
'Aku' lihat pantai,
Butiran pasir halus dan desir ombak, aku rasa puas.
'Aku' lihat sawah nan menghijau, 'aku' rasa damai.





Kini 'aku' lihat diri'ku',
Tiada bebas, tiada damai, dan tiada puas yang kutemui.

'Aku', di sana masih ada cahaya Sang Pencipta,
Shams, Qamar, Qaus Quzah, Nahar, malah semuanya.
Carilah Dia,
Jika ada hamba yang bertanya tentangKU,
Bahawasanya AKU sangat hampir...


Usah kau peduli mereka yang menyusah,
Keluarlah dari lorong hitam itu,
Kerana sesungguhnya jika kau tahu,
Masih ramai insan yang menyayangimu.


((Bingkisan buat 'Aku'))

"Aku" hanyalah sebuah persona imaginasi dan 'sajak tipikal' ini cuma luahan simpati penulis kepada mereka yang mengalami tekanan perasaan. Bukan tekanan oleh peperiksaan, bukan jua kewangan, malah bebanan fikiran yang lebih besar lagi yang mampu menjadi penyebab seseorang itu kecewa dan putus harapan.

10:00 AM

Tahniah dari kami

Bismillah

MBBS (Jordan)
2002-2008 , Class of 2008
Jordan University of Science and Technology


Mabruk 'alaikum!
Saat mendengar berita kejayaan, hanya Allah yang tahu betapa gembiranya hati
Alhamdulillah, Allah melihat segala pengorbanan, usaha serta penat lelah, dan mendengar segala rintihan serta doa yang dipanjatkan





Hanya kepadaNya segala puji-pujian dan kesyukuran


Gelaran doktor yang dipegang, satu amanah sepanjang hayat
Jalankan sebaiknya amanah dari ALLAH ini


Doakan kami yang masih bertatih ini, semoga berjaya penuh cemerlang seperti anda, doktor-doktor kebanggaan kami sekalian









*Buat seorang penulis di SOL, kak muui / Dr Muui.. harapnya lepas dah jadi doktor, jangan berhenti menulis ye. Tahniah! Doakan kami..